Wednesday, February 2, 2011

Sharing: Sinopsis~

Alhamdulillah, dua minggu telah pun berlalu. Semoga setiap detik yang berlalu meninggalkan kebaikan yang berpanjangan dan bakal dikira dengan perhitungan yang baik di akhirat kelak.

Menyusuri hari-hari yang berlalu, dunia dikejutkan dengan pergolakan yang berlaku di Mesir. Dan pastinya, pelbagai feedback diberikan, dan tidak kurang juga terdapat segelintir pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan memutarbelitkan beberapa fakta. Apapun, semoga yang menulis, semoga semua penulis, senantiasa menyedari hakikat bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan dengan segala yang ditulis di akhirat kelak. 

Apa yang pasti, tulisan saya kali ini bukan untuk menyentuh tentang Mesir. Sebolehnya, untuk masa sekarang, dengan pengetahuan yang mungkin terhad, selayaknya, saya cuba mengelakkan diri dari berbicara tentang Mesir. Bimbang kalau-kalau informasi yang diperoleh bercanggah dengan fakta di dunia realiti. Yang penting, panjatkan doa, kerana doa itulah sumber kekuatan yang takkan pernah mengecewakan.

Pertemuan Pertama

Pertemuan pertama kami semalam membuatkan saya agak tertarik memandangkan saat bermulanya pertemuan itu, hostel yang kami diami tiba-tiba dilanda blackout. Dan saat itu juga, saya mula terfikir, dengan kegelapan yang mungkin tidak seberapa, saya sudah berasa kurang selesa atau agak resah, apatah lagi jika ditakdirkan saya perlu berhadapan dengan kegelapan yang lebih dari itu. Paling menakutkan, andainya hati ini gelap, bagaimanakah kondisi kita pada masa itu, dan sudikah lagi Dia memandang kita?

Menyusuri bait-bait indah yang Allah titipkan menerusi Surah Al-Baqarah ayat 151 hingga 157 bersama-sama numbers of my sisters, membuatkan saya berasa semakin yakin bahawa perjalanan yang dilalui ini sebenarnya telah ditulis skripnya oleh Dia yang Maha Pencipta.

Bermula dari pengutusan Rasul kepada umat manusia dengan tujuan untuk membacakan ayat-ayatNya, menyucikan hati kita sebagai umat manusia sebelum kita diajar dengan kalimah-kalimahNya, kita juga diingatkan agar senantiasa mengingati Dia agar Dia tetap mengingati kita. Bersyukur dengan segala yang ada, dan jangan pernah ingkar padaNya, kita juga ditunjukkan dengan jalan yang terang lagi nyata demi mendapatkan pertolongan daripadaNya yakni dengan sabar dan solat.

Kita juga diingatkan bahawa mereka yang terkorban dalam perjuangan menegakkan kalimahNya sebenarnya terus hidup di sisi Dia, dan segala jenis ujian yang bakal dilalui oleh mereka yang memilih jalan Allah turut dikhabarkan menerusi ayat cintaNya ini. Dan pastinya penyelesaian akan mampu diperoleh melalui jalan sabar, biarpun saya mengakui, hakikat sabar itu cukup payah. Kerana apa? Kerana sabar itu sebenarnya di saat kita mula menerima sesuatu itu, dan bukannya setelah diconsult atau dipujuk oleh teman-teman kita.

Dan di ayat ke-157, Allah telah memujuk hamba-hambaNya dengan menyatakan mereka yang telah melalui semua fasa yang dinyatakan dalam 6 ayat sebelumnya akan diganjari dengan nikmat ampunan dan rahmat daripadaNya, selain dari petunjuk. Subhanallah! Betapa Dia telah memberikan satu sinopsis yang saya kira agak mudah untuk difahami, malahan dari awal perjalanan sehingga ke penghujung perjuangan telah diringkaskan dalam 7 ayat yang saya kategorikan sebagai very inspiring words. =)


Penutup

Semoga dengan makanan rohani yang disampaikan tanpa jemu akan mampu diterjemahkan dalam amalan dan dihayati dengan sepenuhnya dengan penuh keikhlasan. Bukanlah keikhlasan namanya andai kita acapkali mempersoalkan keikhlasan orang lain, tetapi teruslah menyoal dan muhasabah diri kerana ikhlas itu umpama semut hitam yang berjalan di atas batu yang hitam, di tengah kegelapan malam yang pastinya hitam.


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: