Bicara soal cinta, pasti ramai yang akan berfikir. Bicara soal cinta, tak kurang juga yang boleh terleka. Bicara soal cinta, biasanya ramai yang sanggup mendengar, sanggup berkongsi cerita. Tetapi, dalam dunia yang serba moden, yang semuanya sudah canggih-canggih belaka, yang sudah mampu untuk menghubungkan sesiapa saja baik secara nampak mahupun maya, tak mustahil ramai juga yang terlalu mudah hanyut dek cinta dunia, cinta manusia.
Saya secara jujurnya tidak pernah menolak akan rasa cinta. Kerana saya tahu, rasa cinta itu fitrah, anugerah Allah untuk semua hambaNya baik yang beriman kepadaNya mahupun yang terang-terangan menentang perintahNya. Lihat sahaja dunia sekarang, terlalu banyak rumah-rumah perlindungan yang dibina untuk wanita yang kononnya teraniaya, menanggung malu dek perbuatan yang bertunjangkan nafsu serakah semata-mata, mengandung dan akhirnya melahirkan anak tak berbapa, semuanya kerana cinta, cinta dunia yang buta!
Saya menulis kali ini bukan untuk menentang mereka yang bercinta. Bukan juga untuk memalukan siapa-siapa yang sedang bercinta. Bukan juga untuk menghalang mereka yang sudah punyai rasa cinta buat siapa-siapa yang mereka rasa layak untuk menerima cinta mereka. Cuma, apabila sudah terbit rasa cinta sesama hamba, dasarilah cinta itu dengan keimanan dan rasa cinta kepada Yang Esa agar cinta itu bukan sekadar cinta biasa, yang tidak membawa ke syurga sebaliknya saling membawa kedua-dua pihak ke lembah neraka.
Realiti hari ini
Cinta yang bukan didasari dengan iman dan taqwa lazimnya akan tercemar dengan maksiat lantaran terlalu menurut hawa nafsu dan kehendak jiwa. Biar hanya sekadar bicara yang tidak bertentang mata seperti SMS, kemudahan instant messaging seperti Yahoo Messenger, Gtalk, Skype dan sebagainya, semua itu tetap bicara yang mencemarkan cinta andai bicara-bicara itu bukan yang aula, bukan yang dibenarkan syarak, dan paling penting masih lagi dalam keadaan dua insan yang bercinta tadi belum lagi diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah.
Melihat realiti hari ini, keluar berdua-duaan antara dua insan yang bukan mahram bukan lagi sesuatu yang asing di pandangan mata. Lebih menyedihkan, kedua orang tua kedua-dua pihak lazimnya seolah-olah merestui tindakan teruna dan dara tersebut malahan menggalakkan mereka keluar berdua dengan alasan untuk berkenalan dengan lebih rapat. Maka adalah tidak mengejutkan jika hari ini kita mendengar dan membaca terlalu banyak statistik bilangan anak yang dilahirkan luar nikah. Semuanya bermula dari perbuatan ini, yakni keluar berdua-duaan kerana apabila dua insan yang bukan mahram berdua-duaan, pasti wujud yang ketiga iaitu syaitan.
Bagi mereka yang keluar berdua-duaan tanpa pengetahuan kedua orang tua pula, lazimnya andai sesuatu yang di luar jangkaan terjadi, pasti mereka secara tidak langsung telah melukakan hati kedua orang tua mereka. Terdapat juga sesetengah kes di mana apabila kemalangan berlaku, adalah sesuatu yang amat memilukan andai anak yang telah dididik dengan hukum agama tentang konsep bermuamalat dalam Islam terkorban di samping insan yang belum sah menjadi mahramnya. Dan lebih menyayat hati, andai insan yang terkorban tersebut seorang yang berfikrah, mempunyai kefahaman Islam yang mendalam tentang hukum sebegini tetapi akhirnya pergi dalam keadaan yang secara luarannya boleh mendatangkan fitnah ke atas diri mereka setelah mereka pergi.
Isu cinta bukannya isu yang akan dipandang sepi. Bukan mudah untuk mengelakkan atau mengeluarkan diri dari perangkap cinta andai sudah terjerat sekali. Namun, untuk keluar dari cinta yang bukan didasari atas jalan yang benar, mujahadah adalah perkara yang sememangnya wajar dilakukan demi mengelakkan murka Allah di samping untuk memastikan cinta yang terjalin sesama manusia adalah di bawah redha Illahi. Mujahadah itu mungkin sukar, tetapi andai hati sudah menetapkan untuk meletakkan Allah sebagai puncak cinta yang tertinggi, insyaAllah Allah takkan pernah menghampakan hambaNya yang bergantung harap sepenuhnya kepadaNya.
Bagi yang sudah berjaya mengeluarkan diri dari perangkap cinta dunia yang tidak hakiki, usah dan jangan pernah memandang ke belakang dan membuka walau sedikit pintu untuk kembali ke arah perkara itu lagi. Tutuplah serapat-rapatnya pintu yang boleh mengundang ke arah cinta dunia yang palsu dan boleh menjerat diri ke neraka yang seksanya secara terang-terangan telah diceritakan oleh Allah di dalam kalamNya. Kerana andai cinta itu tidak meletakkan Allah sebagai dasar dan matlamat utama, percayalah, amat sukar untuk mencari penghujung destinasi cinta yang bahagia, yang membawa ke syurga, sebaliknya akan mendatangkan perbalahan semasa di hari pembalasan nanti sebagaimana firmanNya,
“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)”
(Al Zukhruf:67)
Buat para pembaca yang sedang bercinta tetapi belum lagi diikatkan dengan lafaz yang sah, buat mereka yang baru sahaja mahu berjinak-jinak dengan rasa yang dikatakan sebagai cinta, buat insan-insan yang sudah lama bercinta tetapi masih belum lagi berjumpa detik dan masa yang sesuai untuk diijabkabulkan, fikirkanlah dan lakukanlah anjakan paradigma dalam hubungan cinta kalian agar cinta kalian akan bertemu dengan satu titik pertemuan yang indah, yang diredhai Tuhan dan akan berakhir dengan rahmat Tuhan yang terindah yakni syurga yang hakiki.Semua orang pastinya berharap untuk terus bersama dan bercinta dengan insan yang mendapat tempat yang paling agung di hati mereka bukan hanya di dunia, tetapi juga berkekalan hingga ke syurga.
Buat mereka yang masih lagi mencari-cari akan cinta mereka, fikirkanlah. Andai kalian sudah benar-benar bersedia dan segala tanggungjawab kepada keluarga telah terlaksana, cepatkanlah dan jangan lengah-lengahkan tetapi buat mereka yang masih lagi punyai cita-cita dan perancangan masa depan yang belum lagi kesampaian, jangan terlalu gopoh dan hanya mahu cepat. Biarlah semuanya berjalan dengan lancar, penuh dengan hikmah, bebas dari segala maksiat yang mungkin boleh menggugat keharmonian rumah tangga di masa depan serta berlaku seiring dengan hukum-hukum syarak yang telah ditetapkan. Percayalah, kebahagiaan yang dicari akan kunjung tiba, asalkan kita sebagai hamba tidak pernah putus harapan ada Yang Esa. Semua yang berlaku, pasti akan berakhir sebagaimana ianya bermula, dan sesungguhnya Allah tidak pernah menetapkan dan menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.
~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~
No comments:
Post a Comment