Sunday, February 6, 2011

Bagaimana Ye?

Alhamdulillah... Cuti sempena Tahun Baru Cina kali ini turut disertai dengan khabar gembira yakni mantan masu'lah dan juga salah seorang daripada rakan sekelas telah selamat mendaki tangga yang kedua dalam maratib amal iaitu Baitul Muslim. Semoga rumah tangga yang dibina dilimpahi dengan keberkatan dan semoga cinta yang bertaut berkekalan hingga ke syurga. Amin ya Rabb...

Berbicara soal rumah tangga, saya agak terpanggil untuk berkongsi tentang perbincangan kami sesama sisters semasa dalam perjalanan pulang dari majlis walimah mantan masu'lah kami di Batu Kawan tiga hari yang lalu. Berkisar tentang keikhlasan dan kebergantungan sepenuhnya kerana dan kepada Illahi, sejujurnya saya yakin bukan mudah untuk mendidik hati agar menjadi selembut itu.Ditambah lagi buat masa ini, saya sedang menonton series Ketika Cinta Bertasbih, yang mana saya rasakan terlalu sinonim dengan realiti hidup yang sebenar yakni rasa hati seorang yang bernama wanita, saya juga merasakan semakin sukar sebenarnya untuk mendidik hati supaya senantiasa bertawakal dan pasrah dengan segala ketentuan yang pastinya sudah tercatat di Lauh Mahfuz.

Di Satu Sisi

"Sewajarnya, akak rasa memang perlu untuk kita mendidik hati, bahawa si suami itu adalah milik Allah sepenuhnya dan bukan milik kita," ujar Kak S (bukan nama sebenar) ketika dalam perjalanan pulang dari Batu Kawan ke Tronoh. Pada saat itu, saya sedang menceritakan kisah seorang sahabat yang terlalu setia dengan sahabatnya, bahkan keduanya berkahwin dengan jejaka yang sama atas permintaannya sendiri.

"Siapalah suami kita, jika kita mahu memikirkan hak kita ke atasnya, berbanding dengan hak Allah ke atas dirinya. Bukankah dengan bermadu itu kesabaran itu bakal diuji, dan seandainya kita berjaya mengatasinya, terlalu besar nikmat dan ganjaran yang menanti kita di sana nanti?" sambungnya lagi.

Jujur, saya mengakui akan kebenaran kata-kata Kak S, tetapi buat masa ini, hakikat itu rasanya masih teramat sukar untuk diterjemahkan dalam amalan di dunia realiti. 

Di Sisi Kedua

Saya ingin memetik kata-kata Ana dalam series KCB yang sedang saya tonton ketika ini kepada suaminya tatkala perasaan cemburu menyelubungi dirinya lantaran berita yang tersebar luas mengatakan bahawa Azzam itu telah mengambil Qanita sebagai isteri keduanya.

"Apa kamu cemburu An?" soal Azzam.

"Mas, bukankah cemburu itu didorong oleh rasa cinta Ana yang mendalam kepada Mas?" soal Ana kembali.

Penutup

Melihat kepada dua sisi yang berbeza ini, saya semakin merasakan bukan mudah untuk mendidik hati supaya sentiasa pasrah dan bertawakal dengan segala ketentuan yang terjadi. Tambahan pula, apabila saya teringat akan kata-kata seorang sahabat,

"Kita kena sentiasa ingat, nak kahwin kerana apa. Kerana yang bernama suami itu bukanlah milik kita sebenarnya. Kalau betul kerana Allah, pasti kita boleh ikhlaskan hati, kalau benar ditakdirkan perkara yang paling kita takuti itu bakal terjadi."

Opps, saya hanya mampu terdiam. @_@


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: