Saturday, September 18, 2010

Bingkisan Syawal~

Bismillahhirrahmannirrahim...

Syukur ke hadrat Illahi kerana akhirnya diri ini punya kesempatan untuk menukilkan sesuatu buat pertama kalinya di bulan Syawal tahun ini. Ternyata pemergian Ramadhan sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang agak mendalam buat diri dan semoga berpeluang untuk bertemu lagi dengan bulan penuh barakah itu.

Menjadi kebiasaan, Syawal adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam, baik yang tua mahupun muda. Keghairahan menyambut Syawal lazimnya turut dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran yang lain seperti media massa, media cetak, jualan murah dan pelbagai lagi promosi sehingga kebanyakan umat hari ini lupa untuk mengejar sesuatu yang lebih berharga yakni Lailatul Qadr. Namun, tidak dinafikan masih terdapat lagi golongan yang masih mengharapkan agar diri mereka ditemukan Allah dengan malam penuh rahmat itu.

Pertemuan

Secara lazimnya, selain dapat bertemu dengan saudara mara, ramai di kalangan kita turut mengambil kesempatan Syawal ini untuk bertemu dengan rakan-rakan lama. Di samping bertanya khabar, kebanyakan di kalangan kita mengambil peluang untuk bermaaf-maafan atas segala kesilapan yang pernah dilakukan. Tradisi berkonvoi ke rumah para guru juga merupakan antara aktiviti yang lazim dilakukan oleh remaja dan belia pada hari ini.

Hakikatnya, ini adalah satu perkara yang baik kerana di samping dapat mengeratkan hubungan, ini juga merupakan simbolik kepada penghormatan kita selaku insan yang pernah bergelar pelajar kepada para guru yang pernah mendidik kita pada suatu ketika. Namun, adalah sesuatu yang lebih bermakna seandainya kita selaku bekas pelajar yang pastinya pernah dididik dengan ilmu agama masih lagi mengekalkan identiti dan nilai-nilai murni sebagai seorang umat Islam tidak kira di mana jua kita berada.

Suatu Realiti

Terlalu sukar rasanya untuk menerima realiti hari ini di mana perkara zina atau kata lainnya mengadakan hubungan seks di luar perkahwinan seolah-olah menjadi satu adat dan tradisi di kalangan para remaja hari ini. Kebanyakan berita di kebanyakan akhbar-akhbar tempatan hari ini menghidangkan kisah yang pastinya mampu merenggut hati dan jiwa para ibu bapa. Dan saya yakin, mereka yang bergelar guru tidak terlepas dari rasa resah dan turut berdoa agar anak-anak didik mereka terkecuali dari gejala yang tidak sihat ini.

Selain didikan ataupun tunjuk ajar yang berterusan daripada ibu bapa, saya percaya hubungan yang erat dengan Pencipta merupakan antara formula terbaik dalam usaha mencegah penyakit yang kian membarah dalam masyarakat kita pada hari ini. Sebagaimana yang dijanjikan-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 21, ketaqwaan itu akan lahir melalui penyembahan ataupun pengabdian diri kita kepada Allah swt. Ketaqwaan inilah yang akan menjadi benteng kepada kita untuk sentiasa mengelakkan dan menjauhkan diri dari melakukan segala larangan-Nya dan melakukan setiap suruhan-Nya.

"Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa."

Andai sahaja solat 5 waktu sehari semalam pun bisa diabaikan tanpa secebis rasa bersalah, apatah lagi dosa yang lebih besar daripada itu kerana solat itu tiang agama. Apabila disebut sebagai tiang agama, semua orang pasti sedia maklum tiang itulah asas yang penting dalam pembinaan sesebuah rumah kerana andai saja rumah itu tiada tiang, usah diimpikan rumah itu mampu untuk menjadi tempat teduhan yang sempurna. Begitu jugalah kita sebagai seorang umat Islam, andai sahaja solat 5 waktu itu dipandang enteng dan diringankan dengan penuh bersahaja, adakah masih ada benteng yang lebih kukuh daripada itu untuk memelihara diri kita?

Yusulf Al-Qaradawi dalam bukunya Islam An Introduction ada memetik kata-kata daripada kitab Tafsir al-Manar yang berbunyi "Obedience to God and His messengers are necessary in order to achieve happiness in this world." Dan saya percaya, seawal di zaman kanak-kanak lagi kita telah diasuh dan diajar dengan rukun Iman dan rukun Islam, dan kewajipan solat itu terletak pada rukun Islam yang kedua. Di manakah nilai Islam dalam diri kita seandainya solat 5 waktu itu diringankan dengan sewenang-wenangnya?

Tinggal Kenangan

Suatu ketika dulu, kerana adanya peraturan sekolah, hampir kesemua di kalangan kita begitu rajin menunaikan segala kewajipan kita selaku khalifah di bumi Allah ini. Suatu ketika dahulu, di kala sore, kita serikan petang kita dengan bacaan Al-Quran. Suatu ketika dulu, kerana adanya mata pelajaran Pendidikan Islam, di samping dengan adanya pemantauan oleh mereka yang bergelar ustaz dan ustazah, kita berusaha menjaga aurat kita. Dan kini, kita telah dewasa, masing-masing berjalan sendiri di atas bumi ini berbekalkan segala ilmu dan iman di dada masing-masing.

Penutup

Hidayah itu milik yang mencari. Percayalah, Allah takkan menghampakan hamba-Nya yang senantiasa berusaha untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik. Sebagai insan yang masih bergelar pelajar, pastinya kita sentiasa berusaha untuk mengejar Dean's List dalam peperiksaan setiap semester. Namun, jangan kita lupa, mengejar Deen's List juga adalah satu tanggungjawab kita yang berterusan sampai bila-bila, kerana kita adalah umatNya yang telah bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Semoga Ramadhan yang telah berlalu menjadi satu madrasah terbaik untuk kita mencari identiti diri yang mungkin telah hilang pada hari-hari sebelumnya. Semoga tarbiyah Ramadhan yang telah kita terima menjadi satu benteng yang kukuh agar kita senantiasa berusaha menjadi hamba Rabbani. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin...




~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: