Friday, January 1, 2010

Destinasi~

Tahun baru menjelma lagi. Seperti lazimnya, ramai yang sudah bersedia dengan azam dan harapan yang baru. Tidak kurang juga yang masih lagi dengan azam lama, namun lebih gigih usahanya agar azam dan harapan lama itu tercapai, bukan hanya sekadar impian di alam mimpi.

Dunia dikejutkan dengan pemergian Gus Dur, bekas pemimpin negara jiran, Indonesia. Beliau dikhabarkan meninggal semasa pembedahan membuang darah beku di jantungnya sedang dilaksanakan. Ternyata, takdir Allah itu melebihi usaha manusia. Biar secanggih mana pun kaedah perubatan yang digunakan, biar sebagus manapun doktor yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan pembedahan, namun, andai sudah tertulis di azali bahawa sampai saat itu sahaja nyawa mampu bernafas, sebarang usaha ternyata takkan  mampu mengatasi kuasa Tuhan.

Saya mengambil berita kematian Gus Dur sebagai satu ruang, satu lapangan untuk bermuhasabah. Betapa sesungguhnya, setiap kali bertambah detik masa, setiap kali meningkatnya bilangan tahun dan ketika, ternyata semakin dekatlah juga ajal menghampiri kita. Tidak kira berapa umur kita, tidak kira sejauh mana sudah usaha kita untuk mendalami ilmu-Nya, tidak kira berapa berat sudah timbangan amal kita, andai sahaja Izrail itu sudah menerima arahan dari Maha Pencipta, takkan dilambatkan, takkan dipercepatkan walau hanya sesaat saja, kita akan menemui Dia.


Hakikat Masa Kini

Namun, semakin moden dunia hari ini, semakin canggih kemudahan teknologi yang tercipta, kita hari ini bagaikan sudah lupa bahawa kita sebenarnya punya Pencipta. Kita punya Pencipta yang menjadikan kita, kita punyai Penguasa yang memegang hati kita, kita punyai Pentadbir yang telah menetapkan perjalanan hidup kita. Tahun baru lazimnya amat jarang dimulakan tanpa pesta-pesta di mana anak-anak muda remaja bertemu sesama mereka, bergaul bebas bagaikan dunia ini milik mereka, berhibur dan berpesta bagai tiada maut yang bakal tiba. Konsert dan warna-warni bunga api di udara lazimnya mewarnai malam tahun biru di kebanyakan negara dewasa ini.

Saya sebenarnya ingin tahu apa sebenarnya kaitan dan relevan malam tahun baru ini disambut dengan sedemikian rupa. Sedangkan jika difikirkan secara logik akalnya, semakin bertambah tahun, semakin meningkat usia, semakin dekat kita dengan ajal kita, dan semakin singkatlah masa kita untuk menampung segala kekurangan dalam amalan kita. Sebab itulah wujudnya peribahasa yang mengatakan apabila semakin meningkat usia, maka rumah pun kata pergi, kubur pula yang kata mari. Adalah lebih elok dan bermakna, andai tahun yang bakal kita lakui itu diwarnai dengan sujud dan munajat kepadaNya, memohon agar kehidupan hari ini dan akan datang terus sentiasa di bawah lindungan dan rahmat-Nya.

Sebagai seorang remaja yang mungkin punyai sedikit lagi masa untuk menginjak ke alam dewasa, saya yakin dan percaya, aliran arus perdana globalisasi masa kini bukanlah satu-satunya punca terjadinya fenomena "lupa mati dan lupa akhirat" ini. Kurangnya didikan asas agama, kurangnya kemahuan untuk membaca bahan-bahan ilmiah dan buku-buku tarbawi, kuatnya dorongan untuk menikmati hiburan dunia antara faktor-faktor yang menyumbang ke arah fenomena sebegini. Dan agak mengecewakan, tidak kurang dari kalangan mereka ini memberikan alasan usia yang masih muda menyebabkan diri mereka merasakan mereka belum lagi layak untuk menambahkan ilmu mereka khususnya dalam bidang agama ini.

Muhasabah

Bermula hari ini, segala kenangan lalu telah pun pergi meninggalkan kita. Semoga segala yang telah berlaku, kita jadikan ikhtibar dan pedoman dalam kita melayari hari-hari yang akan mendatang, menjadikan  kita bertambah teguh dan kuat dalam menghadapi cabaran dan halangan yang bakal kunjung tiba..Takkan ada lagi peristiwa yang sama bakal berlaku untuk kedua kalinya melainkan dengan keizinan-Nya. Perbaikilah segala kesilapan yang telah dilakukan, perbaharui dan mantapkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepadanya selari dengan pertambahan bilangan tahun kita menginjakkan kaki di bumi ciptaan-Nya, kuatkan lagi keyakinan kita kepada-Nya, InsyaAllah destinasi cinta yang kita cari pasti kita bakal ketemu, jika bukan di dunia kini, di kehidupan yang kekal abadi kelak.

Sesungguhnya kita hidup untuk mencari mati yang sempurna, maka siapkanlah diri dan hati kita ke arah itu. Saya akui, bukan mudah untuk berubah, bukan senang untuk memulakan langkah, bukan sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan demi mencari cinta hakiki yang abadi dari Dia yang Maha Penyayang. Namun, kita harus yakin, dengan bertunjangkan iman dan akidah yang telah kita genggam kukuh sejak dari hari pertama hembusan nafas kita keluar ke udara, segalanya pasti mudah dengan keyakinan kita yang seratus peratus kepada-Nya. Sama-samalah kita berdoa, agar tahun baru yang baru saja membuka tirainya, akan membawa satu sinar baru buat diri kita, buat hati kita, buat iman kita. Percayalah, destinasi cinta kita,destinasi impian kita, di mana segala kebahagiaan yang kita cari akan kita ketemu juga asalkan kita tak berpaling dari-Nya.




~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: