Thursday, August 4, 2011

Day 4: Sorry (^_^)~

Alhamdulillah, sudah masuk hari keempat kita berada dalam bulan yang penuh barakah ini. Semoga semua ibadah dilakukan dengan penuh keikhlasan, beserta dengan hati yang benar-benar merasai kehadiran Allah setiap masa. Sebagai manusia yang fitrahnya pelupa, adakalanya kita tersasar, dan lantas apa yang dikerjakan adakalanya melampaui batas, atau mungkin juga dilakukan bukan kerana-Nya. Semoga bulan yang mulia ini, memberikan ruang yang cukup untuk kita bermuhasabah kembali, di mana sebenarnya Dia di hati.

Tidak dinafikan, dalam mengharungi kehidupan seharian, kita kerap kali diuji dengan ujian yang terkadang menyesakkan dada, menyempitkan jiwa. Sesekali, air mata akhirnya menitik juga, refleksi kepada lukanya hati dek tindakan insan-insan di sekeliling kita. Lantas, kita cenderung untuk memendam rasa, dan mungkin juga kesan hati yang luka membuahkan rasa dendam tanpa sengaja, tanpa dipinta. Pada saat inilah, kita seharusnya membuat introspeksi diri, tentang sejauh mana kita sebenarnya merelakan diri untuk diuji. Ya, kita ini manusia biasa, sesekali jiwa terhiris, sepatutnya dianggap sebagai lumrah yang biasa. Bukankah Allah telah berfirman dalam Surah Al-Balad ayat 4 yang bermaksud,

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia itu dalam kehidupan bersusah payah."

Di sini sudah jelas, Allah menciptakan kita untuk hidup dalam keadaan bersusah payah. Daripada keperitan hidup ini jugalah, kita sebenarnya sedang diberi peringatan, agar tersedar dari lamunan kealpaan. Dan seandainya kita sedar akan hakikat ini, pastinya kita dapat mengakui kelemahan kita sebagai seorang hamba, yang sesekali akan terluka, dan tidak dapat pula kita nafikan, kita juga pernah menjadi yang melukakan, baik secara sedar, mahupun tanpa sedar.

Mari sama-sama kita hayati kisah kemaafan Rasulullah saw yang tiada tandingan.

Seorang lelaki musyrik bernama Tsumamah bin Itsal dari Kabilah Al Yamamah telah pergi ke Madinah dengan tujuan untuk membunuh Rasulullah. Dengan persiapan yang serba lengkap, dia pergi mencari majlis di mana adanya Rasulullah dan setibanya dia di tempat tersebut, Umar bin Al Khattab yang melihat penampilan buruknya datang menghalang. 

Umar pun bertanya, "Apakah maksudmu datang ke sini? Bukankah engkau seorang musyrik?"

Dengan terang Tsumamah menjawab, "Aku datang untuk membunuh Muhammad!"

Mendengar ucapan Tsumamah, Umar pun merampas senjatanya dan mengikat Tsumamah pada salah satu tiang masjid dan segera melaporkan hal ini kepada Rasulullah. 

Rasulullah segera keluar dan menemui Tsumamah. Setibanya baginda di hadapan Tsumamah, ditatapnya wajah Tsumamah dan baginda berkata kepada para sahabatnya, "Sudahkah kalian memberinya makanan?"

Para sahabat yang berada di tempat kejadian sangat terkejut dengan pertanyaan Rasulullah, dan Umar yang menunggu perintah untuk membunuh Tsumamah sejak tadi seakan-akan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Maka Umar pun bertanya, "Makanan apakah yang anda maksudkan wahai Rasulullah? Orang ini datang untuk membunuh, bukannya untuk masuk Islam!"

Rasulullah tanpa menghiraukan Umar terus berkata, "Tolong ambilkan segelas susu dari rumahku, dan bukalah ikatan orang ini."

Meskipun berasa hairan, Umar hanya mematuhi arahan Rasulullah. Usai memberi minuman, Rasulullah berkata dengan sopan kepada Tsumamah, "Ucapkanlah La ila ha illallah." Tsumamah terus menjawab, "Aku tidak mahu mengucapkannya."

Rasulullah tidak berputus asa. Baginda memujuk Tsumamah lagi, "Katakanlah tiada ilah selain Allah, dan Muhammad itu Rasul Allah." Namun Tsumamah masih menjawab dengan nada yang keras, "Aku tidak akan mengucapkannya."

Para sahabat Rasul yang turut menyaksikan kejadian tersebut berasa sangat geram terhadap orang yang tidak tahu diuntung seperti Tsumamah. Rasulullah malah mengambil keputusan untuk membebaskan Tsumamah dan membenarkan dia pergi.

Belum jauh Tsumamah pergi dari masjid, dia kembali dengan wajah yang lebih mesra kepada Rasulullah dan terus berkata, "Ya Rasulullah, aku bersaksi tiada ilah selain Allah dan Muhammad Rasul Allah."

Rasulullah tersenyum dan terus bertanya, "Mengapa engkau tidak mengucapkannya ketika aku memerintahkan untukmu?"

Tsumamah menjawab, "Aku tidak mahu mengucapkannya ketika engkau masih belum membebaskan aku kerana khuatir ada yang menganggap aku masuk Islam kerana takut kepadamu, tetapi aku masuk Islam setelah engkau membebaskan aku semata-mata untuk mengharapkan redha Allah Rabbul Alamin."

Subhanallah. Hebatnya kuasa kemaafan terhadap seseorang sehingga mampu melembutkan hati yang keras! Memang tidak dinafikan, Rasulullah itu insan pilihan yang maksum dari segala dosa, tetapi bukankah tidak salah untuk kita berusaha memperbaik diri dengan mencontohi akhlak baginda?

Hati yang terluka memang mengambil masa untuk kembali pulih seperti sediakala. Dan menghulurkan kemaafan setulus hati bukannya perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Saya sendiri mengakui kenyataan ini. Tetapi, apabila terfikir akan ketidaksempurnaan diri yang pastinya turut melukakan insan sekeliling, saya adakalanya terfikir juga, lantaskah sukar bagi kita untuk menghulurkan sebuah kemaafan, pada saat kita juga membutuhkan kemaafan daripada orang lain? Ya Allah, lembutkanlah hati ini dan hiasilah diri ini dengan peribadi yang mulia serta akhlak yang benar...

"Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi tindakan yang menyakiti. Allah MahaKaya, Maha Penyantun"
[Al-Baqarah: 263]


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: