Monday, May 24, 2010

Bisikan Untuk Hati~

Alhamdulillah... Syukur dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana memberikan saya kekuatan dan kesabaran dalam menepis segala bisikan-bisikan yang sememangnya melawan arus keimanan ketika ini. Bukan mudah sebenarnya untuk menjinakkan hati. Ditambah lagi dengan kekecewaan terhadap diri, pastinya makhluk yang bernama syaitan berlumba-lumba untuk merajai dan seterusnya menguasai hati ini.

Saya sendiri kurang pasti kenapa saya menulis ketika ini. Tetapi, saya percaya dengan menulis, segala yang saya rasakan di lubuk hati dapat terluah, biar tidak melalui suara, dan hanya menerusi bait kata-kata. Terpulang kepada yang membaca untuk menginterpretasikan sendiri akan maksudnya, asalkan saya tahu maksud saya yang sebenarnya. Lagipun, sampai kapan kita harus terus dan terus bergantung pada pandangan manusia, dan membelakangi pandangan-Nya?

Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini, hati saya cepat terusik tatkala membaca berita-berita tentang kejadian yang berlaku di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Sejujurnya saya mengakui, saya cukup bimbang, andai kejadian keruntuhan akhlak di kalangan kebanyakan generasi hari ini bakal berlaku pula kepada ahli keluarga saya sendiri. Mungkin, sesetengah orang mengatakan itu ujian, atau mungkin ada juga yang mengatakan itu kesan dari salah didikan. Namun, saya percaya, segala yang terjadi di kalangan komuniti kita pada hari ini berpunca dari satu perkara, iaitu menjauh. Menjauh dari Allah, menjauh dari syariat-Nya, menjauh dari mengingati-Nya, menjauh dari segala ajaran-Nya.

Menjauh dari Allah itu kebanyakannya berpunca dari diri. Tetapi, tidak dapat dinafikan, adakalanya kita boleh menjauh dari Allah kerana faktor-faktor luaran yang lain seperti sistem pemerintahan, rakan-rakan pergaulan, persekitaran komuniti tempat tinggal, dan suasana alam pekerjaan. Mungkin ada banyak lagi faktor lain yang tidak saya nyatakan di sini, tetapi saya percaya, setiap insan, yang mempunyai rasa berTuhan, pernah menyedari atau mungkin ada terdetik di hati mereka akan satu rasa yang lain, tatkala mereka tersimpang, atau ketika mereka jauh dari Tuhan.

Kadangkala, dek kerana kurangnya rasa syukur kita kepada-Nya, tanpa sedar, kita sebenarnya telah memilih untuk berjauhan dari Dia. Ya, mudah untuk mengatakan kita perlu bersyukur. Senang untuk memberi peringatan kepada teman-teman sekeliling, "Awak, belajarlah untuk bersyukur dan menerima seadanya". Tetapi, ketika tibanya musim kita pula yang ditimpa dengan pelbagai musibah, ketika datang saat kita diuji dengan pelbagai masalah, masih mampukah kita mencerahkan kembali hati kita dengan nasihat dan kata-kata hikmah tentang perlunya bersyukur yang acapkali kita tujukan kepada insan sekeliling sebelum ini? It's easy to talk, but to walk the talk? Biar hati masing-masing yang menjawab persoalan ini.

Ujian yang datang kepada kita kadangkala bukan dalam bentuk kesusahan. Ya, kita gembira dan merasa bahagia tatkala ditimpa ujian sebegini. Siapa yang tidak gemarkan kesenangan? Siapa yang bencikan kemudahan? Sebab itulah, bukan sedikit hati-hati insan ini mampu untuk bertahan dengan keimanan tatkala hidup dilimpahi kemewahan. Bukan sedikit insan-insan ini memilih untuk menjauh dari Tuhan tatkala nikmat yang didatangkan oleh-Nya melimpah ruah. Dan hanya sedikit hati kita yang mempunyai hati insan ini mampu bersujud dengan sepenuh keikhlasan di hati tatkala didatangkan dengan ujian kesenangan.

Tetapi, satu hakikat yang pasti, hakikat bahagia itu adalah tatkala hati sentiasa mengingati Tuhan. Dan sehingga saat ini, saya masih mampu mengatakan, meletakkan Allah di dalam hati tanpa ada sedetik waktu pun kita melupakan-Nya adalah sangat sukar. Cukup sukar. Dan teramat sukar. Dan sebab itulah proses untuk melawan nafsu dan kehendak yang bukan-bukan itu adalah satu jihad, jihad yang lebih besar dari berperang di medan perang.

Mengakhiri entry kali ini, saya sertakan petikan lirik lagu Hakikat Bahagia, nyanyian kumpulan UNIC.

Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang

Hakikatnya bahagia itu
Adalah ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan

Kami berfirman: "Turunlah kamu semua dari surga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, niscaya tidak ada kekhawatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati".
[2:38]




~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: