Siapa bilang anak-anak gadis yang semakin membesar tidak lagi perlukan kasih seorang ayah?
Siapa kata tatkala seorang anak perempuan itu mula melangkah ke alam dewasa, maka hubungan yang rapat dengan seorang lelaki bergelar bapa bukan lagi satu keperluan?
Siapa kata apabila seorang anak gadis itu kelihatan sudah matang, dia tidak lagi perlukan luahan rasa sayang daripada seorang abi?
Hakikatnya, semakin dewasa dan meningkatnya usia seorang anak perempuan, mereka sebenarnya mendambakan hubungan yang lebih rapat dan mesra dengan seorang lelaki yang bergelar abah. Entri kali ini berkemungkinan agak personal bunyinya, tetapi hakikatnya ini adalah realiti yang mungkin dihadapi oleh kebanyakan mereka yang bergelar seorang anak perempuan...
Hati saya sangat terusik setelah membaca
entri ini. Entah kenapa, pada sebelah sudut, saya menganggap entri ini merupakan luahan seorang anak perempuan yang jujur kepada ayahnya. Di suatu sudut, saya merasakan agak kurang wajar sekiranya kita sebagai seorang anak mempunyai pemikiran yang sebegitu terhadap seorang insan yang bergelar ayah. Mungkin, sebagai seorang anak perempuan, yang mana emosinya agak mudah tersentuh dan bersifat sukar melupakan berbanding seorang lelaki, sesekali akan wujud perasaan dan bisikan hati yang sebegitu terhadap seorang ayah.
"Saya sayang ayah, tetapi ayah semakin jauh..."
Jika direnung kembali, berapa ramai antara kita yang seumur hidupnya tidak pernah dirotan atau dipukul oleh seorang insan yang bergelar bapa ini. Berapa ramai di antara kita yang mungkin pada zaman sekolahnya, amat jarang ayahnya dapat menghadirkan diri ke majlis anugerah yang diadakan pihak sekolah lantaran kesibukan si ayah dengan tuntutan pekerjaan. Tidak dapat dinafikan, ketika waktu itu akan terdetik bisikan yang mengatakan "Ayah tak sayangkan saya", "Daddy do not love me anymore", "Sampai hati abi pukul saya". Namun tidak dinafikan, seiring dengan peredaran masa, masih ramai di kalangan anak-anak ini diberi ilham dan kesedaran oleh Allah bahawa segala yang dilakukan oleh mereka yang bernama ayah itu adalah demi kebaikan mereka pada masa akan datang.
Sampai suatu saat, seorang anak perempuan bakal bergelar isteri kepada seorang lelaki yang juga menjadi ayah kepada anak yang dikandungnya. Hakikatnya, seorang anak perempuan akan tetap memerlukan kasih mesra dan pemahaman tentang seorang suami daripada seorang ayah. Mungkin tidak perlu untuk seorang anak perempuan itu berkongsi kisah rumah tangganya dengan ayahnya sendiri, tetapi apa yang saya maksudkan di sini ialah bagaimana si ayah memberikan sokongan kepada seorang anak perempuannya yang telah melalui fasa lain dalam hidupnya.
Sesekali, terfikir juga bahawa sebagai seorang anak perempuan, kita adakalanya meminta terlalu banyak daripada seorang lelaki bernama ayah. Dan adakalanya, kita tanpa sedar telah membebankan ayah kita, mungkin dari aspek luaran, dan mungkin juga dari aspek mental. Dan sebagai manusia biasa, ayah kita pastinya mempunyai had dan limit mereka sendiri. Kerana unsur kejadian kita dan ayah kita adalah serupa, punyai kelemahan, terkadang rapuh kekuatan.
Sesekali, mungkin tindakan ayah kita pernah membuat hati kita terhiris dan air mata kita akhirnya menitis.
Adakalanya, kata-kata yang ayah lemparkan membuatkan hati kita terluka, lantas meninggalkan parut yang mungkin agak lama menanti sembuhnya.
Kadang-kadang, pilihan ayah yang terpaksa kita akur dan terima meninggalkan kesan emosi yang agak mendalam, membuatkan sirna kasih kita kepadanya kian kelam...
Tetapi, renunglah kembali, tanpa kasih dan sayang ayah kita, tanpa cinta abi kepada umi, tanpa pengorbanan bapa merempuh onak dunia pekerjaan selama ini, mampukah kita mencapai kejayaan yang kita kecap pada hari ini? Mampukah kita untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang anak hingga ke saat ini?
Ayah itu manusia biasa, maafkanlah dia...
Abi itu kejadiannya serupa dengan kita, teruskanlah kita suburi rasa kasih kepadanya...
Bapa itu hamba Allah yang takkan pernah sempurna, terimalah dia seadanya, doakan dia...
Daddy is perfectly imperfect, and this makes him the most adorable man of our mummy's life~
Sayangilah dan kasihilah ayah, bapa, abi dan daddy, bukan kerana pengorbanan, bukan kerana tindakannya, tetapi kerana itu adalah perintah Allah semata-mata.
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah:
"Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil".
[Al-Israa':24]
|
Taken from Google Image |
~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~