Saturday, November 20, 2010

Khabar Hari Ini~

Alhamdulillah, tanpa disedari sudah lewat minggu ke-24 saya menjalani latihan industri. Semoga baki lapan minggu ini bakal terisi dengan pelbagai lagi aktiviti yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dan pedoman di masa akan datang.

Adakalanya, dalam kondisi kesihatan sebegini, saya sering terfikir akan beberapa perkara. Mungkin bagi segelintir pihak, ianya tidak relevan atau tidak sesuai. Tetapi, apabila difikirkan kembali, mungkin ada kebenarannya juga.

Kadangkala, kita sebagai insan terlalu selesa dengan nikmat tilam yang empuk dan selesa sebagai tempat pembaringan di malam hari. Namun hakikatnya, sementara menanti pertemuan seterusnya di Padang Mahsyar, liang lahat yang berlantaikan tanah semata-mata itulah tempat tidur kita.

Tidak dinafikan, naluri kita sebagai insan adakalanya menginginkan kereta-kereta mewah dan berjenama sebagai kenderaan. Tetapi hakikatnya, di saat jasad kita dibawa ke kuburan, keranda itulah kenderaan yang bakal kita naiki dengan usungan daripada insan-insan yang masih lagi bernyawa.

Sesekali, mungkin pernah terbit rasa riak di hati tatkala menggayakan pakaian baru yang berjenama ketika melintas di hadapan rakan-rakan. Tetapi realitinya, pakaian terakhir yang kita pakai sementara menanti saat tiupan sangkakala yang kedua hanyalah sekadar kain kapan putih tanpa corak dan warna.

Adakalanya, terbit rasa bangga apabila rumah kediaman yang kita diami tersergam indah bagaikan sebuah istana. Sedangkan hakikatnya, rumah terakhir kita nanti hanyalah sekadar kuburan yang di atasnya hanya bertiang dua.

Tatkala diri mungkin dinobatkan dan diberikan beberapa anugerah dan pingat, kita seringkali lupa bahawa apabila tiba saatnya nyawa terpisah dari jasad, hanya almarhum sahaja gelaran yang berkekalan diberikan buat kita sehingga tiba saat perhitungan segala amalan.

Pasti akan ada yang mengiyakan, bahawa mereka pernah merasa bangga dengan kecantikan dan kekacakan wajah masing-masing. Sedangkan, di saat jasad tertanam di dalam liang lahat, kecantikan dan kekacakan itu sudah tiada lagi gunanya, kerana semuanya sudah bertukar menjadi tengkorak yang langsung tidak mencerminkan kecantikan dan kekacakan itu lagi.

Marilah sama-sama kita melihat dan mengkoreksi diri, kerana hakikatnya dalam kehidupan ini, tiada satu pun perkara yang abadi. Dan di saat kita pergi menghadap Illahi, hanyalah 3 perkara yang kekal  bermanfaat buat diri kita yakni:

1. Ilmu yang bermanfaat.
2. Sedekah jariah.
3. Anak-anak yang soleh & solehah.

Allah telah berjanji, segala kebaikan itu takkan pernah sia-sia.

Allah telah berjanji, segala kebajikan itu pasti dalam hitungan-Nya.

Allah telah berjanji, segala amal itu pasti akan ada ganjaran-Nya.

Apa yang penting, ikhlaskan niat. Ikhlaskan hati. Biar apapun yang terjadi.

Kerana Rasulullah pernah bersabda,

"Innamal a'malu binniat"

Hanya segala amal adalah dengan niat...

Dan Allah pula telah berjanji dalam surah An-Naml ayat 89 & 90, segalanya akan dibalas, pada suatu hari yang mana hanya Dia yang tahu masa dan saatnya...

"Barang siapa yang membawa kebaikan, maka ia memperoleh (balasan) yang lebih baik daripadanya, sedang mereka itu adalah orang-orang yang aman tenteram dari kejutan yang dahsyat pada hari itu. Dan barang siapa yang membawa kejahatan, maka disungkurkanlah muka mereka ke dalam neraka. Tiadalah kamu dibalasi, melainkan (setimpal) dengan apa yang dahulu kamu kerjakan."

Justeru, marilah sama-sama kita bertanya pada diri,

Apa khabar iman saya pada hari ini?

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: