Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana saya akhirnya berkesempatan untuk bersama adik-adik SMK Seri Iskandar untuk program Keindahan Bersama-Mu kendalian KRJ Networks. Program yang berlangsung selama 2 hari 1 malam itu akhirnya melabuhkan tirainya beberapa minit sebelum azan Solat Zuhur pada hari ini, 18 April 2010. Program motivasi yang menekankan kepada aspek rohani dan spiritual itu insyaAllah akan membawa perubahan yang bermakna kepada adik-adik SMKSI.
Saya sebenarnya suka untuk berkongsi pengajaran yang didapati dari program sebegini. Penekanan terhadap aspek rohani serta sikap kasih sayang, saya percaya andai kedua-dua aspek ini dicantum dan diaplikasikan oleh masyarakat keseluruhannya, pasti kurang berlakunya masalah-masalah sosial di kalangan anak-anak muda hari ini. Hati dan naluri setiap insan itu sebenarnya sangat suci, sangat lembut, dan andai disentuh dan diisi dengan kasih sayang, pasti segalanya berjalan dengan lancar. Sudah menjadi fitrah, setiap insan itu memerlukan dan diperlukan oleh insan yang lain. Baik anak memerlukan ibu dan bapa, begitulah juga ibu bapa, mereka tetap memerlukan anak-anak untuk menyinari segenap kehidupan mereka. Suka, tawa, tangis dan riang anak-anak mampu mengubat segala luka yang menyelubungi hati mereka. Persoalannya, di mana peranan kita sebagai seorang anak?
Sebaik sahaja kita bertukar alam dari alam rahim ke dunia, ibu dan bapa membelai, memayungi, mengusap dan mendidik kita dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Biarlah anak itu kurang rupa paras, biarlah anak itu tidaklah secerdik anak orang lain, biarlah anak itu tidak sesempurna anak insan sekeliling, tetapi ibu dan bapa tetap redha, tetap pasrah, tetap berusaha memerah keringat sebanyak mungkin demi untuk menghidupkan nyawa insan yang bergelar anak. Anak-anak ditatang bagai minyak yang penuh, setiap keringat dicurahkan demi untuk menyuap insan bergelar anak. Mereka tidak merungut, biarpun pahit terpaksa diharungi, tapi kerana tebalnya perasaan kasih sayang terhadap insan yang bernama anak, segalanya ditempuhi dengan penuh rela, ikhlas tanpa dipaksa.
Mungkin sesekali akan terdengar bebelan, rungutan daripada ibu dan bapa, tetapi bukankah di sebalik bebelan dan rungutan itu wujudnya satu ruang yang penuh dengan rasa kasih dan sayang?
Berbalik kepada kisah Keindahan BersamaMu, ternyata pendidikan agama yang berteraskan akademik semata-mata kurang bermakna andai tiada dorongan dari mereka yang bergelar ibu dan bapa. Pengamalan dan penyempurnaan segala amal sebenarnya sangat perlu ditekankan oleh ibu bapa, bukan hanya mengharapkan peranan guru di sekolah semata-mata. Saya agak terkesima tatkala melihat pengakuan beberapa orang adik-adik yang ada di kalangan mereka hanya menunaikan solat sekali sehari. Terlintas di fikiran, bagaimana Allah mahu memberikan kejayaan andai untuk bertemu dan meminta kepada-Nya dengan hanya meluangkan masa seketika cuma itu pun cukup sukar untuk dilakukan? Dan teringat akan jawapan salah seorang fasilitator yang agak berpengalaman, sebab itulah masih wujudnya gejala yang kurang sihat hari ini, bukankah solat itu mencegah segala kemungkaran?
Sepanjang program berlangsung, air mata saya terlalu ego untuk menitis biarpun saya melihat, mendengar dengan jelas esak tangis adik-adik sepanjang program. Namun, tatkala adik-adik ini dipertemukan dan mereka berpelukan dengan ibu dan bapa masing-masing, tanpa perlu dipaksa air mata saya menitik keharuan. Ternyata, melihat adegan yang penuh signifikan sebegini, ternyata meruntun hati saya, biarpun sejak awal lagi saya berusaha untuk menahan hati, menahan diri dari menumpahkan air mata. Dan apa yang dapat saya simpulkan, hati kita sebagai seorang insan, cepat tersentuh dan cepat terkesan andai ditaut dan disentuh dengan penuh kasih sayang. Dan untuk menyentuh dan membuatkan hati insan ini tertaut dengan segala kebenaran yang cuba kita sampaikan, adalah amat perlu untuk kita memberikan mereka kasih sayang yang pastinya datang dari Pencipta, Ar-Rahim. Dan bagaimana untuk mendapat kasih sayang ini, pastinya kita perlu berusaha untuk mempunyai hubungan yang erat dengan Yang Maha Kuasa....
~Barisan fasilitator~
~Usai program, di TG Corner. Dari kiri: Kak Sarah, Kak Farhin, Kak Zakira, Kak Nadiah, Adik Izzati =D, Kak Emy, Kak Rufaidah, Kak Lyana~
~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~
No comments:
Post a Comment