Wednesday, December 30, 2009

Cinta~

Bicara soal cinta, pasti ramai yang akan berfikir. Bicara soal cinta, tak kurang juga yang boleh terleka. Bicara soal cinta, biasanya ramai yang sanggup mendengar, sanggup berkongsi cerita. Tetapi, dalam dunia yang serba moden, yang semuanya sudah canggih-canggih belaka, yang sudah mampu untuk menghubungkan sesiapa saja baik secara nampak mahupun maya, tak mustahil ramai juga yang terlalu mudah hanyut dek cinta dunia, cinta manusia.

Saya secara jujurnya tidak pernah menolak akan rasa cinta. Kerana saya tahu, rasa cinta itu fitrah, anugerah Allah untuk semua hambaNya baik yang beriman kepadaNya mahupun yang terang-terangan menentang perintahNya. Lihat sahaja dunia sekarang, terlalu banyak rumah-rumah perlindungan yang dibina untuk wanita yang kononnya teraniaya, menanggung malu dek perbuatan yang bertunjangkan nafsu serakah semata-mata, mengandung dan akhirnya melahirkan anak tak berbapa, semuanya kerana cinta, cinta dunia yang buta!

Saya menulis kali ini bukan untuk menentang mereka yang bercinta. Bukan juga untuk memalukan siapa-siapa yang sedang bercinta. Bukan juga untuk menghalang mereka yang sudah punyai rasa cinta buat siapa-siapa yang mereka rasa layak untuk menerima cinta mereka. Cuma, apabila sudah terbit rasa cinta sesama hamba, dasarilah cinta itu dengan keimanan dan rasa cinta kepada Yang Esa agar cinta itu bukan sekadar cinta biasa, yang tidak membawa ke syurga sebaliknya saling membawa kedua-dua pihak ke lembah neraka.

Realiti hari ini

Cinta yang bukan didasari dengan iman dan taqwa lazimnya akan tercemar dengan maksiat lantaran terlalu menurut hawa nafsu dan kehendak jiwa. Biar hanya sekadar bicara yang tidak bertentang mata seperti SMS, kemudahan instant messaging seperti Yahoo Messenger, Gtalk, Skype dan sebagainya, semua itu tetap bicara yang mencemarkan cinta andai bicara-bicara itu bukan yang aula, bukan yang dibenarkan syarak, dan paling penting masih lagi dalam keadaan dua insan yang bercinta tadi belum lagi diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah.

Melihat realiti hari ini, keluar berdua-duaan antara dua insan yang bukan mahram bukan lagi sesuatu yang asing di pandangan mata. Lebih menyedihkan, kedua orang tua kedua-dua pihak lazimnya seolah-olah merestui tindakan teruna dan dara tersebut malahan menggalakkan mereka keluar berdua dengan alasan untuk berkenalan dengan lebih rapat. Maka adalah tidak mengejutkan jika hari ini kita mendengar dan membaca terlalu banyak statistik bilangan anak yang dilahirkan luar nikah. Semuanya bermula dari perbuatan ini, yakni keluar berdua-duaan kerana apabila dua insan yang bukan mahram berdua-duaan, pasti wujud yang ketiga iaitu syaitan.

Bagi mereka yang keluar berdua-duaan tanpa pengetahuan kedua orang tua pula, lazimnya andai sesuatu yang di luar jangkaan terjadi, pasti mereka secara tidak langsung telah melukakan hati kedua orang tua mereka. Terdapat juga sesetengah kes di mana apabila kemalangan berlaku, adalah sesuatu yang amat memilukan andai anak yang telah dididik dengan hukum agama tentang konsep bermuamalat dalam Islam terkorban di samping insan yang belum sah menjadi mahramnya. Dan lebih menyayat hati, andai insan yang terkorban tersebut seorang yang berfikrah, mempunyai kefahaman Islam yang mendalam tentang hukum sebegini tetapi akhirnya pergi dalam keadaan yang secara luarannya boleh mendatangkan fitnah ke atas diri mereka setelah mereka pergi.

Isu cinta bukannya isu yang akan dipandang sepi. Bukan mudah untuk mengelakkan atau mengeluarkan diri dari perangkap cinta andai sudah terjerat sekali. Namun, untuk keluar dari cinta yang bukan didasari atas jalan yang benar, mujahadah adalah perkara yang sememangnya wajar dilakukan demi mengelakkan murka Allah di samping untuk memastikan cinta yang terjalin sesama manusia adalah di bawah redha Illahi. Mujahadah itu mungkin sukar, tetapi andai hati sudah menetapkan untuk meletakkan Allah sebagai puncak cinta yang tertinggi, insyaAllah Allah takkan pernah menghampakan hambaNya yang bergantung harap sepenuhnya kepadaNya.

