Hari ini sudah 16 Muharram 1431 Hijrah. Dan hari ini merupakan hari kedua tahun 2010 membuka tirainya. Berdasarkan sedikit sebanyak berita yang saya baca, tidak banyak perubahan yang berlaku melainkan harga gula dan minyak telah meningkat di pasaran global. Saya tidak melihat ini sebagai satu beban, sebaliknya ini mungkin satu cabaran. Cabaran untuk melihat sejauh mana kita mampu untuk merasa cukup atau mencukupkan keperluan, biar harganya meningkat sedangkan kadar pendapatan kita masih lagi sama.
Biar sudah 16 hari berlalu ulangtahun ke 1431 peristiwa hijrah, saya tetap merasakan masih belum terlambat untuk saya berbicara soalnya. Hijrah, menurut bahasa bermaksud berpindah atau meninggalkan. Secara istilah, hijrah merujuk kepada kisah perpindahan Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Islam Mekah ke Madinah demi untuk menegakkan syiar Islam yang suci. Dan hijrah itu pastinya bukan mudah. Pengorbanan, baik dari aspek material mahupun spiritual adalah sangat dituntut, dan sebab itulah insan-insan yang berupaya untuk berhijrah itu lazimnya terdiri daripada kalangan mereka yang mampu untuk bangkit dan berubah demi Allah dan menuju ke arah kebaikan.
Konsep Hari Ini
Walau bagaimanapun, hari ini sudah tiada lagi hijrah dari Mekah ke Madinah. Yang ada, hanyalah hijrah yakni perbuatan seorang insan itu yang berubah dengan meninggalkan segala larangan Allah dan mendekati serta melaksanakan segala suruhannya. Inilah pengertian atau konsep hijrah pada hari ini yang sewajarnya dihayati dan difahami ertinya dengan sepenuh hati oleh setiap insan yang mempunyai keazaman untuk melakukan hijrah. Bukan hanya sekadar kata dan bicara kosong, namun usaha bagi menjadikan hijrah itu satu realiti juga perlulah mantap dan bersungguh-sungguh. Pengertian sebeginilah yang wajar dihayati dan dituntut dalam Islam dan sama sekali wajar dilaksanakan baik melalui perkataan, perbuatan mahupun hati.
Tidak dinafikan, wujud juga kalangan insan yang berhijrah ini bukan kerana Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud,
"Barangsiapa hijrahnya demi dunia yang diingininya atau demi perempuan yang dia ingin mengahwininya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia berhijrah kepadanya itu."
Dari kenyataan di atas, saya dapat menyimpulkan bahawa hijrah itu mempunyai dua keadaan: berhijrah memang semata-mata kerana agama, ataupun berhijrah demi kepentingan dunia ataupun perbuatan lain yang seumpama dengannya tetapi secara zahirnya kelihatan seperti kerana agama. Sebagai contoh, ada di kalangan manusia ini yang menuntut ilmu semata-mata untuk mendapat tempat di kalangan masyarakat, dan ada pula yang mengerjakan ibadah semata-mata mahu dianggap alim oleh masyarakat. Namun, kerana kita manusia yang hanya mampu mengadili atau menilai secara zahir atau lahiriah sahaja, maka sewajarnya kita bersangka baik terhadap insan sekeliling kita dan meninggalkan urusan niat dan qasad itu kepada Allah kerana hanya Dia yang mengetahui segala isi hati hambanya.
Muhasabah
Selari dengan peningkatan umur dan pertambahan bilangan tahun, sama-samalah kita berusaha untuk menjadi yang terbaik dan berusaha untuk melaksanakan segala kebaikan. Hal ini demikian kerana, hanya Allah satu-satunya yang mengetahui rahsia umur kita. Kita takkan tahu dan tak mampu untuk menjangka selama manakah lagi kita mampu bertahan dan terus melangkah di muka bumi ciptaannya ini. Lagipun, saya percaya, andai hidup ini sentiasa kita penuhi dengan segala macam kebaikan, InsyaAllah kebaikan itu juga yang akan terus menyinari hidup kita. Bak kata Ustaz Hasrizal dalam laman webnya di http://saifulislam.com/, apabila kita memberi, akhirnya kan kembali juga kepada diri. Bukanlah niat kita untuk sentiasa memberi itu hanya kerana mahukan balasan, tetapi kita memberi untuk menjadikan kehidupan kita lebih bermakna dan beerti.
~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~
No comments:
Post a Comment