Wednesday, January 13, 2010

Aduhai Sahabat~

Dalam meniti hari-hari, adakalanya kita tidak dapat menafikan akan kehendak kita yang mahukan seseorang untuk mendengar segala luahan hati kita. Kita mahukan seorang teman sekurang-kurangnya, untuk berbicara dengan kita. Kita memerlukan seorang yang kita percaya, yang kita kasihi untuk menyelami perasaan kita. Dan ketika dalam situasi sebegini, peranan seorang insan yang bergelar sahabat itu sangat diperlukan.



Menuntut dan Dituntut

Namun, adakalanya tanpa kita sedar, mereka yang kita dambakan mempunyai tuntutan ataupun tanggungjawab lain yang lebih utama untuk diselesaikan, dibereskan dengan segera. Dan kita pula menuntut mereka untuk memahami kita, sedangkan mengikut keutamaannya, kita yang patut memahami mereka. Dan dari situasi sebeginilah, akan wujud satu keadaan yang mana akhirnya mencambahkan sesuatu yang diistilahkan sebagai konflik.

Saya sendiri tidak menafikan, adakalanya saya terperangkap dalam keadaan begini. Keadaan di mana saya memerlukan dan seolah-oleh mendesak agar seseorang boleh mendengar dan menyelami hati saya. Keadaan di mana saya diperlukan dan seolah-olah didesak untuk memahami mereka sedangkan saya mempunyai kewajipan dan tanggungjawab lain yang lebih utama. Dan keadaan sebegini akhirnya mewujudkan konflik dalam satu ikatan atau jalinan yang kita namakan sebagai persahabatan.

Walaubagaimanapun, adakalanya saya percaya kita perlu sedaya upaya mengelakkan keadaan sebegini daripada berlaku. Berusaha sebaik mungkin demi menjaga sebuah ikatan yang kita namakan sebagai persahabatan. Berikhtiar sepenuh hati untuk memahami dan difahami agar tautan kasih yang terjalin tadi tidak retak mahupun terlerai. Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dari kamu adalah yang paling baik akhlaknya, yang sentiasa merangkul ketika berjalan (menjaga persaudaraan) dan menyenangi dan disenangi. Orang yang paling aku benci di antara kamu adalah yang suka mengadu-domba, yang memisahkan antara orang yang saling mengasihi dan mencari-cari aib orang yang bersih."




Daripada hadis tersebut, dapat saya konklusikan bahawa betapa Rasulullah mencintai umatnya yang berusaha sehabis baik demi menjaga sebuah ikatan yang dinamakan persahabatan. Pada saya, sahabat itu pastinya saudara, dan tak semua saudara itu sahabat namun kita sebagai umat Muhammad s.a.w haruslah sedaya upaya untuk tidak memutuskan ikatan persaudaraan yang terbina atas nama dan dasar Islam.

Apabila situasi di mana tuntutan kita untuk saling memahami dan difahami ini datang, kita seharusnya berusaha sebaik mungkin untuk menjadi doktor ataupun pakar kepada diri sendiri untuk merawat hati dan jiwa kita. Kita harus percaya bahawa sahabat kita biarpun ketika itu mungkin tidak bersama kita dek tuntutan lain yang lebih aula, namun doa dan semangat mereka sebenarnya tetap mekar dan sentiasa mengiringi kita. Bukankah mereka yang bersaudara itu pengikat hatinya adalah doa yang tidak pernah putus dan sentiasa berpanjangan selain daripada semangat untuk terus berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi-Nya ini?

Muhasabah

Seiring dengan masa-masa yang terus berlalu, selari dengan usia yang akan terus bertambah dari hari ke hari dan bersempena dengan kematian yang akan semakin dekat dan terus mendekati, sama-samalah kita merenung dan bermuhasabah ke atas diri sendiri. Perjalanan untuk menuju syurga itu memang tidak mudah, penuh dengan kepahitan kerana syurga itu terlalu manis.

Memang kita sedia maklum, kita bukannya dapat menjejakkan kaki ke syurga kerana amal kita, tetapi kerana rahmat dari-Nya. Dan rahmat dari Yang Esa itu hadir kerana kasih sayang-Nya. Dan kita pastinya sedia maklum bahawa Allah menyayangi hamba-Nya yang pengasih dan penyayang. Dan mereka yang pengasih dan penyayang itu pastinya mereka yang sentiasa berusaha untuk menjaga persaudaraan tidak kira dengan sesiapa saja, baik yang dipandang mulia oleh masyarakat mahupun yang dipandang serong oleh masyarakat. Kasih sayang itu abstrak, subjektif, tak terlihat oleh mata namun takkan mampu dinafikan oleh hati yang merasa.

Adakalanya, kita mungkin akan rasa sedikit terasing dengan tindakan sahabat yang mungkin tidak dapat memenuhi tuntutan kita untuk sama-sama berkongsi rasa dan cerita, namun janganlah kita biarkan rasa terasing itu "memakan" rasa dan ikatan persahabatan yang telah terbina. Berusahalah untuk menjadi doktor dan pakar jiwa untuk diri sendiri. Basahi lidah dengan zikrullah, InsyaAllah segalanya akan menjadi mudah. Biarpun sahabat mungkin tak mampu berada di sisi kita tatkala hati meronta-ronta mahukan mereka, percayalah Allah itu takkan pernah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Sesungguhnya, hanya dengan mengingati Allah jiwa itu akan menjadi tenang.



Jangan jadikan rasa terasing itu sebagai alasan untuk kita mengasingkan diri daripada para sahabat, kerana tuntutan dakwah itu jauh lebih besar dari tuntutan hati kita yang mahu difahami. Andai kita terus-terusan melayan rasa terasing dalam diri, renungilah mereka yang mungkin sudah mengabdikan jiwa dan diri mereka hampir separuh abad di  atas jalan yang dinamakan dakwah ini. Andai suatu masa dahulu mereka tetap mahu melayan rasa terasing dan akhirnya memilih untuk terus mengasingkan diri, wujudkan kita, generasi hari ini yang seharusnya menyambung kesinambungan perjalanan dakwah ini? Tepuk dada, tanya iman~

[pictures: google image, jamuan karisma]

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: