Membaca entry Tiap 17 Minit lahir anak di sebuah blog membuat saya menjadi sedih dan sebak seketika. Di tengah-tengah keghairahan manusia sejagat secara umunya mengejar pembangunan yang bersifatkan material, ternyata tanpa sedar, kita sebenarnya semakin ketinggalan dari sudut sahsiah, dari aspek akhlak. Dan entry itu pastinya menyebabkan saya semakin runsing, akan bagaimanakah keadaan masyarakat kita secara umumnya paling kurang 10 tahun akan datang?
Menurut sumber tersebut, Selangor mencatatkan bilangan bayi yang tidak sah taraf sebanyak 12, 836 orang sehingga Julai 2008. Itu baru setakat tahun 2008, dan saya percaya seiring dengan peningkatan tahun, bilangan bayi yang tidak sah taraf ini juga turut meningkat. Maka, tidak hairanlah juga jika kita lihat semakin bertambah bilangan bayi-bayi yang tidak berdosa ini ditemui mati dalam keadaan yang tidak sepatutnya, di luar jangkaan peri kemanusiaan, di luar batas-batas norma kita sebagai manusia biasa.
Fenomena sebegini bukan lagi nampak terasing di negara kita pada masa kini. Malahan, masyarakat seperti tanpa sedar seolah-olah telah menganggap fenomena kelahiran bayi tanpa taraf yang sah ini sebagai satu fenomena biasa, yang seolah-olah boleh dipandang ringan sebelah mata. Mungkin juga disebabkan sudah terlalu biasa disajikan dengan berita-berita kelahiran bayi sebegini, masyarakat secara perlahan-lahan telah mula menerima berita kelahiran bayi seperti ini tanpa mahu memikirkan dan menggerakkan satu usaha bersama untuk mengurangkan dan sekaligus mencegah perkara sebegini daripada terus berlaku dan akhirnya meresap dalam budaya masyarakat negara kita yang majoritinya merupakan penganut agama Islam.
Syariat Islam telah menyediakan satu medium yang suci, yang halal bagi menghalang perkara sebegini daripada berlaku yakni perkahwinan. Namun, dek kurangnya kesedaran dan kefahaman masyarakat yang beragama Islam itu sendiri, di samping mudahnya budaya asing yang kuning meresap masuk ke dalam budaya dan jiwa masyarakat hari ini khususnya golongan belia dan remaja, maka tidak hairanlah jika untuk statistik yang akan datang, akan berlaku lebih banyak pertambahan bilangan bayi-bayi yang tidak sah taraf ini. Dan pastinya, secara tanpa sedar, agama Islam yang syumul terkena lumpurnya, dan sekaligus memberi pandangan yang kurang elok di mata mereka yang bukan beragama Islam.
Dan persoalannya, apakah cara ataupun method yang sesuai bagi mengelakkan diri kita dari terjerumus ke lembah yang hina ini?
Saya percaya, setiap orang pasti mempunyai pandangan dan jawapan tersendiri terhadap isu ini. Dan bagi saya, cara yang paling mudah bagi mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam lembah sebegini pastinya memantapakan ilmu dan pengetahuan agama masing-masing. Dari ilmu dan pengetahuan itu, insyaAllah akan lahirnya penghayatan dan akhirnya membawa kepada satu tindakan.
Soalannya, apakah cara yang paling mudah untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan agama, selain dari bacaan tidak kisahlah dari buku, artikel ataupun majalah-majalah kerohanian?
Dan jawapan saya pula, pastinya usrah, atau dalam kata lainnya keluarga. =)
Saya tidak mengatakan bahawa ilmu dan pengetahuan itu seratus peratus diperolehi daripada usrah. Tetapi, usrah itu merupakan salah satu method yang paling berkesan untuk meningkatkan ilmu di samping mengembangkan silaturahim sesama manusia. Dan mereka yang melibatkan diri dalam usrah ini lazimnya mempunyai satu matlamat bersama yang utama, iaitu bersama-sama mendalami agama demi mencari redha Illahi. Indah bukan? Apabila kita saling memahami dan menjalinkan persahabatan dengan niat untuk mendekati Pencipta kita.
Sejarah dakwah Rasulullah s.a.w. menunjukkan kepada kita bahawa untuk peringkat 3 tahun yang pertama di mana Islam disebarkan secara rahsia, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat mendalami dan mempelajari agama Islam melalui usrah yang diadakan di rumah Arqam bin Abi Al-Arqam. Dari usrah tersebut, mereka saling mempelajari agama di samping membina kekuatan untuk mengembangkan ajaran Islam yang syumul. Dan di sini, kita dapat lihat bahawa betapa usrah itu adalah asas kepada perjuangan mereka sebelum Islam berjaya berkembang dengan pesatnya dan akhirnya kekal sehingga saat ini.
Usrah bukan hanya tempat untuk mencari ilmu. Usrah bukan hanya sebagai satu tempat di mana kita hanya boleh berbicara soal agama, tetapi usrah itu adalah tempat di mana karakter kita dibina, kita membina hubungan persahabatan yang bukan saja diharapkan kekal di dunia tetapi juga kekal hingga akhirat. Bak kata segelintir sahabat saya, geng di dunia, geng di syurga InsyaAllah =). Usrah juga boleh dijadikan sebagai satu medium atau satu lapangan di mana jalinan ukhuwah itu dibina, dan jalinan itu tidak akan berkurang disebabkan kekurangan, dan tidak bertambah disebabkan kelebihan. Tetapi, semuanya kerana Allah. Sungguh indah, bukan? =P
Dengan hadirnya sahabat yang sentiasa hadir biar pun tidak melalui jasad, tetapi menerusi semangat ini, insyaAllah kita akan mempunyai lebih kekuatan selain daripada kekuatan yang tidak pernah putus kita perolehi daripada Allah s.w.t.. Tatkala kita tersasar, mereka membantu menunjukkan jalan, tatkala kita terlupa, mereka hadir dengan izin Allah untuk mengingatkan, ketika kita gusar, mereka datang untuk menghiburkan dan tatkala kita memang lemah dan hampir rebah di persimpangan hidup yang penuh simpang, mereka sentiasa sudi menghulurkan tangan dan memimpin kita menuju kebenaran =)
Buat mereka yang masih tercari-cari akan di mana ketenangan, buat mereka yang sedang dalam fasa mencari kekuatan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan, carilah sahabat yang sebegini atau bercampurlah dengan mereka yang menggerakkan usrah, insyaAllah itulah antara jalan setepatnya untuk mengenali Tuhan. Ibnu Abbas sendiri pernah menjawab ketika beliau ditanya akan 7 indikator kebahagiaan dunia, dan salah satu jawapannya ialah Albiatu Sholihah yang bermaksud lingkungan kondusif untuk iman, dan antara contoh lingkungan kondusif untuk iman ini ialah melibatkan diri dengan usrah ataupun halaqah, insyaAllah ianya akan mampu untuk memberi nilai tambah terhadap iman kita.
~Makan bersama untuk mengeratkan ukhuwah~
~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~
2 comments:
kalau dibaca dari lin tersebut...
statistik itu adalah lehairan tanpa bapa oleh jabatan pendaftaran negara...
cuba tambahkn dgn anak2 yang tidak ddaftarkan sama ada dbuang atau pun dbunuh..
sudah pasti angkanya berlipat kali ganda..
hurmm...dunia ooo dunia
betul...
atas sebab itulah, perlunya ilmu itu agar wujudnya penghayatan dan akhirnya membawa kepada tindakan spt pencegahan~
inilah realiti dunia akhir zaman dan semoga hati dan iman kita sentiasa terpelihara, insyaAllah~
Post a Comment