Pada suatu hari, Ibnu Abbas r.a telah ditanya tentang kebahagiaan dunia. Dan beliau telah menjawab terdapat tujuh kebahagiaan dunia iaitu :
1) Qalbun Syakirun
Qalbun syakirun bermaksud hati yang selalu bersyukur. Hamba yang bersyukur itu biasanya redha menerima apa adanya atau dalam kata lainnya qanaah. Golongan ini biasanya dapat memahami sifat-sifat Allah dengan bijaksana. Mereka sentiasa kagum, redha malahan terpesona dengan segala pemberian yang Allah berikan. Apabila mereka ditimpa musibah atau kesulitan, mereka akan melihat dan memerhatikan orang yang lebih sulit daripada mereka, tetapi apabila mereka dikurniakan kemudahan oleh Allah s.w.t, mereka akan memperbanyak amalan mereka dan sekaligus dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Pencipta.
2) Al azwaju shalihah
Bermaksud pasangan hidup yang soleh. Hanya pasangan-pasangan yang soleh mampu menciptakan suasana rumah dan keluarga yang soleh. Wujudnya konsep Baiti Jannati ini apabila wujudnya persekitaran keluarga yang harmoni, sentiasa melaksanakan perintah agama serta istiqamah dalam melaksanakan amal makruf, nahi mungkar. Dan perjalanan mencari pasangan hidup yang soleh mahupun solehah itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Kerana sesiapa yang mahukan pasangan yang soleh, mereka haruslah menjadikan diri mereka solehah terlebih dahulu dan begitulah sebaliknya. Ini dapat dilihat dalam firman Allah dalam Surah Annur ayat 26 yang bermaksud,
"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia."
3) Al auladun abrar
Merupakan anak yang soleh. Anak yang soleh merupakan idaman setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Hanya anak soleh yang dapat mendoakan kedua ibu bapa yang telah pergi menghadap Illahi. Walau bagaimanapun, untuk mendapat anak yang soleh, lazimnya kedua ibu bapa haruslah menjadikan diri mereka soleh dan solehah terlebih dahulu. Ini kerana ibu bapa merupakan acuan yang bakal membentuk kuih yakni si anak tadi untuk menjadi soleh ataupun sebaliknya.
4) Albiatu Sholihah
Albiatu sholihah bermaksud lingkungan ataupun persekitaran yang kondusif untuk iman. Dalam usaha kita untuk meningkatkan di samping mengekalkan tahap keimanan yang baik, kita seharusnya bergaul dan sering bercampur dengan insan-insan yang dapat memberikan nilai tambah terhadap iman kita. Saya tidak mengatakan bahawa kita harus mengelakkan diri atau tidak mahu bercampur terus dengan golongan yang bukan seperti ini. Cuma, kita harus lebih banyak menghabiskan masa kita untuk berdampingan dengan mereka-mereka yang mampu mengajak kita ke arah kebaikan dan mengingatkan kita tatkala kita melakukan kesilapan sebagaimana telah dianjurkan dalam salah satu daripada hadis baginda Rasulullah s.a.w.
5) Al malul halal
Bermaksud harta yang halal. Islam tidak menganjurkan umatnya memiliki harta yang banyak tetapi mewajibkan umatnya memiliki harta yang halal. Kerana harta yang berkat itu adalah harta yang halal. Tiada gunanya kita hidup bergelumang dengan harta yang banyak tetapi merupakan harta yang haram. Halal di sini bukan sahaja secara hukumnya halal, tetapi kaedah mendapatkannya juga perlu halal. Biarpun secara hukumnya sesuatu harta itu adalah halal, tetapi andai cara mendapatkannya haram, maka harta tersebut tetap merupakan harta yang haram. Rasulullah s.a.w. pernah bertemu dengan seseorang, dan baginda berkata "Kamu berdoa sudah cukup bagus." Dan baginda menyambung lagi, "Namun sayang, makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggalmu didapati secara haram, bagaimanakah doamu akan dimakbulkan?"
6) Tafakuh fi dien
Tafakuh fi dien ialah semangat memahami agama. Semangat ini lazimnya akan lahir dari semangat memahami ilmu agama. Seseorang yang hatinya sudah hadir semangat ini akan semakin mencintai Allah apabila semakin dalam dia mendalami atau mempelajari sesuatu ilmu agama. Daripada ilmu yang diperolehi ini, yang mana seterusnya akan diamalkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian insyaAllah akan dapat menghidupkan hati. Hati yang hidup adalah hati yang selalu dipenuhi cahaya nikmat Islam dan iman.
7) Umur yang berkat
Seseorang yang umurnya berkat akan semakin merindui Penciptanya seiring dengan peningkatan usianya. Insan yang umurnya berkat ini bukan sahaja memperbanyakkan amalan mereka ketika usia sudah senja malahan juga memenuhi masa muda mereka dengan melengkapkan diri untuk menghadapi akhirat. Ini kerana umur itu seiring dengan masa. Sebagaimana masa tidak dapat diputarkan kembali, usia yang sudah tua tidak boleh menjadi muda kembali walau dengan apa cara juga sekalipun. Sebab itulah Allah berfirman dalam Surah Al-'Asr yang bermaksud,
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. "
Semoga kita sama-sama dapat mengecapi segala kebahagiaan yang kita inginkan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. InsyaAllah~
[pictures: google images, iluvislam.com]
~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~
No comments:
Post a Comment