Tuesday, June 29, 2010

Fahamilah~

Alhamdulillah, hari ini masuk hari kedua saya berada di terminal LPG, bersebelahan dengan main building of IOTM Sdn. Bhd. untuk melihat dan mempelajari tentang Non Destructive Testing (NDT) yang sedang dijalankan di LPG Sphere Tank. InsyaAllah, mengikut perancangan, projek ini akan tamat pada 13 Julai 2010.

Berbicara tentang dunia praktikal sedikit sebanyak mengingatkan saya tentang ceramah Formula Muslim Cemerlang yang disampaikan oleh Dr Danial Zainal Abidin di Dewan Ibu Pejabat HIKMAH baru-baru ini. Ceramah yang berlangsung selama lebih kurang 2.5 jam itu sedikit sebanyak telah membuka mata saya tentang realiti masyarakat kita pada hari ini.

Faham, Bukan Sekadar Tahu Baca

Ya, bukan sekadar tahu baca. Saya tertarik dengan satu realiti masyarakat yang mungkin turut terjadi dalam lingkungan keluarga kita sendiri pada hari ini. Dr Danial menjelaskan salah satu sebab kenapa bertambahnya gejala-gejala yang tidak sihat di kalangan masyarakat kita sendiri pada hari ini adalah kerana kita jauh daripada sumber-sumber yang telah dijamin oleh Rasulullah saw, di mana seandainya kita berpegang teguh dengan sumber tersebut, kita pasti tidak akan berada dalam kesesatan, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Agak menarik apabila beliau membawakan sebuah kisah. Kisah apabila seorang ibu dibawa berjumpa dengannya untuk satu sesi kaunseling. Maka, penceramah bertanya kepada ibu tersebut,

"Maaflah puan, kalau saya bertanya. Puan ada mengajar tentang ilmu agama dengan anak puan?"

"Eh, ada. Anak saya sudah khatam Al-Quran," jawab si ibu tanpa teragak-agak.

Nah, di sini kita lihat, betapa masyarakat kita hari ini sekadar memenuhi tuntutan mempersiapkan anak mereka dengan ilmu agama dengan sekadar membaca Al-Quran. Anak-anak disuruh belajar membaca dengan betul, tidak kurang juga siap dengan tarannum sekali. Tetapi, adakah anak-anak ini diajar dengan pengajaran dan segala kandungan bait-bait yang mereka baca di dalam Al-Quran? Saya tidak mengatakan tidak sama sekali, tetapi saya cukup yakin kebanyakan ibu bapa pada hari ini hanya mengajarkan Al-Quran kepada anak-anak mereka dari aspek memantapkan dan memfasihkan bacaan semata-mata. A, ba, ta. Tan, tin, tun. Persoalannya sekarang, berapa ramai yang mengajar dan mendidik anak-anak dengan agama melalui Al-Quran tetapi memberi penekanan kepada suruhan dan pengajaran yang mampu kita peroleh dari kitab suci Al-Quran?

Surah Al-Fatihah contohnya, paling kurang akan dibaca sebanyak 17 kali sehari melalui solat lima waktu sehari semalam. Tetapi, jika kita renung dan teliti, berapa ramai anak-anak, jika bukan anak-anak cukuplah sekadar kita merenung diri sendiri atau paling kurang insan-insan yang rapat dengan kita yang tahu dan faham akan makna yang tersirat di sebalik pembacaan Al-Fatihah ini?

Jelaslah, kita sebagai generasi yang telah diberi anugerah oleh Allah untuk mengintai hikmah di sebalik realiti atau budaya masyarakat pada hari ini perlu membuat satu anjakan paradigma dalam mempersiapkan diri dan generasi kita di kemudian hari agar mempelajari Al-Quran itu bukan dengan sekadar hanya tahu membaca, tahu hukum bacaan, tetapi juga perlu seiring dengan kefahaman dan penghayatan kita terhadap segala isi dan kandungan kitab suci tersebut.

Mereka Faham Dahulu

Anne Collins, memeluk Islam setelah lapan tahun membaca Al-Quran. Dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang beragama Kristian, bagaimana beliau boleh menemui sinar hidayah? Pastinya dengan memahami setiap kandungan yang ada dalam Al-Quran.

Torquato Cardilli, duta Eropah ke Arab Saudi terbuka hati untuk memeluk agama Islam setelah memahami segala kandungan Al-Quran beserta dengan isinya. Tanpa sebarang paksaan, beliau memeluk Islam secara rasminya pada 16 November 2001 kerana ketakjubannya pada kandungan Al-Quran itu sendiri.

Penemu sungai dalam laut, Mr. Jacques Yves Costeau, memeluk Islam setelah kagum dengan kandungan Al-Quran yang telah diturunkan 1400 tahun yang lalu turut menceritakan tentang wujudnya struktur alam sebegini. Baginya, amat mustahil insan yang bernama Muhammad bin Abdullah itu mampu untuk menyelidik hingga ke dasar laut yang begitu dalam sedangkan ketika itu amat mustahil wujudnya peralatan yang canggih sebagaimana yang sering digunakan olehnya pada masa kini.

"Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain asin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi."
[25:53]



Mereka Sudah, Kita?

Contoh di atas hanyalah secebis daripada kisah-kisah mereka yang bertemu dengan hidayah Allah melalui pengamatan dan kekaguman mereka terhadap ayat-ayat yang sepatutnya sudah sebati dalam diri kita. Mereka berjumpa dengan cinta teragung kerana mereka punyai kecenderungan untuk terus mencari kebenaran sedangkan asalnya mereka bukanlah dari golongan kita. Lalu, kita yang sudah diberi anugerah Islam dan Iman sejak dari kali pertama nafas kita berhembus di muka bumi Allah ini, bila lagi mahu mentaddabur, mengkaji segala yang termaktub dalam kitab suci ini?

Dalam dunia yang semakin mencabar di mana Islam semakin dikecam hebat oleh musuh-musuhnya, kita selaku insan yang telah bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah sewajarnya berusaha untuk melengkapkan diri dengan segala ilmu yang ada. Paling asas, pelajarilah sehingga faham akan kandungan kitab suci kita, Al-Quran. Jangan kita alpa, kerana di sekeliling kita, para musuh sedang berusaha keras untuk mencari segala kelemahan yang ada dalam kitab suci ini. Biarpun asalnya mereka gagal, tetapi jangan kita lupa bahawa mereka yang bergelar musuh Islam ini takkan pernah duduk diam selagi objektif mereka tidak terlaksana.

"Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah (As Sunah), serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui."
[2:151]

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

2 comments:

Anonymous said...

salam..

umat Islam sekarang dalam 'kekalahan' bukan kerana kuatnye musuh2 islam, tetapi puncanye dari kelemahan kite sendiri..

very nice post !! back to Quran, then u'll find de solution..

salam..

Nur Izzati said...

yup.. back to Quran, and we'll find the solution..