Wednesday, May 5, 2010

Sharing: Kerana Fitrah Manusia Itu~

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Illahi atas segala nikmat kurniaan-Nya yang tidak pernah henti, biarpun diri ini seringkali lalai dan leka dalam mentaati setiap perintah dan suruhan-Nya. Benarlah petikan lirik lagu Mengemis Kasih yang dipopularkan oleh The Zikr suatu ketika dahulu, harga selautan syukurku, hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi...

Tatkala saya menulis entry ini, hati sebenarnya sedikit kesal tatkala melihat paparan misscall dari adik bongsu tersayang. Bertambah kesal tatkala menelefon semula, mama memberitahu beliau sudah tidur kembali selepas kempunan bercakap dengan Kak Ijanya. Saya teringat akan perbualan dengan si cilik beberapa hari lepas,

Athirah: Assalamua'laikum Kak Ija. Kak Ija buat apa?

Saya: Kak Ija tengah baca buku. Cikgu kepada Kak Ija suruh buat kerja sekolah. Athirah macam mana? Best pergi sekolah?

Athirah: Best. Kak Ija, Athirah dah pandai baca nombor banyak-banyak.

Saya: Baca nombor banyak-banyak? Bacalah.

Athirah: 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10, 11, 12, 13, 14, 15, 16, 17, 18, 19, 20, 21, 22, 23, 24, 25, 26, 27, 28, 29, 30, 32, 34, 37...

Saya: Berhenti-berhenti. 31, 32...

Athirah: 31, 32, 34, 37, 39..

Saya: 33, 34, 35...

Athirah: Kak Ija, Athirah penatlah...(nada seperti malas mahu mengulangi lagi apa yang telah dibaca setelah saya memperbetulkan banyak kali)

Saya: Ala.. Baiklah..(saya mengalah memandangkan sebelum ini Athirah hanya mampu membaca 1 hingga 10 dengan lancar). Esok Athirah baca lagi ye?

Athirah: Ye... Kak Ija, nanti belikan Athirah telekung barbie boleh tak? Athirah nak sembahyang macam mama, papa, Kak Ayuni dan Abang Hasif tapi telekung mama bagi sangat besar.

Saya: Baiklah. (biarpun dalam hati agak pelik memikirkan istilah telekung barbie)

Keesokan harinya, si cilik menelefon lagi. Kali ini mahu mengkhabarkan yang dia sudah bisa membaca ABC dengan penuh tanpa sebarang ketidak pastian. Lebih terharu, apabila si cilik ini siap menyanyikan lagu ABC dengan sepenuh hati. Kuat dan nyaring. Sehingga saya terpaksa menjauhkan telefon dari telinga dek suaranya yang penuh nyaring dan semangat itu. Dan seperti biasa,

Athirah: Kak Ija, awak dah belikan saya telekung barbie?

Saya: Athirah, barbie pergi sembahyang ke? Athirah tengok kat mana?

Athirah: Ala... Kak Ija ni... (nada hampir merajuk)

Saya: Erm..esok Kak Ija pergi kedailah cari telekung barbie. Esok belajar rajin-rajin ye sayang. Belajar nombor banyak-banyak lagi.

Athirah: OK... I love you.

Saya: I love you too..


~Set telekung barbie yang akhirnya berjaya ditemui hari ini...~

Apabila teringat perbualan di atas, saya mula belajar, dan saya semakin mengerti, bahawa lumrah manusia itu sangat suka kepada penghargaan. Lebih-lebih lagi apabila mereka dihargai dengan sesuatu yang mereka suka atau dengan sesuatu yang sangat mereka ingini. Mereka akan menjadi semakin bersemangat untuk mencapai tahap terbaik yang mereka lakukan. Perbualan di atas hanyalah secebis kisah, dari pelbagai kisah di muka bumi ini, bahawa betapa manusia itu, suka pada penghargaan, perlu untuk dihargai.

Adakalanya, dalam kita berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, kita acapkali terlupa untuk menghargai sahabat-sahabat seperjuangan kita. Kita adakalanya terlepas pandang bahawa biar hanya dengan secebis kata-kata manis yang lahir dari hati yang ikhlas, mampu menjadi sumber kekuatan buat sahabat kita, yang mungkin ketika itu tanpa kita sedari sedang lemah atau mungkin berada di tahap keimanan yang paling rendah. Kita seringkali menganggap bahawa mereka ini sudah cukup faham, cukup tahu tentang perlunya berjuang menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah ini sehinggakan kita lupa, bahawa mereka itu manusia biasa, yang pastinya punyai satu fitrah yang lumrah bagi seorang manusia yakni suka pada penghargaan.

Kadang-kala, kita melihat mereka yang sudah lama berada di jalan ini sebagai seorang manusia yang hidupnya sudah sebati dengan keperluan syariat, tanpa kita menyedari bahawa secara fitrahnya, mereka juga perlukan serta mengharapkan perkara yang sama sebagaimana insan-insan yang lain. Mereka juga perlukan penghargaan, mereka juga perlukan bisikan kekuatan dari sahabat-sahabat, mereka juga mahu "dimanja" dan mereka juga perlukan pengisian, bukan hanya sentiasa memberi pengisian. Masakan kita mampu untuk sentiasa memberi, andai yang kita miliki tidak sentiasa ditambah atau dalam kata lainnya di"topup" dari masa ke masa?

Sekadar satu perkongsian agar kita sama-sama menyedari bahawa dalam memenuhi tuntutan syariat yang digariskan dan dituntut oleh agama, kita seharusnya tidak lupa  bahawa fitrah insaniah yang ada dalam diri kita ini harus juga dipenuhi ataupun dituruti kemahuannya. Ini kerana dari kekuatan fitrah itu juga, bisa lahirnya satu kekuatan untuk terus melangkah dan berjuang menegakkan kalimah Allah. Semoga kita sama-sama terus istiqamah, dalam usaha menuju Jannah~


~Deretan "muffin kasih" buat para sahabat~ 


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: