Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi atas segala nikmat kurniaan-Nya. Bukan mudah untuk sentiasa mendidik jiwa ini agar berjiwa hamba, apatah lagi untuk mengekalkan segala rasa kemanisan iman agar sentiasa dalam keadaan yang terpelihara dari segala anasir-anasir luar yang mampu mengurangkannya.
Seiring dengan peningkatan usia, sesuai dengan pertambahan masa, ternyata saya semakin sedar akan hakikat tentang sukarnya menjaga hati, sukarnya untuk mengekalkan rasa sanggup dan tabah dalam meniti hari-hari yang berlalu. Adakalanya, hanya kerana setitik nikmat-Nya ditarik, hanya kerana secebis ujian yang ditimpa, hati kita langsung menjadi lemah, terus menjadi kurang berdaya. Tidak hairanlah, andai hari ini kita melihat seorang mujahid atau mujahidah yang terlalu mantap semangat juangnya, dalam sekelip mata, keesokan harinya, semangat itu berlalu pergi, mereka futur, dan akhirnya menjadi satu tugas bagi sahabat-sahabat yang pernah seperjuangan untuk menarik dan memujuk mereka kembali. Amatlah bersyukur andai mereka memilih untuk kembali, tetapi andai mereka memilih untuk terus pergi, bagaimana? Dalam konteks ini, saya yakin dan percaya, itu sebenarnya ujian untuk melihat sejauh mana kita benar-benar yakin dan beriman dengan segala ketentuan, segala perancangan-Nya.
"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. "
[2:214]
Berbicara soal menjaga hati, ternyata seiring dengan peningkatan usia, saya mengakui tuntutan untuk menjaga hati ini menjadi kian berat dan sukar. Adakalanya, sebagai seorang muslimah, kita telah merosakkan bukan sahaja hati sendiri, malahan hati orang lain tanpa kita sedari. Amatlah bersyukur seandainya kita mampu menyedari akan hakikat ini dan akhirnya melakukan sesuatu bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk terjadi, tetapi seandainya tanpa sedar kita telah merosakkan atau kata lainnya "mencuri" hati orang lain, lantas apa yang perlu dilakukan? Saya sendiri tidak mampu menjawab persoalan ini, tetapi saya percaya perkara terbaik yang perlu dilakukan pastinya kembali kepada pemilik dan pemegang secara hakiki hati-hati ini yakni Allah s.wt.
Antara sebab matinya hati ialah apabila hati itu tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah. Allah sendiri telah berfirman dalam surah Az-Zumar ayat 22 yang bermaksud,
Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.
Adakalanya, dek kesibukan dalam mengejar dan menyelesaikan urusan duniawi, kita terlupa bahawa hati ini sebenarnya perlukan belaian, perlukan makanan, perlukan santapan. Andai perkara ini dibiarkan berterusan, hati bukan sahaja sakit, bukan setakat buta, bahkan mampu sahaja hati itu akhirnya mati, biar jasad pemilik hati itu dilihat semakin gembira dari hari ke hari.
Kadang-kadang, saya agak tertarik dengan jawapan dan ulasan yang diberikan oleh mereka yang akhirnya memilih untuk pergi dan lari dari medan dakwah yang telah mereka pilih sebelumnya. Alasannya mudah, itu bukan diri mereka, dan mereka sebenarnya tidak berubah, tetapi hanya kembali kepada sifat asal mereka. Sedarlah, itu bukan fitrah, tetapi boleh sahaja menjadi fitnah duniawi yang akhirnya mungkin boleh memakan diri. Fitrah asal manusia itu hakikatnya suci, segalanya bersandarkan keinginan untuk rapat dan dekat kepada Illahi. Ketahuilah, ketenangan hati itu takkan bisa kita miliki andainya kita dan hati milik kita berada dalam keadaan diulit dosa-dosa kepada Sang Pencipta.
Semoga hati-hati kita sentiasa ditetapkan dan dipelihara, agar terus kekal dalam perjalanan yang betul dalam merisik redha Si Pencipta. Perjalanan ini tidak pernah menjanjikan sesuatu yang indah, kerana ganjaran yang indah itu, telah lama tersedia menanti kita sejak azali lagi...Andai niat kita tetap dan terus berpaksikan Illahi... Wallahualam~
~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~
No comments:
Post a Comment