Alhamdulillah... Segala puji buat Allah, Tuhan sekalian alam. Hari ini sudah masuk minggu yang keenam saya menjalani latihan industri. Dan pastinya, masih ada baki 26 minggu lagi untuk menamatkan latihan industri. Dan dalam enam minggu ini juga, pastinya sedikit sebanyak pengalaman menghadiri segala kursus dan latihan, di samping terlibat dengan projek-projek syarikat membuatkan saya mula belajar untuk mengambil ibrah dari segala aktiviti yang saya lakukan. Semakin saya mendalami akan segala tujuan latihan dan projek yang dilakukan di sini, semakin meningkat keyakinan saya terhadap ajaran Illahi, dan semakin bertambah keinginan saya untuk terus belajar melihat dari sisi pandangan anak-anak ukhrawi, bukan sekadar memaknakan duniawi. Semoga dipermudahkan, Insya Allah...
Memahami ISO 9001:2008
ISO merupakan akronim kepada International Organization of Standardization merupakan satu praktis untuk mengawal kualiti pengeluaran ataupun perkhidmatan. Mengambil makna iso dari Greek yang bermaksud equal ataupun sama, ISO juga bertujuan untuk memastikan setiap perkhidmatan ataupun pengeluaran produk yang kita lakukan memenuhi ciri-ciri piawaian standard yang telah ditetapkan. Secara asasnya, ISO 9001:2008 ini lebih menekankan kepada piawaian yang perlu dipenuhi dalam memastikan sistem pengurusan dan organisasi sesebuah syarikat mencapai kualiti yang telah ditetapkan. Pastinya, pelbagai usaha diambil bagi memastikan syarikat tersebut mencapai standard ataupun piawaian yang telah ditetapkan kerana ISO itu melambangkan kualiti dan secara tidak langsung memberi impak kepada imej sesebuah syarikat dan organisasi.
Berbicara soal kualiti, saya terfikir alangkah indahnya andai setiap insan di muka bumi ini sentiasa berusaha untuk mencapai piawaian standard yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Hal ini kerana natijah dari keupayaan kita untuk mencapai tahap ISO yang telah ditetapkan oleh Allah akan berkekalan buat selama-lamanya, dan keindahan balasan syurga buat hamba-Nya yang berjaya mencapai tahap tersebut pastinya tidak akan pernah tergambar oleh kita. Allah telah memberikan janji-Nya buat semua hamba-Nya, tidak kira yang lelaki mahupun wanita dalam Surah An-Nisa' ayat 124 yang bermaksud,
"Barang siapa yang mengerjakan amal-amal saleh, baik laki-laki maupun wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam surga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun."
Ya, kita kebanyakannya alpa kerana tidak berupaya melihat di mana Allah yang sentiasa mengawasi setiap inci pergerakan dan perbuatan kita setiap hari. Kita lebih takut akan hamba-Nya yang mempunyai kuasa untuk mendakwa kita di atas segala kesalahan yang bisa dilihat ataupun dikenal pasti oleh mata kasar. Paling mudah, lihat sahaja contoh di lampu isyarat. Kita akan berhenti apabila lampu berwarna merah dan hanya bergerak setelah lampu bertukar hijau. Memang terdapat juga mereka yang berani melanggar peraturan ini biarpun mempunyai risiko untuk dikenakan saman trafik, tetapi jika dibandingkan dengan jumlah mereka yang mengabaikan perintah solat lima waktu, yang mana lebih ramai? Kesalahan manakah yang mempunyai potensi yang lebih besar untuk tidak dipatuhi? Tepuk dada, tanyalah iman! Dan sesungguhnya firman Allah dalam Surah Al-Kahfi ayat ke 54 perihal sikap manusia yang suka membantah perintah-Nya tersangatlah benar, lagi-lagi dalam keadaan umat akhir zaman ketika ini.
"Dan sesungguhnya Kami telah mengulang-ulangi bagi manusia dalam Al Qur'an ini bermacam-macam perumpamaan. Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah."
Non-Destructive Testing (NDT)
Projek ini merupakan salah satu daripada usaha pihak syarikat untuk memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh Department of Occupational Safety and Health (DOSH). Projek yang menggunakan teknik acoustics emission ini menggunakan prinsip Kaizer masih lagi dijalankan sehingga kini. Ini bertujuan untuk mengukur ketebalan tangki setelah bertahun-tahun beroperasi selain untuk mengesan segala cracks and defects inside the tanks. Apa yang menarik, teknik ini menggunakan prinsip materials will release a sound if there is any unstable condition. Dan prinsip inilah yang membuatkan saya terfikir dan terus mengaitkannya dengan realiti dunia hari ini.
Kita selalu dikejutkan dengan bencana alam yang kelihatannya agak luar dari kebiasaan akhir-akhir ini. Terbaru, Rusia dilanda cuaca panas dan kemarau teruk dan menurut laporan akhbar, ini adalah yang terburuk sejak 130 tahun yang lalu. Kepanasan terik melanda Rusia sehingga suhu negara tersebut mencecah 40 darjah celsius.
Baru-baru ini juga, tumpahan minyak ekoran berlakunya letupan pelantar minyak milik syarikat British Petroleum (BP) telah membawa bencana alam yang sungguh dasyat di Teluk Maxico, Amerika. Bukan sekadar Amerika, perairan di luar Amerika turut terkesan dengan musibah ini dan pastinya presiden Barrack Obama, di samping ketua BP, Tony Hayward adalah orang yang paling teruk terjejas rentetan dari kejadian ini. Dan pastinya, selain para nelayan yang bergantung hidup dengan sumber lautan, makhluk Allah yang berhabitat di kawasan ini pastinya antara golongan yang terancam.
Credit to beritasemasa.com
Enam tahun yang lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan tsunami yang melanda dengan sungguh hebat pada tanggal 26 Disember 2004. Beberapa kawasan di Utara Semenanjung Malaysia turut terkena tempias musibah tersebut, selain kawasan Sumatera, Indonesia yang hanya tinggal ibarat padang jarak padang terkukur. Gempa yang hanya berlaku selama lapan minit itu, dengan kekuatan Ritcher 9.1 telah mematikan lebih kurang 230, 000 jiwa dan menaikkan paras air dunia sedalam beberapa kaki dengan begitu drastik sekali.
Itu hanya beberapa contoh dari ribuan isyarat Tuhan kepada kita. Sebagaimana NDT, musibah alam ini juga adalah satu medium untuk bumi ini berkomunikasi dengan kita, mengatakan bahawa ada ada perkara yang tidak kena telah kita lakukan. Perkara-perkara yang melanggar perintah Pemilik Mutlak alam ini telah kita laksanakan. Hukum Tuhan telah kita abaikan. Dan pastinya, makhluk Allah lain yang sentiasa bertasbih memuji-Nya turut terluka melihat kita gagal dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah yakni pentadbir alam amanah Tuhan ini.
Penutup
Tanpa sedar, segala yang kita lakukan, baik untuk tujuan industri ataupun berkaitan dengan dunia pekerjaan kita, semuanya kita lakukan berpandukan hukum dan fitrah alam semulajadi. Namun sayang, hanya sedikit dari kalangan kita yang menyedari akan hal ini. Kita lupa, kita alpa, bahawa alam ini ada pengakhirannya. Dan kerana Allah tahu akan hamba-Nya seringkali alpa akan peringatan dari-Nya, Dia telah mengirimkan kita isyarat, melalui bicara alam kepada kita.
Semoga kita semua senantiasa berada di bawah lindungan-Nya, di bawah naungan rahmat-Nya, dan sama-samalah kita berdoa, agar kita sentiasa beringat dan mengambil ibrah dari segala kejadian ciptaan-Nya.
"maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada."
[22:46]
~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~
No comments:
Post a Comment