Alhamdulillah... Bersyukur saya ke hadrat Illahi, kerana saya akhirnya selamat dalam perjalanan pergi dan balik ke kampung di sebelah pihak bonda. Ternyata, tidak sia-sia perjalanan yang mengambil masa paling kurang tiga jam sehala itu.
Biar hanya sempat berada di sana selama dua malam, namun saya bersyukur kerana banyak perkara yang saya pelajari sepanjang berada di sana. Benarlah kata pepatah, kita bukan hanya dapat belajar melalui proses pembelajaran secara formal, tetapi juga melalui apa yang kita lihat, dengar dan rasa. Subhanallah, betapa Allah telah banyak mempermudahkan kita agar kita dapat melihat, mentafsir dan meneliti dengan mata hati dan iman segala kejadian yang berlaku di sekeliling kita.
Sebentar tadi, saya sempat singgah di beberapa blog yang agak menarik, sarat dengan pengisian yang agak bermanfaat pada pendapat saya. Dan salah satu isu yang agak menarik perhatian saya ialah pengisian masa muda anak-anak remaja masa kini. Dan saya, yang jika dikira melalui faktor usianya juga merupakan golongan remaja ataupun anak-anak muda, cukup terkesan dengan entry tersebut.
Realiti Remaja Sekarang
Saya teringat akan anak-anak muda, yang mungkin seusia dengan saya, atau mungkin muda atau tua dalam lingkungan tiga hingga empat tahun sahaja daripada usia saya di kampung. Kebanyakan dari mereka hanya tahu untuk berhibur, menghabiskan masa dengan aktiviti yang pada saya sungguh sia-sia. Saya percaya, kebanyakan dari mereka adalah golongan yang tercicir atau mungkin tidak mempunyai sebarang peluang untuk melanjutkan pelajaran, atau mungkin juga sudah tidak punyai minat untuk terus meraih ilmu pengetahuan yang berasaskan teori dan hafalan semata-mata. Namun, apa yang menyedihkan saya, mereka langsung tidak punyai kesedaran untuk terus menajamkan kemahiran yang ada pada diri mereka jika memang bukan bidang yang bersandarkan akademik dan teori yang menjadi pilihan.
Saya teringat akan petikan tulisan seorang sahabat di blog beliau,
"Jika mahu melihat keadaan negara dan pemimpin kita di masa hadapan, lihatlah kepada golongan remaja dan anak-anak muda hari ini."
Saya akui, melihat senario anak-anak muda hari ini, saya cukup takut, cukup bimbang memikirkan bagaimana hala tuju negara kita paling kurang 20 tahun akan datang. Saya ambil contoh terdekat, anak-anak muda yang sebutkan tadi. Mereka melepak di tepi jalan sambil merokok, melalak yang tidak tentu hala tatkala azan Maghrib sedang bergema dari masjid yang berdekatan, berasa megah dengan motosikal yang saya percaya bukan dibeli dari hasil titik peluh mereka. Andai begini generasi kita hari ini, logikkah 20 tahun akan datang, golongan seperti ini mampu untuk menerajui negara kita jika bukan lebih baik tetapi cukuplah sekadar setanding dengan keadaan negara kita pada hari ini?
Saya tidak impikan negara yang hanya maju pada nilaian material, bangunan dan mata wang sahaja, tetapi saya juga impikan negara yang aman damai di samping dapat mengamalkan syariat Islam secara total. Saya percaya, gejala anak-anak muda memandang sepi suara gema azan yang memanggil untuk mereka pergi dan mengabdikan diri kepada Pencipta bukan hanya berlaku di kalangan anak-anak muda di tempat saya, tetapi juga di tempat lain. Bagi saya, andai di tahap usia begini mereka masih lagi lemah dalam memperkuatkan diri untuk melakukan perkara asas tiang agama, usah sahaja kita cari itu salah siapa, tapi yang penting, kita perlu mencari ikhtiar untuk mencari bagaimana cara untuk mengubahnya.
Bukan Semua
Saya tidak menafikan, wujud juga golongan anak-anak muda yang sibuk dan dengan penuh rela mengabdikan diri mereka dengan segala aktiviti yang bermanfaat semata-mata untuk mencari redha Allah, untuk menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah ini. Mereka berhalaqah, berusrah, dan melakukan segala macam program tarbiyah untuk memantapkan diri masing-masing. Biarpun secara jujurnya, jumlah mereka tersangatlah sedikit, namun saya percaya yang penting adalah kualiti bukan kuantiti. Tambahan pula, Allah telah berfirman dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud,
"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."
Maka, biarpun jumlah mereka jika hendak dibandingkan mereka yang sedang hanyut di luar sana sangat sedikit, saya yakin dan percaya, bantuan dari Allah itu sentiasa ada. Semangat yang mengalir dalam diri mereka InsyaAllah takkan mudah padam.
Muhasabah
Saya akui, saya hanyalah orang baru yang masih lagi berusaha untuk meningkatkan ilmu dalam diri agar dapat terus tsabat di jalan ini. Namun, saya percaya, anak-anak muda yang seangkatan dengan saya, andai betul cara approachnya, tidak mustahil mereka boleh menjadi seorang mujahid dan mujahidah yang turut membantu menegakkan syiar Allah di muka bumi ini. Apa yang penting, golongan seperti ini sebenarnya perlu didekati bukan dijauhi. Mungkin sahaja mereka perlukan perhatian, bimbingan dan tunjuk ajar yang berhemah dari insan-insan yang berkemampuan dan berkebolehan dalam mendidik mereka untuk terus memahami dan mengerti akan tujuan sebenar mereka dihidupkan di atas bumi ini.
~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~
No comments:
Post a Comment