Sunday, October 10, 2010

Sharing: Hakikat dan Harapan~

Bismillahhirrahmannirrahim...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tanpa disedari, latihan industri yang sedang saya lalui ketika ini tinggal lagi 14 minggu. Dan ternyata, tempoh 18 minggu menjalani latihan ini telah banyak mengajar saya sesuatu yang sukar ditemui di alam kampus. Mengajar saya akan erti syukur, kerana bisa menikmati saat bersama keluarga. Mengajar saya memaknakan hidup, agar sentiasa mencari ruang di celah perjalanan masa, bahawa kita hidup perlu ada tujuan di sana. Mengajar saya untuk belajar, bahawa yang sedang dilalui pada saat ini adalah satu proses pelajaran, untuk membuka mata dan hati, agar iman itu terjaga, sebagai panduan perjalanan hidup di hari muka.

Kita dan Mereka

Petang tadi, saya diberikan lagi kesempatan untuk bertemu dengan adik-adik di SMKA Matang. Perjalanan ke sekolah tersebut mengambil masa lebih kurang 30 minit dari rumah. Biasanya, kami anak-anak umi akan bergerak menggunakan satu kereta secara bergilir-gilir. Namun, disebabkan sesuatu di luar kebiasaan terjadi, maka hanya saya seorang menaiki kereta Kak Siti (bukan nama sebenar), sementara Kak Ana (bukan nama sebenar) pula menaiki keretanya sendiri.

"Semalam usrah tentang ape ye?" soal saya kepada Kak Siti, memandangkan saya tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan di UNIMAS.

"Umi bercakap tentang akidah. Umi share tentang satu e-mail yang dia dapat. Tentang seorang Cina, yang hanya tahu tentang Islam, setelah melanjutkan pelajaran ke USA," jawab Kak Siti sambil matanya fokus ke arah jalan raya.

"Oh, saya tahu. Pernah dapat e-mail tu daripada sahabat di Perak. Itulah, kadang-kadang takut jugak nak hidup. Terlalu besar rupanya tanggungjawab kita yang membawa nama Islam..." ujar saya dengan nada semakin perlahan.

"Itulah. Akak yang mengajar di sekolah yang majoriti Cina ni lagilah rasa bersalah. Tak tahu method apa yang hendak digunakan..."

"Bagi saya, secara amnya, mereka ini hampir kesemuanya mengamalkan cara hidup sepertimana yang dianjurkan dalam Islam. Bangun awal pagi, bersenam, bersungguh-sungguh, minat kepada perniagaan... Cuma, dari segi akidah yang perlu diperbetulkan..."

"Haah... Betul tu... Dalam mengajar, akak selit-selitlah jugak perkara yang mungkin nampak general, tetapi sebenarnya mendedahkan mereka kepada Islam..."

"Saya pulak try masukkan quotes yang mungkin nampak general di penghujung setiap e-mail yang saya hantar, tetapi sebenanrnya mengajak mereka berfikir tentang diri dan Pencipta... Learn to pray not because you need a thing, but because you've ought to thank Him about something..."

Satu Hati

"Kak Aqmar (bukan nama sebenar) bakal berkahwin hujung tahun ni. Dia jemput kita semua datang..." Kak Siti menyambung perbualan dengan membuka topik yang lain.

"Oh ye? Orang mana?" soal saya dengan nada yang agak excited.

"Orang Terengganu jugak. Khabarnya, orang akademik jugaklah..."

"Oh... Ikhwah ke?"

"Hurm... Tak pasti sangatlah. Tapi ikhwah rasanya..."

"Sukurlah kalau dengan ikhwah... Pernah baca satu blog, kadang-kadang, pembinaan Baitul Muslim boleh menyebabkan ikhwah akhawat sama-sama futur..." ujar saya perlahan, cuba mengingati bait-bait kata dalam sebuah blog yang pernah saya baca.

"Betul tu.. Kalau yang berkahwin sesama ikhwah akhawat boleh futur, apatah lagi kalau berkahwin dengan bukan daripada kalangan mereka. Memang ada jugak yang boleh menarik pasangan ke dalam medan juang, tetapi tak dinafikan juga, tidak sedikit yang boleh futur setelah melengkapkan sunnah Rasulullah tersebut..."

"Ikhwah pun bukan sedikit yang melihat kepada paras rupa. Kalau tidak, masakan ada di kalangan akhawat yang kita lihat sungguh rancak gerak dakwahnya, tetapi tetap tidak kahwin sampai sekarang. Memanglah perkara tu bergantung kepada jodoh juga, tetapi saya percaya kebanyakan di kalangan mereka terlalu mengambil kira kepada faktor paras rupa dalam memilih pasangan hidup..."

"Memang hakikat tersebut tak boleh dinafikan. Lagi-lagi dalam usia sekarang, masih agak mentah untuk menilai... Takkanlah nak suruh mereka yang dah kahwin kan..."

"Betul tu. Memanglah poligami dibolehkan, tapi bagi saya, kena ambil kira jugak faktor hati dan perasaan isteri ikhwah tersebut. Sebab itulah, ada je akhawat yang tak pilih ikhwah sebagai suami. Syukurlah kalau mereka dapat tarik pasangan untuk turut serta, tapi kalau sebaliknya..."

"Kadang-kadang kagum dengan umi... Seorang doktor, tapi lebihkan dakwah dalam urusan hidup dia. Padahal, mampu je nak kumpul kekayaan dengan title doktor tu. Sangat besederhana... Sangat mantap gerak kerja dakwah..."

"Itulah... ditambah lagi dengan suami macam ustaz tu. Macam tak hirau dunia..."

"Mesti mata mereka dah buta dengan segala benda yang ada kat dunia ni. Hati dan mata mereka hanya melihat kepada akhirat... Saya ni, secara jujurnya, masih jauh nak sampai ke tahap tu.."

"Akak pun sama... Lagi-lagilah baru kerja ni. Baru nampak duit sendiri..."

"Harap-haraplah kita sama-sama mampu untuk jadi macam umi. Bukan mudah, untuk melihat dunia dari kaca mata akhirat. Hanya mereka yang terpilih saja mampu..."

"Hurm... Sama-samalah kita berdoa yang terbaik untuk kita," ujar Kak Siti sebaik sahaja kereta yang kami naiki tiba di pintu masuk utama SMKA Matang.

Penutup

Pertemuan dengan adik-adik pada petang itu mengingatkan saya kembali akan saat-saat berdebar untuk menduduki Ujian Percubaan SPM kira-kira empat tahun yang lalu. Hampir 90 minit kami berkongsi rasa dan idea tentang perlunya menuntut ilmu, di samping melakukan beberapa aktiviti yang agak signifikan dengan topik tersebut. Pastinya, saya turut berkongsi dengan mereka akan realiti sebenar alam kampus, yang pastinya memberikan kejutan buat mereka. Semoga kami semua diberikan petunjuk dan hidayah yang berpanjangan dari Allah, dan semoga saya terus diberikan kekuatan untuk terus bersama-sama mereka. Adik-adikku, selamat menduduki peperiksaan. Maat taufiq wan najah fil imtihan...~ =)


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: