Thursday, March 10, 2011

Short Notes: Pergi Tak Kembali~

Sudah seperti agak lama rasanya jari-jemari saya tidak menaip sesuatu untuk blog ini. Kesibukan dengan pelbagai urusan adakalanya menyebabkan saya hilang minat atau rasa untuk mencoretkan sesuatu di laman sesawang ini. Sedar tak sedar, sudah minggu ketujuh pengajian semester ini hampir berakhir.. Dan melihat kepada takwim akademik, saya sedikit cemas. Dengan bebanan dan tuntutan akademik dan hal-hal lain yang kian berat dan bertambah, adakalanya saya turut bimbang andai masa yang ada tidak terisi dengan coretan malaikat pada sebelah kanan. 

Semalam saya dikejutkan dengan pemergian seorang sahabat. Biarpun sekadar mengenali nama dan rupa, berita kematian acapkali membuatkan tubuh saya jadi menggeletar. Betapa, saat kita kembali itu tidak pernah dipercepatkan atau dilambatkan, waima hanya sesaat.. Tidak kira usia dan sejauh mana persiapan kita menghadapi panggilan pulang itu, Izrail tetap takkan pernah leka dan terus menepati masa untuk menjalankan tugasnya... Hidup akan terus berjalan, cuma berbeza fasa.. Dan setiap fasa itu, kita sudah dibekalkan dengan persediaan dari Pencipta, dan terpulang kepada kita bagaimana hendak memanfaatkan bekalan tersebut...

Allah sudah menjelaskan dalam Surah Al-Munafiqun ayat ke 11, betapa sesungguhnya masa untuk kita kembali itu sudah ditetapkan waktunya. Dan sebagai hamba yang tidak pernah tahu akan saat tibanya jemputan itu tiba kepada kita, persediaan itu sewajarnya sangat penting. Kerana Dia turut mengingatkan kita dalam ayat yang sama, bahawa Dia Maha Teliti dalam setiap yang kita kerjakan. Lalu, bagaimana? Mampukah kita untuk menjawab segala persoalanNya di Mahsyar nanti dengan alasan saya belum bersedia, saat Kamu menjemput saya?

"Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
[63:11]

Pemergian sahabat tersebut akibat kemalangan jalan raya sedikit sebanyak membuatkan saya kembali berfikir untuk bermuhasabah. Perlunya untuk kita menghargai setiap insan di sekeliling kita, sebelum saat diri ini ataupun mereka turut pergi yang takkan kembali..



.

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: