Monday, May 31, 2010

Sharing: Wajah Sebenar~

Tiada kata lain selain Alhamdulillah yang mampu saya lafazkan atas segala kurniaan Illahi. Sungguh, saya sama sekali tidak pernah menyangka begitu indah percaturan yang telah diatur oleh-Nya, biarpun pada mulanya mungkin nampak sukar, ternyata, setelah dilalui, ianya sebenarnya jauh lebih mudah.

Lebih kurang empat hari lagi, saya akan meninggalkan bumi Semenanjung untuk lapan bulan lamanya. Menjalani latihan industri di tanah air sendiri, mungkin satu rahmat yang tak terhingga buat saya, yang sejak berusia 13 tahun lagi hanya menghabiskan masa maksimum 3 bulan penuh di rumah. Dan pastinya, tempoh untuk tinggal bersama keluarga selama hampir lapan bulan secara total adalah sesuatu yang amat menggembirakan.

Wajah Sebenar

"Zati, saya sangat takut andai tempoh lapan bulan ini menyebabkan saya menjadi insan yang lain. Jika lebih baik, alhamdulillah. Tapi, jika sebaliknya?" ujar seorang sahabat ketika kami sedang berduaan menuju Batu Gajah untuk menikmati makan malam di kedai Nasi Lemak Ayam Golek sebentar tadi.

Saya hanya mampu tersenyum. Memahami kegusaran yang melanda hati seorang sahabat ini. Benar. Kita ini mempunyai hati manusia. Sikap manusia. Jarang benar kita menemui mereka yang mampu istiqamah dalam menempuhi satu jalan yang panjang, lagi-lagi, tatkala perlu bersendirian.

"InsyaAllah, semuanya akan baik-baik sahaja. Paling penting, hendaklah sentiasa berdoa agar hati tetap dan terus terpelihara. Bukan mudah untuk mengekalkan bicara dalam lenggok bahasa yang sama ketika berjauhan dengan insan-insan yang banyak menitipkan kata-kata nasihat buat kita," balas saya, sambil tersenyum ke arahnya.

"Itulah, kadang-kadang seperti takut dengan bayang-bayang sendiri. Bimbang, andai-andai, apa yang sudah kita pegang, terlepas dari genggaman. Lagi pula, perlu menempuhi segalanya sendirian. Hanya iman dan ilmu yang ada sebagai bekalan..."

Saya hanya mampu menarik nafas panjang. Hakikatnya, saya juga bimbang. Bimbang kalau-kalau bahasa yang ditutur bukan lagi dalam lenggok yang sama sekembalinya saya dari latihan industri ini kelak. Menjaga sesuatu yang bernama hati itu bukannya mudah, terlalu payah. Pastinya, berjauhan daripada sahabat-sahabat secara zahir, bakal menguji dan melihat sejauh mana kekuatan yang ada dalam diri. Untuk melihat, apakah sebenar wajah diri. Dan untuk menguji, sejauh mana kuatnya iman di hati.

Hakikatnya, kita punyai banyak pilihan. Mahu terus melangkah, atau berhenti, atau mungkin bertukar arah, semuanya terletak pada diri. Dan jangan pernah mendasari pilihan kita berasaskan nafsu semata-mata, tetapi dasarilah pilihan kita bukan sekadar dengan akal, tetapi juga iman. Itu yang paling utama.

"Dan katakanlah: "Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barang siapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir". Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang lalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek."
[18:29]

Penutup

Semoga kita sama-sama dapat menimba sebanyak pengalaman yang mungkin sepanjang menjalani latihan industri yang akan bermula kurang dari 10 hari mulai saat ini. Dan buat teman-teman "sedarjah", terima kasih atas segalanya. Segala bantuan, nasihat, kata-kata semangat, insyaAllah akan terus dijadikan panduan kepada diri untuk menilai.

Khas buat kanak-kanak perempuan riang "Darjah 3 Kumpulan 2", semoga segala urusan kamu dipermudahkan. Semoga yang diimpikan, bakal menjadi kenyataan.




Dan untuk keseluruhan warga Cheme Jan07, semoga yang terbaik sentiasa bersama kalian. InsyaAllah =)



~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~