Monday, June 14, 2010

Sharing: Realiti Warna~

Syukur dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana masih lagi menempatkan hati ini pada landasan yang sepatutnya. Bukan mudah, mengekalkan rasa kehambaan tatkala masa menuntut kita untuk mengejar tugas-tugas duniawi yang secara zahirnya tidak akan pernah berhenti. Hari ini, sudah masuk hari keenam saya menjalani latihan industri di Independent Oil Terminal Sdn Bhd, anak syarikat kepada Assar Senari Holdings Sdn Bhd. Perjalanan harian yang mengambil masa lebih kurang 35 minit sehala adakalanya begitu meletihkan, ditambahkan dengan hiruk-pikuk kesibukan kota adalakanya menyebabkan mood saya menjadi tidak menentu, hanya mampu melemparkan sekadar satu senyuman nipis, secara terpaksa dalam kata lainnya.

Dunia Sebenar

Menjalani latihan industri di tempat sendiri menjadi satu nikmat yang tak terhingga buat saya, biar sesekali, saya turut mengadu kepada beberapa orang sahabat perihal "ketidaksenangan" saya melihat budaya yang kian sebati di kalangan masyarakat saya sendiri. Benarlah, bukan mudah menjadi yang terasing, lagi-lagi terasing di bumi sendiri. Hakikatnya, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana Allah jualah yang telah menentukan segala-galanya, dan kita sebagai hamba, hanya mampu mendoakan yang terbaik, bukan hanya untuk diri kita, tetapi juga buat insan seagama, seakidah dengan kita. Dan di sinilah, kita harus menzahirkan keazaman kita, agar pengamalan budaya hidup yang selari dengan agama Islam itu dijadikan bukan hanya sekadar satu ikutan tanpa makna, tetapi menjadi satu budaya yang menjadi nadi dalam menjalani kehidupan harian kita.

Masih lagi berbaki 30 minggu, saya sendiri adakalanya menjadi takut dengan pengakhiran saya di sini, sama ada bertambah baik atau sebaliknya. Mujur, saya masih lagi mampu untuk berusaha untuk memastikan diri saya membaca paling kurang sehelai muka surat buku yang berunsurkan bacaan ilmiah. Sesekali, SMS yang diterima daripada sahabat-sahabat turut menambahkan kekuatan dalam diri agar terus tsabat di jalan ini, biar adakalanya, diri ini turut tergelincir seketika.

Menempuhi dunia separa pekerjaan ini membuatkan saya mula menyedari, kenapa sesetengah insan memilih untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana, usai menematkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Ternyata, dunia pekerjaan ini menjanjikan seribu satu cabaran yang memerlukan ketabahan hati yang bukan sedikit, tetapi menuntut pengorbanan komitmen dan masa yang cukup banyak. Maka, tidak menjadi sesuatu yang luar biasa, andai ada di kalangan kita yang akhirnya futur, setelah melangkah ke dunia pekerjaan. Meeting sana, briefing sini, check plant di sebelah utara, launching di sebelah barat, business visit di selatan, spot check oleh wakil DOSH di sebelah timur, adakalanya menyebabkan kita kepenatan berlari-lari, terkejar-kejar ke sana ke mari.



Pengalaman menghadiri meeting selama empat jam juga membuka mata saya bahawa perlunya mempunyai kemahiran mengatakan sesuatu dengan tepat, padat dan cepat. Teringat kata-kata pensyarah subjek Professional Communication Skills saya, Dr Sumathi, yang berbunyi lebih kurang begini,

"You have to know that not everyone who attend the meeting have so much time. Sometimes, they did have another things to do, not just to attend the meeting."

Penutup

Menjalani latihan industri ini setidak-tidaknya membuka mata saya untuk mengenali warna dunia sebenar dengan lebih "terang". Jika sebelum ini, di universiti, kita sudah biasa hidup dalam lingkungan sahabat kita sendiri, menyebabkan kita kurang mudah untuk terpengaruh dengan anasir-anasir yang boleh mencalit setitik nokhtah hitam di hati kita. Tetapi, berdepan dengan warna dunia sebenar, kita akan lebih sedar akan perlunya kita peka, prihatin terhadap segala yang terjadi di sekeliling kita. Ditambah lagi dengan gejala "production before having a legal license" yang kian menular di kalangan generasi muda kita hari ini, kita selaku insan yang semakin mendekati dunia dewasa haruslah berusaha melengkapkan diri dengan ilmu agama, agar bukan sahaja diri kita dilindungi dari malapetaka zina yang kian berleluasa di kalangan masyarakat, tetapi juga melindungi kaum-kerabat dan insan-insan yang berada di sekeliling kita dari gejala dasyat ini.

Tidak hairanlah, semakin banyak bencana alam yang berlaku di sekeliling kita, yang mana pada pendapat saya bukan hanya disebabkan oleh kerakusan manusia, tetapi sebagai satu amaran awal dari Sang Pencipta, bahawa kita ini, sudah semakin jauh dari landasan yang benar. Semoga hati-hati kita terus diberikan kecekalan, dalam memastikan syiar-Nya terus tertegak di alam semesta. Wallahua'lam...

 "...Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai karunia (yang dilimpahkan) atas orang-orang yang beriman."
[3:152]




~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

2 comments:

nadiah_abdllah said...

saya pulak yg takut..
macam manalah masa saya nanti.. huhu..
ganbatte kak! =)

Nur Izzati said...

xpe...

serahkan semuanya pada Allah, insyaAllah, everything turns fine =)