Monday, January 4, 2010

Maaf~

Adakalanya, dalam kita melalui liku-liku hidup ini, kita tak terlepas dari melakukan kesilapan. Kesilapan itu baiknya datang dari tutur kata, perbuatan waima niat yang jauh tersembunyi di dasar hati. Biarpun tidak nampak, tetapi Allah tahu bahawa niat atau nawaitu kita itu terkadang silap. Jika kita analisis secara jujur akan diri kita sendiri sepenuh hati, hati kecil kita tetap takkan mampu untuk menipu bahawa niat kita itu adakalanya silap, tersasar dari laluan yang diredhai Allah.

Lantaran itu juga, kita adakalanya tidak pernah terlepas dari dilukai ataupun dikasari baik mereka yang kita anggap sekadar teman biasa sehinggalah mereka yang boleh kita anggap sebagai insan yang kita terlalu sayang, terlalu cinta. Lazimnya, kita terlalu mengharapkan kesempurnaan semata-mata dari mereka dan lantaran itu, kita jarang bersedia dengan kemungkinan bahawa hati kita mungkin bakal terluka oleh mereka.

Mencari Sempurna

Tidak silap andai kita sentiasa menginginkan yang sempurna dari rakan mahupun sahabat yang telah kita anggap umpama keluarga sendiri. Bahkan, kita tidak mungkin boleh menolak hakikat bahawa kita juga mendambakan kesmpurnaan dari keluarga kita, lagi-lagi ibu bapa dan adik-beradik. Mungkin tidak semua, tetapi saya percaya ianya tetap ada. Dan kerana terlalu mengharapkan sempurna inilah, hati kita jarang bersedia dengan sebarang kemungkinan bahawa adakalanya hati ini pasti akan tercalar, terhiris dan mungkin terluka.

Saya sendiri tidak menafikan saya pernah mengalami pasang surut dunia persahabatan. Secara jujurnya, sakit untuk menerima hakikat apabila kita disakiti oleh seseorang yang kita sayang, yang kita lindungi sepenuh hati semata-mata kerana rasa kasih itu tadi. Apabila terjadinya suatu perselisihan faham, lazimnya masa yang diambil untuk mengubat kelukaan tersebut dan menjernihkan kembali suasana bukan sekejap dan memerlukan banyak muhasabah, banyak perbincangan.

Pihak Ketiga


Namun, sebagai khalifah yang hanya menumpang di muka Bumi Allah ini, adakalanya kita harus sedar bahawa kita bukan Tuhan, bukan Pencipta yang selayaknya menghukum sesama manusia. Selagi boleh dibawa berdamai, dibawa bersabar, tidak salah andai kita saling bermaafan dan melupakan saja segala yang telah terjadi. Memang akan mengambil masa, namun andai kesemua pihak yang bersengketa sama-sama bermuhasabah dan merenung kembali diri sendiri, pasti tiada sebab untuk kita terus bersengketa atau mungkin sahaja terus membenci.

Adakalanya, tatkala berlakunya persengketaan antara dua pihak, perlu ada pihak ketiga yang datang bagi menjernihkan semula suasana dan keadaan. Ini bukannya satu keperluan yang berlandaskan dalil aqli semata-mata, malahan Allah dalam firmannya dalam Surah Al-Hujurat Ayat 10 ada berfirman yang bermaksud:

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara saudara kamu (yang bertelingkah itu), dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Namun, mencari orang ketiga itu perlulah berhati-hati, kerana bukan semua orang boleh dipercaya. Saya bukan mahu bersangka buruk, tetapi realiti dunia hari ini, yang mana kebanyakan manusia lebih cenderung ke arah sesuatu yang jahat berbanding yang baik juga menyebabkan kita sebagai manusia biasa sangat perlu untuk berhati-hati dalam memilih mereka yang boleh dipercaya. Andai tersilap orang ketiga, bukan kedamaian yang akan kita ketemu, sebaliknya pertelingkahan akan menjadi lebih buruk kerana hadirnya golongan yang menjadi batu api serta suka mengadu domba. Dalam konteks ini,adalah lebih baik untuk tidak 'menghadirkan' orang ketiga kerana dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih mudharat.

Bukan Tuhan

Saya akui, memberi kemaafan itu tidak semudah memohon kemaafan. Ini kerana, memberi kemaafan itu perlu dari hati, sedangkan memohon kemaafan itu mudah sahaja dituturkan melalui bicara kata yang mungkin bukan dari hati yang ikhlas. Mungkin ada yang sekadar mengangguk tanda memaafkan mereka yang memohon kemaafan, tapi saya percaya jauh di sudut hati yang dalam, terlalu sukar sebenarnya untuk memberi kemaafan dan melupakan segala yang telah berlaku.

Namun, kita harus sedar. Andai Nabi Muhammad s.a.w yang sudah banyak teruji itu masih lagi mampu untuk memaafkan umatnya baik yang menerima ajarannya mahupun yang terus berpaling dari seruannya, inikan pula kita manusia biasa yang tidak maksum, bukan sempurna. Malahan, Allah yang menciptakan kita sentiasa membuka pintu taubat bagi hambaNya yang mengakui dosa mereka, sebagaimana nasihat Rasulullah s.a.w. kepada isterinya, Aisyah r.a menerusi sabdanya yang bermaksud,

"Jika anda berbuat dosa hendaklah meminta ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya seorang hamba, jika ia mengakui dosanya dan bertaubat, maka Allah menerima taubatnya."

Muhasabah

Saya mengambil petikan lagu dendangan kumpulan Rabbani yang bertajuk Maafkanlah sebagai satu medium untuk saya bermuhasabah ke atas diri saya sendiri. Semoga kita dapat sama-sama merenung ke dalam diri dan berusaha untuk mengamalkan segala kebaikan yang mampu menambahkan timbangan amal semasa di hari penilaian terakhir yang mana destinasi akhir kita yang abadi bakal ditentukan di situ.

Akui segala kesilapan
amalkan kejujuran ia tak merugikan

Air yang jernih itu kan juga keruh
akhirnya jika ia dicampur walau sedikit lumpur
kan begitu jua hati manusia
jika ia berkata walau sekecil zarah
tak bermakna...

Oh insan maafkanlah
kesalahan teman seperjuanganmu
selama telah pergi kasihani dia yang terseksa
oh insan maafkanlah andai tersalah tutur bicara
oh insan renungilah ada ganjaran yang menunggu kita
tika di syurga...........


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: