Thursday, May 27, 2010

Sharing: Kisah Perjalanan~

Alhamdulillah... Akhirnya hari ini saya bakal memulakan satu lagi persediaan untuk menempuhi cabaran terakhir dalam jurusan saya hari ini. Semoga Allah memudahkan segala urusan dan kefahaman saya. Masih tersisa lagi, kepenatan setelah seharian berulang-alik dari Kuala Kangsar ke Ipoh semalam. Apapun, saya sangat bersyukur, segalanya berjalan dengan lancar.

Ternyata perjalanan yang saya kira agak lama itu memberikan peluang untuk saya sama-sama berfikir dan merasa, di samping mendengar dan memahami. Benarlah, kita ini manusia. Adakalanya ketika kita berada di landasan yang betul, adakalanya terbit juga sedikit khilaf, yang akhirnya seolah-olah menampakkan jalan lurus yang kita susuri tadi sebenarnya penuh dengan liku yang bengkang-bengkok.

Semester ini sebenarnya banyak menguji. Bukan saya mahu mengatakan sebelum ini langsung tidak diuji, tetapi perjalanan untuk semester ini agak berlainan sedikit corak ujiannya. Namun, saya bersyukur kerana saya sentiasa diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian-ujian ini, biarpun adakalanya saya berasa lemah, dan akhirnya terbit titisan air mata.

Kisah Tanggungjawab

"Zati, saya tak fahamlah... Saya kesian sebenarnya dengan kawan-kawan kita yang berdakwah ini sebenarnya..."

Saya menegakkan badan. Mahu mendengar lagi akan definisi sebenar kesian yang cuba dimaksudkan.

"Saya sebenarnya teringin dan terdetik juga untuk menyertai halaqah atau usrah ni.. Tetapi, entahlah. Saya belum pernah lagi mendapat groupmates dari kalangan mereka yang kononnya berdakwah ini, mampu menggalas tanggungjawab akademik dengan baik. Benar, kita perlu mendahulukan urusan Allah berbanding dengan urusan manusia.. Tetapi, saya juga tahu, dalam Islam itu kita perlu ada keutamaan, ada aulawiyyat. Kalau esok projek ataupun report perlu dihantar, dan sehingga malam ini pun mereka daripada golongan ini belum pun menghantar part mereka, macam mana saya nak hormat golongan ini? Macam mana saya nak betul-betul yakin bahawa usrah atau halaqah yang mereka join itu sebenarnya membentuk keperibadian mereka untuk menjadi lebih baik? Mereka bukan menjadi lebih baik, tetapi lebih menyusahkan kami daripada golongan yang tidak menyertai usrah atau halaqah ini!"

Saya terkesima, kaget seketika. Saya betul-betul faham akan perasaan sahabat saya yang seorang ini. Saya juga mempunyai pengalaman mempunyai groupmates dari golongan yang mendakwa diri mereka sebagai seorang da'ie, tetapi kurang boleh diharap dalam membuat dan menguruskan kerja-kerja akademik sebegini. Saya akui, di kalangan kawan-kawan, saya merupakan antara golongan yang agak perfectionist, baik dalam membuat assignments yang berkonsepkan teori mahupun dalam membuat lerja-kerja penulisan yang melibatkan aplikasi subjek tersebut.

Benar, kesempurnaan itu sukar untuk dicapai. Tetapi, saya sangat yakin, sekiranya kita berusaha melakukan yang terbaik, biarpun agak mustahil untuk mencapai kesempurnaan tersebut, sekurang-kurangnya kita telah mencuba yang terbaik. Berusaha sehabis mungkin, dan bukannya melakukan kerja sekadar melepaskan batuk di tangga!

"Pernah sekali, one of my groupmates dari kalangan sebegini, mampu sahaja pergi entah ke mana tanpa menyiapkan part dia. Kesannya, kami yang perlu menyiapkan part dia. Macam mana saya nak yakin dan percaya bahawa dengan menyertai usrah atau halaqah ini, mereka mampu menjadi lebih baik berbanding kami yang seperti biasa-biasa saja? Tahu tak, kesan dari sikap golongan sebegini, saya berpendapat menyertai usrah atau halaqah ini bukan sahaja menyebabkan masa kita banyak terambil, tetapi menyebabkan kita menjadi kurang bertanggungjawab! Saya sangat sedih bila terpaksa mengharungi situasi-situasi seperti ini. Mereka yang memilih untuk berjuang di jalan Allah, tetapi kenapa pada masa yang sama, mereka turut meninggalkan fitnah kepada jalan dakwah yang mereka pilih? Mungkin saya tak layak untuk bercakap tentang hal ini. Tapi, saya percaya, akhirat-akhirat juga, dunia jangan lupa!"

Saya hanya mampu terdiam. Memberi secebis kata-kata semangat buat sahabat yang dikasihi. Sahabat tempat berkongsi segala kisah hati. Sahabat tempat berkongsi segala resah dan duka. Dan saya akui, kata-katanya hari itu memang benar. Akhirat-akhirat juga, dunia jangan lupa!

"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan."
[28:77]

Selebihnya, saya biarkan kita sama-sama berfikir akan natijah dari khilaf sebegini, yang mungkin kita sengaja melakukannya ataupun kita terbuat tanpa sedar.

Kisah Hutang

"Awak join usrah semua ni, memang banyak ke nak kena infaq duit?"

Soal seorang sahabat baik pada suatu hari. Saya hanya memandangnya dengan penuh tanda tanya. Seperti biasa, tanpa sebarang kata-kata, dia memahami akan maksud saya yang mahukan penjelasan.

"Entahlah dear. Ada di kalangan kawan-kawan kita yang join usrah atau halaqah ni, sudah hampir dua tahun berhutang. Tapi, bayarnya belum juga. Bukan mahu mengungkit, kalau sepuluh dua, mungkinlah boleh dihalalkan. Tetapi, kalau sampai beratus-ratus? Kalau saya engineer, dia pelajar, mungkinlah boleh consider. Masalahnya, kita sama-sama pelajar. Sama-sama berbekalkan duit scholar masing-masing. Kalau beginilah, semakin sukarlah hati saya nak terbuka untuk join benda-benda macam ni."

Saya senyap seketika. Mengumpul kekuatan untuk menyusun bicara. Saya sebenarnya agak kaget mendengar pengakuan sahabat saya ini. Sejujurnya, hutang adalah perkara yang paling saya takuti dalm hidup. Teringat akan sebuah hadis,

Sabda Nabi s.a.w. "Roh orang mati itu tergantung dengan hutangnya sampai hutang itu dilunasi untuknya."
(HR Ahmad dan at-Tirmidzi)

"Entahlah sayang. Mungkin itu adalah salah satu kelemahan dia. Tetapi, mungkin juga dia punyai kelebihan yang lain. Kita inikan manusia. Punya lebih dan kurangnya juga. Cubalah untuk tuntut hutang tersebut darinya, bimbang kalau-kalau ajalnya tiba sebelum hutang itu selesai dilunasi. Mungkin juga, dia lupa," balas saya.

Sahabat saya terdiam. Mungkin juga sedang menganalisa hujah saya, atau mungkin sedang memikirkan sesuatu.

"Masalahnya dia seolah-olah tiada usaha langsung untuk membayar kembali. Saya tak kisah kalaupun dia hanya mampu dan sanggup membayar secara ansur biar hanya RM10 sebulan. Tetapi, sampai saya sendiri pun sudah malu untuk meminta kembali. Mungkin, kalau sampai habis belajar nanti berterusan sebegini, anggap halal sajalah hutang tersebut. Biarpun, bukan mudah..."

Saya memandangnya penuh makna. Saya percaya, di hatinya tetap terselit satu kelembutan. Benar, bukan mudah untuk menghalalkan satu keperluan yang pada asalnya dipinjam, ditambah pula kita turut sama-sama sangat memerlukan keperluan tersebut. Semoga Allah memberkatimu, sahabatku...

"Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui."
[2:280]

Penutup

Jalan yang kita lalui adalah satu perjalanan yang panjang. Mungkin kita juga akan terkhilaf, baik secara sedar mahupun tidak. Jangan pernah menjadikan itu sebagai satu alasan untuk kita berasa lemah dan akhirnya lari dari medan dakwah. Saya teringat akan pesanan seorang sister, tatkala saya meluahkan rasa hati akan perasaan bersalah saya ketika perlu menegur rakan-rakan yang melakukan kesilapan yang mana saya juga pernah melakukannya,

"Izzati, hidup ini umpama satu perjalanan menyusuri jalan yang penuh dengan cabaran. Cuba awak bayangkan, awak sedang berjalan, dan akhirnya terjatuh ke dalam gaung. Pasti, awak luka dan luka itu meninggalkan kesan parut yang mungkin tidak akan pernah hilang. Parut itu tetap akan ada sampai bila-bila, mungkin sehingga jasad awak terpisah dari nyawa. Salahkah, andai awak menasihati rakan-rakan awak yang melalui jalan yang sama, agar berhati-hati supaya mereka tidak terjatuh ke dalam gaung tersebut?"

Saya diam. Hanya mampu menjawab dengan anggukan di kepala. Benar, kita perlu untuk memberi dan menerima nasihat. Agar kita dapat menjadikan kesilapan semalam sebagai satu pengajaran, hari ini lebih baik dari semalam, dan pastinya esok memberikan lebih sinar dalam kehidupan.

Semoga kita sama-sama diberikan kekuatan, agar terus bisa berusaha membaiki diri, dan seterusnya menjadikan setiap khilaf dan kesilapan yang dilakukan sebagai satu panduan, agar tidak silap memilih haluan dan jalan. Kita ini manusia, memang mustahil terlepas dari kesilapan, tetapi jalan ke arah pembaikan, sentiasa terpampang luas di hadapan.



~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

2 comments:

Amin Baek said...

bila diri yg salah,menjadi fitnah yang lebih besar.iaitu keje dakwah..

pertama skali,para "dai'e" perlu sentiasa diingatkan dengan perkara ini.Jangan biarkan mereka lalai dan leka serta melupakan tanggungjawab2 ini..

ynag lebih meyedihkan,ada yang kerja dtinggalkan,buat lewat,dok copy2,padahal bukn ada program mahupun kerja dakwah,sbaliknya dok tgk movie+tidor..ini yang kita kene elak..

sesungguhnya manusia menilai dari pandangan mata mereka..

wallahuallam..

Nur Izzati said...

betul2~

because only He knows apa yang tak terzahir..

and we, as human, memang hanya mmpu menilai dari apa yang terzahir sahaja~