Friday, May 21, 2010

Aduhai Kamu~

Alhamdulillah. Bersyukur saya ke hadrat Illahi kerana akhirnya mengurniai saya dengan secebis ilham untuk mencoretkan kata. Terasa seperti sudah lama saya tidak menitipkan bicara, dan semoga apa yang bakal saya tulis dapat membuatkan kita sama-sama berfikir dan merasa.

Seringkali kita dengar, kaum hawa yang menjadi punca kepada pelbagai masalah dan gejala sosial yang melanda ummah pada hari ini. Ketidakupayaan mereka dalam memenuhi tuntutan syariat baik dari segi pakaian, tingkah laku dan juga muamalat lazimnya dikaitkan sebagai punca kepada permasalahan sebegini. Ya, sedikit sebanyak saya mengakui hakikat tersebut. Dan sulit sekali untuk saya menolak hakikat tersebut, memandangkan dari hari ke hari, semakin jelas dan nyata bahawa kaum hawa pada hari ini kebanyakannya semakin berani untuk mendedahkan diri mereka, tanpa rasa malu mahupun janggal berpelakuan sedemikian.

Tapi hakikatnya, kaum adam juga tidak terlepas dari permasalahan sebegini. Mungkin benar kiranya, kami di pihak kaum hawa ini adakalanya terlalu menarik perhatian kalian sehinggakan untuk menjaga pandangan pun sudah menjadi perkara yang teramat sukar buat kalian. Lambakan fesyen-fesyen terkini, yang kononnya seiring dengan arus modeninasasi menyebabkan kami sebagai kaum hawa adakalanya berlumba-lumba untuk mencuba. Natijahnya, kami tanpa sedar telah mencuri hati ataupun pandangan kalian, dan dari mata lahirlah masalah-masalah lain yang akhirnya berkemungkinan tinggi membawa kepada zina. Nau'zubillah~!

Namun, saya agak tertarik tatkala terbaca beberapa berita di akhbar Harian Metro pada hari ini tentang kisah kaum lelaki. Sewenang-wenangnya membelasah kaum hawa yang sudah berkorban hampir separuh nyawa melahirkan zuriat, sanggup mengurung kekasih hati yang dahulunya dipuja sepenuh hati tanpa ada rasa belas simpati, dan pelbagai lagi cerita dan berita yang menyebabkan saya tertanya-tanya, kalau di usia saya yang baru menjenguk dekad kedua sudah begini jadinya, bagaimana pula untuk dua dekad yang akan datang?

Paling mengejutkan, ada juga di kalangan kaum adam ini sudah hilang akal, entah di mana silap, entah di mana salahnya, turut menjadi pelacur untuk kaum mereka sendiri! Saya tidak tahu bagaimana untuk menginterpretasikan perasaan sebenar saya tatkala membaca berita ini, tetapi yang pasti, dada saya tiba-tiba menjadi sesak, sedih, mungkin kerana tidak menyangka bahawa perbuatan yang sebenar-benar dilaknat ini rupanya menjadi barah dalam diam di kalangan masyarakat hari ini. Saya tidak menjangka, perbuatan hina yang pernah berlaku pada zaman Nabi Luth a.s itu kini terjadi, terjadi di tanah air saya sendiri.

Mungkin sebelum ini, saya hanya mendengar cerita. Mungkin juga saya hanya mendengar khabar yang puncanya entah dari mana. Tetapi tatkala saya membaca sendiri berita dari sumber akhbar harian tempatan yang saya kira agak popular, serta-merta saya jadi sebak, sedih memikirkan kenapa begini jadinya, wahai kaum adam? Tatkala membaca berita ini, saya teringat maksud Surah Al-A'raaf, ayat 80 dan 81,

Dan (Kami juga telah mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada kaumnya: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu?Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas."

Sekadar nukilan biasa, dari saya seorang hamba biasa yang masih sukar untuk menerima satu hakikat yang nyata,

Sewajarnya kamu yang meluruskan kami, tatkala kami menjadi bengkok seketika...
Seharusnya kamu yang mendidik kami, agar sentiasa rindu akan kebenaran kasih-Nya...
Sepatutnya kamu yang membimbing kami, agar kami tak tersasar dalam memilih jalan pasti...
Sememangnya kamu yang perlu mengetuai kami, agar kami sentiasa terarah pada satu kiblat yang sama...

Andai hari ini kamu sudah tersasar dalam memilih haluan yang bermakna...
Andai hari ini kamu yang berani dan berjiwa hamba sudah hilang entah ke mana...
Andai hari ini kamu yang kami dambakan menjadi payung kepada satu bahagia sudah bisa menyediakan neraka dunia...
Andai hari ini kamu yang seringkali kami impikan menjadi penunjuk kebenaran yang nyata sudah jatuh ke lembah yang hina...
Lalu, di mana silapnya, di mana punca datangnya?

Kembalilah...
Datanglah...
Agar kalimah-Nya terus bertasbih di seluruh alam...
Agar syiar-Nya terus terpasak utuh di langit bumi...

21 Mei 2010
11.15 pm
Theme song: Awaken (Maher Zain)


Credit to iluvislam.com 

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: