Thursday, June 24, 2010

Rasa Hati Wanita~

Alhamdulillah. Segala puji hanya dilimpahkan buat yang Maha Kaya, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Minggu ini sudah masuk minggu ketiga saya menjalani latihan industri atau dalam kata lainnya internship di tanah air sendiri. Namun, mungkin kerana sistem immuniti badan yang tidak begitu kuat, hari ini saya telah diberi sick leaves selama dua hari. Mungkin ada hikmah di sebaliknya...

Ternyata cuti hari ini telah memberikan saya sedikit ruang untuk bernafas. Untuk mentafsir, untuk menaksir, untuk mendengar segala curahan hati insan-insan di sekeliling saya. Benar, saya mungkin secara fizikalnya kurang sihat, tetapi insyaAllah, hati saya masih lagi mampu untuk memberi ruang kepada diri saya sendiri untuk menjadi pendengar dan seterusnya meneliti setiap luahan yang saya dengari.

Hitam dan Putih Manusia

"Aku tak tahu sampai bila aku harus bersabar. Kadang kala, aku terfikir, andai kata aku di tempat ibu, aku akan memilih untuk bercerai," ujar seorang sahabat.

"Kenapa pula? Kali ini, ayah kau buat apa?" soal saya sambil memandang wajahnya.

"Kami sudah menyewa di rumah pak cik tersebut selama 12 tahun. Dan sekarang, anaknya sudah bernikah dan mahu menduduki rumah yang kami diami itu. Kami diberi masa sebulan untuk mencari rumah baru. Seperti kau tahu, ayah aku sibuk dengan pekerjaannya. Mujurlah sekarang cuti sekolah, sekurang-kurangnya, ibu aku mempunyai masa untuk mencari rumah sewa yang baru. Tetapi, malangnya ayah aku tak pernah mahu menghargai penat lelah ibu," ujar beliau dalam nada separuh hampa, barangkali kecewa dengan sikap si ayah.

"Apa yang ayah kau buat?" soal saya, masih ingin mendengar luahan isi hatinya.

"Ayah aku sampai sekarang duduk di rumah sewa lama itu. Hanya kami yang duduk di rumah sewa baru. Alasannya cukup mudah, rumah baru terlalu terbuka dengan jiran-jiran, hanya mempunyai sedikit ruang untuk beliau melakukan gardening dan pagi-pagi, laluan di situ cukup sesak," jawabnya.

"Habis, kenapa ayah kau tak berusaha mencari sendiri rumah sewa yang baru?" soal saya, dengan nada sedikit tinggi. Sesekali, hati saya turut terkesan dan lantas emosi saya sedikit terganggu tatkala mendengar kisah lelaki-lelaki sebegini. Benar, mereka punyai kuasa yang lebih dalam sesebuah rumah tangga. Namun, itu bukan alasan untuk mereka terus melukai atau dalam kata lainnya, tidak tahu untuk menghargai pengorbanan seorang insan yang bergelar isteri.

"Itulah masalahnya sekarang. Aku masih teringat kata-kata ibu. Ibu hanya melihat good side yang ada pada ayah. Selebihnya, biarlah Allah menentukan. Kita sebagai manusia, pasti ada hitam dan putih masing-masing," ujar sahabat saya, dalam nada suara yang semakin tenggelam.

Warna-warni Cinta

Saya akui, saya bukanlah insan yang selayaknya untuk membicarakan soal ataupun isu rumah tangga seperti ini. Namun, melalui perkongsian kisah hidup dengan para sahabat, melalui kisah-kisah suami dan isteri teladan yang pernah saya baca, juga melalui ilmu yang saya kutip dari majlis-majlis ilmu yang mebincangkan kisah rumah tangga, sedikit sebanyak saya mula belajar mentafsir dan memahami akan realiti perkahwinan yang sebenar. Ya, kita ini manusia, dan seandainya iman kita kepada Sang Pencipta ada turun naiknya, inikan pula rasa kasih dan sayang kita terhadap manusia, pasti ada warna-warninya.

Saya teringat akan kisah bagaimana Rasulullah melayani para isteri dan anak-anaknya dalam buku Isteri dan Puteri Rasulullah nukilan Muhammad Mahdi al-Istambuli dan Musthafa Abu Nashr al-Syilby. Bagaimana Rasulullah s.a.w. menangkis rasa cemburu Aishah dan Hafsah melalui kebijaksanaan yang ada pada baginda. Bagaimana kasih dan lemah lembutnya baginda melayani puteri-puterinya. Dan bagaimana baginda melayan para isterinya dengan sebaik-baik layanan. Sungguh, saya tersentuh tatkala membaca baris demi baris akan kisah-kisah tersebut, kerana saya percaya, hanya sedikit lelaki yang mengambil contoh daripada manusia teragung ini dalam melayani isteri dan anak-anak mereka.

Tidak hairanlah, andai dewasa ini, acapkali kita dengar berlakunya kes-kes perceraian di kalangan pasangan-pasangan yang dahulunya seringkali berbicara tentang "kehangatan" cinta mereka. Tiada lagi persefahaman, tiada lagi keserasian, hadir orang ketiga adalah antara punca-punca utama keretakan rumah tangga yang sering saya dengar dan baca. Sesekali, rasa takut turut hadir dalam hati untuk menyempurnakan sunnah yang dituntut ini, kerana bimbang akan terjadinya peristiwa sebegini di kemudian hari. Namun, teringat akan kata-kata yang pernah saya kutip dari sebuah majlis ilmu, "Hubungan suami isteri dan tingkah laku anak-anak adalah refleksi hubungan kita dengan Allah swt."

Penutup

Dalam memenuhi tuntutan hidup duniawi yang semakin mendesak, saya akui kita kadang-kala terlupa, bahawa secebis senyuman atau dengan hanya beberapa patah bicara manis, mampu memberikan bahagia buat insan di sekeliling kita. Begitu juga dengan para ibu dan para bapa, dek kesibukan mencari nafkah bagi memenuhi tuntutan anak-anak, tidak dinafikan mereka adakalanya terlupa, bahawa di sisi mereka adalah manusia yang bukan hanya kehausan harta, tetapi lebih kepada kehausan belaian kasih dan sayang mesra. Mereka terlupa bahawa elemen kasih dan sayang itu perlu untuk menyuburkan jiwa isteri, suami dan anak-anak mereka. Tambahan pula, dengan kecanggihan dunia tanpa sempadan ini, hanya dengan elemen inilah kita mampu untuk menyentuh hati dan seterusnya mengikat hati-hati insan di sekeliling kita agar tidak melencong dari landasan yang benar.

Hargailah, suburkanlah rasa kasih dan sayang, supaya selari dengan jiwa kehambaan kita buat Maha Pencipta, dan agar kita bisa mengecapi bahagia yang berkekalan hingga ke syurga. Entry ini bukan mahu "menjatuhkan" air muka insan yang bernama lelaki, tetapi hanya sekadar satu pesanan buat ikhtibar bersama, agar kita sentiasa belajar dan beringat, bahawa insan yang bernama wanita itu, biar punyai kelembutan hati dan sentuhan rasa, tetapi mempunyai kekuatan jiwa kerana mendalamnya rasa kasih mereka. Sebagai pengakhiran, sama-samalah kita hayati sebuah sabda Rasulullah s.a.w:

"Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap isterinya, sesungguhnya menjalinkan hubungan yang baik dengan isteri itulah yang paling mulia di kalangan kamu."


Credit to iluvislam.com

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

3 comments:

rayyanwahidah said...

salam kak zati.. ne link blog saya: http://rayyanwahidah.blogspot.com/

rayyanwahidah said...

slm akak..
ini blog saya:
http://rayyanwahidah.blogspot.com/

Nur Izzati said...

ok =)