Baru-baru ini, saya terbaca blog seorang bakal doktor yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru tadika sahaja. Alasan? Ingin mendidik sendiri bakal zuriatnya di samping mahu menyediakan sendiri segala keperluan bakal suaminya biar dia sendiri tidak mempunyai sebarang calon buat masa ini. Oh, kita serupa. Hehe~ Dan saya sangat menggemari salah satu quotes di blognya, saat menanti adalah sebenarnya saat mencari. Tak apa, InsyaAllah dengan doa, segalanya berjalan lancar. Berusaha memperbaiki diri dari masa ke semasa, InsyaAllah Allah sedang mengaturkan jodoh kita dengan seseorang yang sama dengan kita. Bukan kah Allah sudah berjanji dalam Surah An-Nur ayat 26?
Selepas membaca blog bakal doktor tersebut, saya mula terfikir, dalam dunia yang serba mencabar sekarang, sangat perlu untuk semua bakal-bakal isteri dan bakal-bakal ibu mula memikirkan bagaimanakah acuan pendidikan yang bakal mereka berikan kepada zuriat mereka kelak. Saya akui, tuntutan kewangan juga adalah sesuatu yang amat penting dewasa ini, tetapi ini bukan bermakna kita boleh meremehkan soal pendidikan zuriat kita kelak. Bukan mudah untuk mendidik seorang manusia menjadi insan. Tersalah mendidik insan boleh menjadikan manusia itu "insane".
Malaysia juga baru-baru ini terlalu kerap dikejutkan dengan berita-berita yang melibatkan pembuangan bayi-bayi yang tidak berdosa hasil dari perhubungan yang berdosa. Di sini kita boleh lihat, akan kesan dan impak daripada kurangnya pendidikan dalam aspek rohani yang akhirnya menyebabkan remaja khususnya kaum hawa terlalu mudah memberi diri mereka kepada sang lelaki yang belum sah menjadi pasangan hidup mereka. Apabila sudah terlanjur, maka kebanyakan lelaki memilih untuk lepas tangan sementara si perempuan menderita seorang diri mengendong perut yang kian membesar dari hari ke hari seorang diri. Inilah hakikat hari ini, kesan daripada serangan pemikiran atau secara istilahnya ghazwul fikr yang semakin berjaya dan kian ketara kesannya di kalangan muda-mudi hari ini.
Sebagai seorang muslim yang juga saudara kepada muslim yang lain, sama-samalah kita selaku kaum hawa menjaga diri sebaik mungkin. Ketegasan seorang wanita itu adalah benteng negara dan agama, dan percayalah, andai kita mampu untuk menjaga diri sebaik mungkin, tiada siapa yang mampu untuk merampas atau menjatuhkan maruah diri kita melainkan kita sendiri yang menyerah diri.
Andai permulaan kepada masjid yang ingin dibina itu bermula dengan jalan yang halal, sudah pasti Allah akan menjanjikan pengakhiran yang terindah buat diri kita. Dan buat bakal-bakal isteri mahupun bakal ibu yang bakal menjadi golongan profesional dalam sesuatu bidang seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan banyak lagi, adalah menjadi satu keperluan untuk memikirkan bagaimanakah corak pendidikan terutamanya pendidikan secara tidak formal yang bakal diberikan buat bakal-bakal zuriat, kerana hampir keseluruhan personaliti diri seseorang individu yang sudah dewasa adalah tercorak dari hasil pendidikan yang diterimanya sejak kecil lagi.
~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~
No comments:
Post a Comment