Saturday, May 8, 2010

Cerpen: Tinta Dari Hati ~

Entah kenapa, hati aku jadi tidak tenang tiba-tiba. Biarpun banyak lagi perkara yang perlu aku selesaikan, namun hati ini terus merasa gelisah. Rasa sedih bercampur resah, bimbang andai-andai hingga tiba saat nyawaku direnggut pergi, titipan maaf belum lagi sempat aku huluri.

Benar, hati kita ini umpama roda. Adakalanya iman berada di tahap teratas, dan kita cenderung kepada segala kebaikan. Namun, adakalanya tanpa sedar, iman kita jatuh merudum, hingga ke tahap paling rendah, dan ketika itu, kita sebenarnya perlukan mereka yang dapat menambah baikkan tahap keimanan kita ketika itu. Dusta yang paling besar, andai aku tak pernah berada dalam keadaan sebegitu. Penurunan tahap keimanan, pastinya menjadi perkara yang paling ditakuti oleh mereka yang benar-benar mendambakan cinta-Nya.

Aku masih ingat tatkala buat pertama kalinya, aku bertemu dan mengenali engkau. Syukur aku panjatkan, sekurang-kurangnya ada juga seseorang yang bisa menjaga perjalanan projek yang bakal kita jalankan sepanjang tahun ini. Bukan mudah andai hanya aku, seorang muslimah yang perlu menjaga tatatertib, muamalat dan perjalanan projek ini. Satu penipuan, andai hatiku tak terusik melihat perwatakan dirimu. Namun, kerana takutkan hukum Allah, aku biarkan saja rasa itu pergi, dan Alhamdulillah, rasa itu telah kau hancuri tatkala projek ini kian menghampiri kemuncak penyudahnya.

Hari demi hari berlalu, dan aku semakin mengenali engkau dan ahli kumpulan kita yang lainnya. Perjalanan projek juga berjalan sangat lancar, biar ada ketikanya, kita satu kumpulan masing-masing berselisih faham. Itu memang menjadi lumrah, kerana fitrah insan itu, selalu mahukan pendapatnya diterima, tapi sukar pula mahu mendengar pendapat orang lain. Dan seperti biasa, mereka mengkagumi engkau, bijak mengawal keadaan, tatkala hampir semua mengeluarkan pendapat berlandaskan emosi, kau dasari kata-katamu dengan penuh hikmah dan bijaksana. Sungguh, sesekali hati ini tercemar juga tatkala mengingati ketenanganmu baik dalam setiap tutur kata mahupun dalam setiap tindakanmu. Namun, aku bersyukur, adanya kehadiran sahabat-sahabat seperjuangan, aku masih mampu untuk mengawal perasaan, dan memperbaiki tahap keimanan, kerana aku tetap berpegang pada janji Allah yang benar, sesungguhnya lelaki yang baik itu hanya untuk wanita yang baik, dan begitulah juga sebaliknya.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (surga)."
[24:26]

Masa terus berlalu dan berlalu. Sesekali, aku juga tersasar dari pertimbangan yang waras. Aku masih teringat, tatkala diriku diselubungi tugasan akademik yang terlalu banyak, bertembung dengan daurah pada waktu yang sama, tiba-tiba kau memberitahuku bahawa barang siapa yang meminjamkan masa dan tenaganya untuk urusan Allah, insyaAllah akan dipermudahkan segala urusannya. Aku tersentak. Ketika itu, kita semua sedang berkumpul untuk menyiapkan fasa kedua projek yang perlu disiapkan bersama rakan-rakan lain, dan kau hanya memandangku sebelum berlalu pergi. 

Ternyata, kata-katamu membuka minda dan hati ini agar berusaha mengikhlaskan diri sepenuh hati untuk mneghadiri daurah, biar ketika itu terdapat sedikit kerisauan di hati, bimbang seandainya tugasan yang diberikan oleh pensyarahku tidak sempat aku siapkan. Dan sebagaimana katamu sebelum itu, memang benar, Allah permudahkan segala kefahamanku. Masa yang ku ambil untuk memahami tugasan tersebut ternyata cukup singkat, biarpun sejujurnya, aku agak lemah dalam subjek tersebut.

Menghampiri fasa ketiga projek tersebut, aku mula rasa kurang senang tatkala rakan-rakan sekumpulan mula memperkatakan sesuatu tentang kita. Aku mula berperasaan tidak senang untuk menghadiri segala perbincangan berkaitan projek dan menjadi kurang selesa andai perbincangan diadakan terlalu lama. Lalu, ku ambil keputusan drastik, berbicara sendiri denganmu untuk menyatakan rasa kurang senang itu. Dan aku terkesima mendengar jawapanmu, kau bukan tidak mahu menafikan, tetapi engkau lebih selesa seandainya hanya mendiamkan diri. Dan aku akui, malam itu juga secara tanpa sedar, aku telah sedikit sebanyak mungkin telah merosakkan hatimu tanpa aku sedar, tanpa aku sengaja.

Tak pernah ku sangka, cuti selama sebulan telah mengubah segalanya. Sekembalinya dari bercuti, aku sedikit sebanyak berasa pelik melihat perubahan yang ada pada dirimu. Engkau yang ku kenal setelah cuti terlalu jauh bezanya dari sebelum ini. Malahan, keberanian dirimu mengusikku di hadapan para sahabat membuatkan aku terkesima seketika. Kaget, sangat terkejut. Dan malam itu, aku suarakan rasa kurang senangku melihat perbuatanmu itu.

Berkali-kali aku bertanya dan menyatakan kebimbanganku padamu andai benar aku yang telah merubah dirimu. Dan berkali-kali juga kau menafikan bahawa akulah punca utama. Saat itu, seluruh hatiku menitipkan rasa syukur pada Illahi kerana bukan aku penyebabnya. Sungguh, aku bersyukur tak terhingga ketika itu.

Masa semakin berlalu, dan alhamdulillah, segala penat lelah kita berjaya. Projek selama satu tahun yang kita sama-sama usahakan akhirnya berjaya mendapat pingat emas dan sudah pasti akulah insan yang paling gembira. Namun, kegembiraan aku direnggut seketika tatkala engkau memberitahu, jalan kita sudah berbeza.

Aku sendiri kurang pasti kenapa perlunya aku menumpahkan air mata. Dan selepas itu juga, aku seperti kaget seketika tatkala menerima e-mail yang engkau kirimkan, yang mana kandungannya tak pernah ku jangkakan hingga ke tahap sedemikian rupa. Tak menjangka kerana pengirimnya adalah engkau, insan yang suatu ketika pernah menegurku kerana terlalu utamakan kerja-kerja dunia. Benarlah, hati kita ini hati seorang manusia biasa. Sukar untuk tetap, apatah lagi untuk terus tetap meneruskan langkah di jalan yang sudah dijanjikan dengan onak dan duri yang mungkin bisa mencucuk dan akhirnya membuatkan kita cedera.

Dan pagi tadi, tatkala aku menerima satu berita, sekali lagi air mataku menitis, tak pernah menjangka sejauh itu engkau melangkah. Sejujurnya, aku bersedih bukan kerana adanya unsur-unsur perasaan yang mungkin atau hampir terjalin antara kita, tetapi aku takut, andai akulah sebenarnya pembuka langkah untuk jalan yang telah engkau pilih sekarang. Sukar untuk aku interpretasikan rasa sebenar yang menyelubungi hati aku buat masa sekarang, tetapi percayalah, terlalu sukar dan payah untuk aku menangkis segala sisa-sisa rasa bersalah dalam hati ini. Dan untuk kesekian kalinya, air mataku menitik lagi, dan tinta ini akhirnya basah lagi, entah untuk kali yang ke berapa...

"Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?"
[10:99]


06 Mei 2010
2.07 pm
Theme song: Allah Knows (Zain Bhika)

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~