Bagi yang sudah berjaya mengeluarkan diri dari perangkap cinta dunia yang tidak hakiki, usah dan jangan pernah memandang ke belakang dan membuka walau sedikit pintu untuk kembali ke arah perkara itu lagi. Tutuplah serapat-rapatnya pintu yang boleh mengundang ke arah cinta dunia yang palsu dan boleh menjerat diri ke neraka yang seksanya secara terang-terangan telah diceritakan oleh Allah di dalam kalamNya. Kerana andai cinta itu tidak meletakkan Allah sebagai dasar dan matlamat utama, percayalah, amat sukar untuk mencari penghujung destinasi cinta yang bahagia, yang membawa ke syurga, sebaliknya akan mendatangkan perbalahan semasa di hari pembalasan nanti sebagaimana firmanNya, 

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)”
(Al Zukhruf:67)

Muhasabah

Buat para pembaca yang sedang bercinta tetapi belum lagi diikatkan dengan lafaz yang sah, buat mereka yang baru sahaja mahu berjinak-jinak dengan rasa yang dikatakan sebagai cinta, buat insan-insan yang sudah lama bercinta tetapi masih belum lagi berjumpa detik dan masa yang sesuai untuk diijabkabulkan, fikirkanlah dan lakukanlah anjakan paradigma dalam hubungan cinta kalian agar cinta kalian akan bertemu dengan satu titik pertemuan yang indah, yang diredhai Tuhan dan akan berakhir dengan rahmat Tuhan yang terindah yakni syurga yang hakiki.Semua orang pastinya berharap untuk terus bersama dan bercinta dengan insan yang mendapat tempat yang paling agung di hati mereka bukan hanya di dunia, tetapi juga berkekalan hingga ke syurga.

Buat mereka yang masih lagi mencari-cari akan cinta mereka, fikirkanlah. Andai kalian sudah benar-benar bersedia dan segala tanggungjawab kepada keluarga telah terlaksana, cepatkanlah dan jangan lengah-lengahkan tetapi buat mereka yang masih lagi punyai cita-cita dan perancangan masa depan yang belum lagi kesampaian, jangan terlalu gopoh dan hanya mahu cepat. Biarlah semuanya berjalan dengan lancar, penuh dengan hikmah, bebas dari segala maksiat yang mungkin boleh menggugat keharmonian rumah tangga di masa depan serta berlaku seiring dengan hukum-hukum syarak yang telah ditetapkan. Percayalah, kebahagiaan yang dicari akan kunjung tiba, asalkan kita sebagai hamba tidak pernah putus harapan ada Yang Esa. Semua yang berlaku, pasti akan berakhir sebagaimana ianya bermula, dan sesungguhnya Allah tidak pernah menetapkan dan menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Monday, December 28, 2009

Perjalanan Yang Bermakna~

Alhamdulillah... Bersyukur saya ke hadrat Illahi, kerana saya akhirnya selamat dalam perjalanan pergi dan balik ke kampung di sebelah pihak bonda. Ternyata, tidak sia-sia perjalanan yang mengambil masa paling kurang tiga jam sehala itu.

Biar hanya sempat berada di sana selama dua malam, namun saya bersyukur kerana banyak perkara yang saya pelajari sepanjang berada di sana. Benarlah kata pepatah, kita bukan hanya dapat belajar melalui proses pembelajaran secara formal, tetapi juga melalui apa yang kita lihat, dengar dan rasa. Subhanallah, betapa Allah telah banyak mempermudahkan kita agar kita dapat melihat, mentafsir dan meneliti dengan mata hati dan iman segala kejadian yang berlaku di sekeliling kita.

Sebentar tadi, saya sempat singgah di beberapa blog yang agak menarik, sarat dengan pengisian yang agak bermanfaat pada pendapat saya. Dan salah satu isu yang agak menarik perhatian saya ialah pengisian masa muda anak-anak remaja masa kini. Dan saya, yang jika dikira melalui faktor usianya juga merupakan golongan remaja ataupun anak-anak muda, cukup terkesan dengan entry tersebut.

Realiti Remaja Sekarang

Saya teringat akan anak-anak muda, yang mungkin seusia dengan saya, atau mungkin muda atau tua dalam lingkungan tiga hingga empat tahun sahaja daripada usia saya di kampung. Kebanyakan dari mereka hanya tahu untuk berhibur, menghabiskan masa dengan aktiviti yang pada saya sungguh sia-sia. Saya percaya, kebanyakan dari mereka adalah golongan yang tercicir atau mungkin tidak mempunyai sebarang peluang untuk melanjutkan pelajaran, atau mungkin juga sudah tidak punyai minat untuk terus meraih ilmu pengetahuan yang berasaskan teori dan hafalan semata-mata. Namun, apa yang menyedihkan saya, mereka langsung tidak punyai kesedaran untuk terus menajamkan kemahiran yang ada pada diri mereka jika memang bukan bidang yang bersandarkan akademik dan teori yang menjadi pilihan.

Saya teringat akan petikan tulisan seorang sahabat di blog beliau,

"Jika mahu melihat keadaan negara dan pemimpin kita di masa hadapan, lihatlah kepada golongan remaja dan anak-anak muda hari ini."

Saya akui, melihat senario anak-anak muda hari ini, saya cukup takut, cukup bimbang memikirkan bagaimana hala tuju negara kita paling kurang 20 tahun akan datang. Saya ambil contoh terdekat, anak-anak muda yang sebutkan tadi. Mereka melepak di tepi jalan sambil merokok, melalak yang tidak tentu hala tatkala azan Maghrib sedang bergema dari masjid yang berdekatan, berasa megah dengan motosikal yang saya percaya bukan dibeli dari hasil titik peluh mereka.  Andai begini generasi kita hari ini, logikkah 20 tahun akan datang, golongan seperti ini mampu untuk menerajui negara kita jika bukan lebih baik tetapi cukuplah sekadar setanding dengan keadaan negara kita pada hari ini?

Saya tidak impikan negara yang hanya maju pada nilaian material, bangunan dan mata wang sahaja, tetapi saya juga impikan negara yang aman damai di samping dapat mengamalkan syariat Islam secara total. Saya percaya, gejala anak-anak muda memandang sepi suara gema azan yang memanggil untuk mereka pergi dan mengabdikan diri kepada Pencipta bukan hanya berlaku di kalangan anak-anak muda di tempat saya, tetapi juga di tempat lain. Bagi saya, andai di tahap usia begini mereka masih lagi lemah dalam memperkuatkan diri untuk melakukan perkara asas tiang agama, usah sahaja kita cari itu salah siapa, tapi yang penting, kita perlu mencari ikhtiar untuk mencari bagaimana cara untuk mengubahnya.

Bukan Semua

Saya tidak menafikan, wujud juga golongan anak-anak muda yang sibuk dan dengan penuh rela mengabdikan diri mereka dengan segala aktiviti yang bermanfaat semata-mata untuk mencari redha Allah, untuk menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah ini. Mereka berhalaqah, berusrah, dan melakukan segala macam program tarbiyah untuk memantapkan diri masing-masing. Biarpun secara jujurnya, jumlah mereka tersangatlah sedikit, namun saya percaya yang penting adalah kualiti bukan kuantiti. Tambahan pula, Allah telah berfirman dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud, 

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."

Maka, biarpun jumlah mereka jika hendak dibandingkan mereka yang sedang hanyut di luar sana sangat sedikit, saya yakin dan percaya, bantuan dari Allah itu sentiasa ada. Semangat yang mengalir dalam diri mereka InsyaAllah takkan mudah padam.  


Muhasabah

Saya akui, saya hanyalah orang baru yang masih lagi berusaha untuk meningkatkan ilmu dalam diri agar dapat terus tsabat di jalan ini. Namun, saya percaya, anak-anak muda yang seangkatan dengan saya, andai betul cara approachnya, tidak mustahil mereka boleh menjadi seorang mujahid dan mujahidah yang turut membantu menegakkan syiar Allah di muka bumi ini. Apa yang penting, golongan seperti ini sebenarnya perlu didekati bukan dijauhi. Mungkin sahaja mereka perlukan perhatian, bimbingan dan tunjuk ajar yang berhemah dari insan-insan yang berkemampuan dan berkebolehan dalam mendidik mereka untuk terus memahami dan mengerti akan tujuan sebenar mereka dihidupkan di atas bumi ini.


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~