Saturday, January 9, 2010

Cerpen : Surat Untuk Asyura~

Ke hadapan Asyura,

Assalamua'laikum wbt,

Sudah lama kita tidak ketemu. Mungkin tuntutan akademik dan kekangan masa yang buat kita jadi begitu. Aku faham, mencari masa itu bukan mudah. Tapi, aku yakin, kau dan aku masing-masing tahu, andai kita sudah tahu bagaimana untuk mencari masa tersebut, segala urusan kita akan jadi mudah. Mudah yang amat. Oh ya, aku teringat akan warkah dari kau bulan lepas. Kau terkejut, namun pada masa yang sama bersyukur, aku akhirnya ketemu akan sinar yang ku cari selama ini. Aku akhirnya ketemu mereka yang telah dapat membuka mataku, memimpin langkahku untuk menuju Tuhanku. Aku sedar, selama ini kau telah bersusah payah menyedarkan aku. Namun, aku pula yang tersalah anggap. Aku ingat, bumi Tasmania telah mengubah engkau kerana engkau terlalu rapat dengan golongan-golongan yang aku anggap terrorist. Yang lelakinya hampir 24 jam memakai serban, kopiah mahupun songkok, dan perempuan pula hampir semua pakai tudung labuh. Mereka itulah temanmu ketika itu. Sedangkan, bagi aku, cukuplah kalau sudah pakai tudung ketika itu. Lebih-lebih buat apa kan? Kau juga tahu kan, aku dulu terlalu percayakan CNN. Malahan, aku anggap Al-Jazeera yang pula menyeleweng. Maafkan aku, Asyura.

Ha, seperti yang kau minta dalam warkah engkau yang lepas, kau mahu aku ceritakan bagaimana aku akhirnya ketemu sahabat dunia akhirat aku di sini. Hehe~ Nak tahu jugak ke, my dear? Ececece~

Seperti kau tahu, aku tak lama menikmati masa cuti yang panjang selepas SPM. Oh, aku terlupa. Kau juga sama. Kita sama-sama mendapat tawaran di bawah tajaan MARA, untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dengan menggunakan results percubaan SPM. Tapi, takdir kita berbeza. Kau ditawarkan untuk melanjutkan pelaran ke Tasmania, Australia. Aku pula tertinggal di Malaysia. Seminggu aku berduka lara kerana rezeki kita tak sama. Bertuah engkau, dapat menjejakkan kaki ke bumi orang di usia yang muda lagi. Tapi kau pujuk aku. Jangan sedih Umairah. Biar kita jauh, semangat kita tetap bersatu. Kau sentiasa di hatiku, dan aku percaya kau juga begitu. Aku ingat ayat kau sampai bila-bila. Sampai sekarang, biar kau telah tiada.




Enam bulan berlalu, kau dan aku tak berhubung tanpa sebarang berita. Yang bertanya khabar, hanya ibu kita. Ibu kau tanya mak aku, Umairah di Perak bagaimana? Mak aku tanya emak kau, Asyura di Tasmania macam mana? Dan konklusinya, kau tahu keadaan aku dari ibumu, dan aku juga begitu. Macam couple yang sudah putus cinta pulak kan? Hehehe~

Takdir menemukan kita kembali di Facebook. Aku kaget tatkala melihat nama dan wajah engkau menghantar friend request kepadaku. Aku accept tanpa berfikir panjang. Aku terus view gambar kau satu persatu. Dalam hati aku, Asyura sudah jauh berubah. Sangat berubah. Sudah pakai pakaian yang besar-besar, tudung labuh pula. Aku melihat sambil tersenyum.Terkenang diri sendiri pula dan fikiranku teringat akan kisah semasa aku dilamar dengan usrah oleh sahabatku kini, Aisyah.

Aisyah : Umairah, tengah hari esok, free tak? Aisyah nak ajak Umairah join usrah Aisyah.


Aku : Aisyah, takkanla you tak tau I macam mane? I selalu cerita kat you kan yang I siap matikan kipas lagi setiap kali naqibah I ketuk-ketuk pintu nak datang buat usrah ni. I malas lah benda-benda macam ni. You pun taukan, tengah hari itu je lah masa nak rehat. Petang tu ada kelas Islamic Studies lagi. I malas. You ajakla orang lain.


Aisyah : Alaaaa Umairah... Usrah ni best. Best sangat... 


Aku : I malas. Jangan paksa I ok? 


Aisyah : Baiklah bos. =)

Kau tahu, Aisyah tetap sabar. Aku ingat, bila aku reject ajakan dia untuk join usrah, kami takkan berkawan lagi. Rupanya kekal. Sampailah suatu hari, aku rasa hati aku sangat kosong. Kosong yang tahap dewa punya kosong. Maka, aku dengan penuh selamba datang ke bilik Aisyah. Kau tahu, rupa-rupanya Aisyah tengah handle usrah dia time tu. Dan aku pulak, buat bodoh je lah masuk. Memandangkan sudah masuk, aku pun terus join je la...

Di situlah bermula saat di mana aku jatuh hati dengan usrah. Saat di mana aku telah menjumpai cinta hatiku yang sebenar. Saat di mana aku ketemu sakinah yang aku cari selama ini. Kalaulah kau masih ada Asyura, akan ku bawa kau bertemu Aisyah. Orangnya baik, manis, sopan santun. Sama seperti engkau. Berbeza dari aku. Hehe~

Asyura,

Aisyah selalu ingatkan aku tatkala aku terlupa. Kadang-kadang aku sering dibawanya pulang ke rumahnya. Kau tahu, ayahnya lecturer di situ. Jujur aku beritahu, kalau kau tengok dia sekadar sekali pandang, tiada langsung lagaknya yang menggambarkan dia anak lecturer. Sangat humble orangnya, Asyura.

Hubungan kami terus baik. Dan tanpa disangka-sangka, kami terus berkawan sehingga kami telah pun berada di tahun ketiga. Tapi, panas tak kekal hingga ke petang. Selepas mesyuarat naqibah-naqibah, aku diletakkan di bawah seorang naqibah yang lain pula. Senior kami. Aku tak rapat sangat dengan dia. Aku jadi hilang minat dengan usrah. Sebab bagiku, usrah hanya dengan Aisyah. Aku kerap juga ponteng. Tetapi, Aisyah tetap mendampingiku. Aisyah kata, biar siapapun naqibah kita, semuanya tetap sama. Kita sama-sama mendalami agama semata-mata mencari redha-Nya. Aku terima dan mula belajar untuk mendekatkan diriku dengan naqibah baruku itu. Kak Husna namanya. Orangnya lebih lembut dari Aisyah. Dan seperti kau tahu, aku amat sukar sedikit untuk bergaul dengan orang yang terlalu lembut. Tapi, aku tetap mencuba dan mencuba.

Hubungan kita pula semakin rapat. Sejak aku sudah install Skype di laptopku, hampir setiap malam kita bertelefon. Biar kau di Tasmania, aku hanya di Malaysia. Kita berkongsi cerita, berkongsi cinta. Kau dengan cerita kasihmu di bumi kanggaru, aku pula bercerita kepadamu tentang keindahan dunia halaqah yang baru ku temui. Aku masih teringat kata terakhirmu, biar kita mungkin takkan bertemu lagi, semangat kau tetap akan sentiasa abadi di dalam hatiku. Kau juga beritahu, kau paling sayangkan aku antara semua sahabatmu. Kita pernah lalui jalan yang sama. Tapi takdir telah menemukan kau dengan sinar cahaya lebih awal daripadaku. Kau bilang, mungkin Allah takdirkan begitu sebab mungkin kau yang kan pergi dulu. Dan paling penting, kau sempat memberitahu, kurang dari dua jam lagi kau akan pulang ke Malaysia dan mahu ke Perak untuk menemuiku. Kalaulah kau tahu, akulah tersangatlah excited ketika itu. You are very sweet everytime you try to suprise me, my dear =)

Aku tak dapat tidur lena sepanjang malam kerana terlalu excited untuk bertemu kamu. Aku ceritakan hal ini kepada Aisyah dan juga Kak Husna. Mereka juga gembira malah menyediakan kesediaan mereka untuk berkenalan lebih rapat dengan kau.

Keesokan harinya, selepas Subuh, aku dikejutkan dengan panggilan dari ibu. Ibu memberitahu, ibu kau telah menelefonnya dan memberitahu kau terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya. Yang lebih menyedihkan, kau meninggal di sisi seorang lelaki yang pastinya bukan mahram untukmu. Aku terduduk. Rasa dikhianati. Kau yang selalu berpesan, agar aku selalu menjaga diri, menjaga hati. Tetapi, apakah semua ini? Dan aku juga diberitahu, ibumu tersangat sedih mengetahui keadaan itu kerana dia sendiri tidak tahu bahawa kau sebenarnya pulang ke Malaysia ketika itu.




Biar kau pergi takkan kembali biar apapun yang aku lakukan, aku tetap selalu menangis mengingatimu. Aku menangis kerana kau pergi bukan dalam keadaan yang ku jangka. Aku sungguh tak sangka, Asyura. Begitu pengakhiranmu. Kau baik untukku, malahan terlalu baik bagiku. Mujur, Aisyah dan Kak Husna tak henti-henti memberi semangat kepadaku. Mereka yang banyak menyabarkan aku, membawa kenangan kau dan aku, menceritakan saat-saat manis kau dan aku. Aku sedih mengenangkan sahabat yang terlalu aku sayangi pergi dalam keadaan begitu. Dalam hati kecilku, aku benci lelaki itu~!

Aisyah dan Kak Husna selalu mengingatkan aku dengan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 216.

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

 Benar, mungkin aku benci akan situasi itu sedangkan pada hakikatnya Allah mahu tunjukkan sesuatu. Aku mula merindui kau, Asyura. Ketahuilah, aku rasa dikhianati bukan kerana benci. Jauh sekali kerana dendam. Tapi, kerana terlalu sayang. Kau yang mengenalkan aku dengan keindahan dunia halaqah ini, kau yang tak henti-henti menyabarkan aku tatkala aku betul-betul rimas dengan Aisyah suatu ketika dulu. Tapi, aku tak sangka yang kau.... Aku tak sanggup untuk meneruskan kata-kata. Aku percaya, Allah takkan menguji aku dengan sesuatu yang sia-sia.

Kini, genap dua tahun engkau pergi. Aku tak pernah berhenti dari terus mengingati engkau di dalam sanubari. Bagiku, kau adalah memori. Memori terindah yang paling abadi. Aku sebenarnya pernah mengarang seutus surat yang aku kira akan aku kirim kepadamu menerusi alamat rumahmu sebaik sahaja mengetahui rancanganmu untuk pulang ke Malaysia. Sekadar ingin mengejutkan kamu. Dan ingin membalas suratmu yang kau kirim sebulan sebelum itu. Dan inilah suratnya, Asyura. Surat yang telah ku ubah suai seiring dengan pemergianmu.

Aku sebenarnya sedang rindu tatkala mengingatkan cerita manismu semasa berhalaqah di bumi Tasmania. Merindui akan kisahmu tentang indahnya menyemai rasa izzah di rantau orang. Merasakan kebersamaan yang erat biarpun kalian di sana hanyalah sedikit cuma bilangannya. Adakalanya, aku cemburu dengan kisah-kisahmu, Asyura. Aku jadi sangat teringin, terlalu ingin untuk menginjakkan kakiku ke bumi Tasmania semta-mata kerana engkau.

Biar kini kau tiada, di hatiku kau sentiasa ada. Dalam setiap nafasku, kau tak pernah lari walau sedetik cuma. Berkenaan lelaki yang ditemui bersamamu ketika kemalangan itu, aku tak pasti sama ada aku boleh memaafkannya atau tidak. Aku percaya, tak sepenuhnya salah dia. Tetapi, aku tetap tak boleh lari dari terus menyalahkan dia. Dan untuk pengetahuanmu, bukan mudah untuk meyakinkan ibumu agar memaafkan dia. Tapi, aku percaya, hati ibumu selembut sutera. Tidak seperti aku.

Asyura,

Terima kasih yang tak terhingga di atas segala kisah kasih dan cinta yang kita kongsi bersama. Aku tahu, aku rasa dikhianati kerana aku terlalu percaya. Terlalu percaya bahawa engkau takkan mungkin bisa hanyut dan  boleh karam sebentar di lautan samudera. Bukankah, each betrayal begins with trust? Biar apapun, aku percaya Allah sentiasa mengampunkan engkau di atas segala kebaikan yang pernah engkau taburkan, terutamanya dalam mengubah aku.




Aku sayangkan engkau, terlalu sayang. Terima kasih kerana kasih yang engkau berikan, aku akhirnya mengasihi sahabat-sahabatku. Kerana kasih yang engkau titipkan, aku akhirnya mendambakan cinta Tuhan. Kerana hembusan kasih yang sering engkau kirimkan melalui angin yang berlalu dari Tasmania ke Malaysia, aku akhirnya belajar untuk mengasihi dan menyayangi insan di sekelilingku kerana Dia. Kerana kasih yang sering engkau kirimkan melalui bait kata-kata yang engkau tintakan di mata pena, aku akhirnya mengerti dan memahami bahawa hakikat hidup kita di dunia ini adalah semata-mata kerana iman dan taqwa. Dan kerana kasihmu yang terlalu mendalam buatku, aku percaya jalan pemergianmu menemui Dia adalah peringatan darimu buatku. Terima kasih Asyura, semoga kau bahagia di sana...

Yang terus merindui dan mengasihimu tanpa jemu,
Umairah

[pictures : iluvislam.com]



~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: