Alhamdulillah... Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Illahi kerana memberikan saya kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadhan sekali lagi... Saya teringat akan satu sabda baginda Rasulullah saw yang pernah saya dengar melalui siaran ikim.fm ketika dalam perjalanan pulang dari terminal,
"Seandainya saja umatku mengetahui keistimewaan Ramadhan, sudah pasti mereka mengharapkan sepanjang tahun mereka adalah bulan Ramadhan..."
Daripada sabda itu, sudah pasti terlalu banyak keistimewaan Ramadhan sehingga Rasulullah saw turut menyatakan demikian. Dan sudah pasti, seharusnya kita sebagai insan yang mengaku umat baginda perlu berusaha merebut segala peluang dan anugerah yang telah Allah sediakan buat hamba-Nya sepanjang bulan Ramadhan ini.
Mencari Ibrah
Ramadhan ini hakikatnya mempunyai fasa tersendiri. Bermula dengan sepuluh hari yang pertama, yakni fasa RAHMAT, diikuti sepuluh hari yang kedua, kita diberikan satu fasa yang dinamakan PENGAMPUNAN dan sepuluh hari yang terakhir dinamakan fasa PELEPASAN DOSA. Subhanallah... Sungguh pemurah Pencipta kita, tatkala kita yang mengaku hamba-Nya terkadang terlepas pandang akan segala kewajipan yang telah diperintahkan, Dia masih lagi mahu menyediakan kepada kita satu jalan pulang. Jalan pulang untuk menuju kepada-Nya dalam keadaan sebersih-bersih insan, bersih dari segala detik-detik kelam yang menggelapkan hati dan jiwa, yakni dosa.
Pernah suatu ketika, usai pulang dari halaqah bersama seorang sahabat dari Universiti Tun Abdul Razak cawangan Kuching, saya hampir menghamburkan segala kata-kata yang tidak sepatutnya tatkala tempat letak kereta saya diambil oleh pemandu lain secara tiba-tiba. Masakan tidak, hampir 15 minit saya menunggu untuk mendapatkan tempat letak kereta tersebut, dan saya juga telah memberikan signal untuk masuk ke dalam tempat tersebut, seorang pemandu lain yang baru datang terus memotong dan memakirkan kenderaannya di tempat tersebut. Mujur Kak Farhana yang berada di sebelah menyedari perubahan pada air muka saya menawarkan bantuan untuk pergi membelikan barang yang saya hajati, sementara saya menunggu di dalam kereta. Sementara menunggu beliau, saya masih lagi berada di kawasan tersebut untuk mencari tempat letak kereta yang lain di kawasan berdekatan. Dan setelah lima-enam pusingan, akhirnya ada sebuah kereta yang hendak keluar, dan tatkala saya hendak membelok masuk, Kak Farhana telah selesai membelikan barang tersebut. Subhanallah... Di sebalik peristiwa tersebut, rupa-rupanya Allah memberikan peluang untuk kita melakukan secebis kebaikan biarpun hanya dengan memberikan tempat memakirkan kereta untuk orang lain.
Rentetan peristiwa tersebut, saya semakin percaya, Allah mentarbiyah kita dengan pelbagai cara dan melalui pelbagai peristiwa. Andai sahaja saya mengambil keputusan keluar dari kereta dan memarahi pemandu yang mengambil tempat parkir itu, masih terjagakan puasa saya ketika itu? Ataukah, saya mungkin hanya memperoleh sekadar lapar dan dahaga? Sungguh, sangat benarlah bicara-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 142 yang bermaksud,
"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar."
Sesungguhnya, PERCAYA dan YAKIN itu memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha kita mahu mendasari segala perkara yang kita lakukan dengan Dia yang kita imani. Pernah sekali, saya terperangkap dalam kesesakan yang agak teruk, dan saya seperti hampir putus asa untuk sampai ke terminal sebelum jam 830 pagi. Meskipun begitu, kalimah rabbi yassir wala tua'ssir tidak putus-putus dari bibir saya sepanjang perjalanan. Dan kerana kepercayaan itu, saya akhirnya sampai ke terminal, tepat-tepat pada jam 830 pagi. Ternyata seawal pagi itu, saya telah mendapat satu lagi tarbiyah yang membuatkan saya terfikir, betapa besarnya kuasa PERCAYA dan YAKIN dengan Allah swt. Mungkin selama ini kebanyakan kita cukup terbiasa dengan kata-kata tentang perlunya meletakkan kepercayaan itu, tetapi hakikatnya menyamatkan kepercayaan itu ke dalam hati kita pada setiap waktu dan ketika memerlukan satu usaha yang bukan sedikit. Benarlah, Allah jualah sebaik-baik penolong...
"Demikianlah, dan barang siapa membalas seimbang dengan penganiayaan yang pernah ia derita kemudian ia dianiaya lagi, pasti Allah akan menolongnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun."
[22:60]
Keperluan dan Tujuan
Di kala Ramadhan ini, pasti sahaja kebanyakan kita sedaya upaya berusaha untuk melakukan pelbagai amal kebajikan memandangkan kaifiat Ramadhan yang terlalu besar dan amatlah rugi seandainya Ramadhan itu dibiarkan berlalu begitu sahaja. Dan pastinya lebih indah seandainya segala yang dilakukan itu dapat dikekalkan sehingga bila-bila waima Ramadhan itu telah berakhir kerana kita ini adalah hamba Rabbani, bukan hamba Ramadhani.. Saya agak tertarik dengan perkongsian di Halaqah Sentuhan Qalbu semalam, yang membawakan tajuk 5 Minit Aje. Biarpun tajuknya seolah-olah agak ringan, ternyata kata-kata daripada salah seorang ahli panel rancangan tersebut cukup membuatkan hati saya sangat terkesan.
Kebanyakan kita sentiasa berusaha sehabis mungkin demi untuk melengkapkan segala keperluan, baik yang bersifat peribadi mahupun untuk kepentingan ramai. Saya juga yakin, hampir semua ibu bapa yang bekerja dengan tujuan untuk memenuhi segala keperluan keluarga, lagi-lagi anak mereka. Namun, berapa ramai di kalangan kita yang berusaha untuk memenuhi keperluan kita seiring dengan usaha untuk mencapai tujuan hidup yang utama? Ya, saya sendiri mengakui adakalanya saya terlalu fokus untuk mengejar keperluan untuk hidup sehingga saya terlepas pandang akan tujuan hidup yang sebenar.
Kita selaku insan, lagi-lagi yang sudah bekeluarga seharusnya berusaha untuk menyedarkan anak-anak kita tentang di samping perlunya kita berusaha untuk mencapai kecemerlangan hidup, tujuan utama kita hidup ini haruslah dinyatakan dan dijelaskan kepada mereka. Peruntukkanlah, setidak-tidaknya hanya 5 minit untuk menyuntik satu rasa ke dalam hati-hati yang masih suci ini tentang tujuan utama penciptaan kita di dunia ini sebagaimana yang telah difirmankan Allah dalam Surah Az-Zariyat ayat 56,
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku."
Bagi yang masih belum berkeluarga, berusaha menyelitkan sesuatu yang mungkin boleh menyatakan secara tidak langsung akan kepentingan tujuan di samping keperluan ini dalam perbualan seharian kita adalah salah satu cara untuk membuatkan detik perbualan 5 minit itu menjadi sesuatu yang berharga. Mungkin, sesetengah mereka tidak mengambil sebarang iktibar, atau mungkin juga kita akan ditentang, tetapi kebarangkalian untuk mereka untuk berfikir tentang tujuan itu tetap ada. Kerana Allah ada menyatakan juga dalam Surah Az-Zariyat ayat 55,
"Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman."
Penutup
Ramadhan kita hari ini cukup mudah. Bagi yang bekerja, adanya bazar Ramadhan memberi satu kemudahan untuk membeli juadah bagi keperluan berbuka puasa. Bagi yang mencari sumber pengisian rohani yang bermanfaat untuk pembangunan jiwa, saluran radio ikim.fm menyediakan pelbagai juadah yang menjadi halwa telinga hampir setiap masa.
Suatu ketika, demi memastikan syiar Islam terus tertegak, mereka tetap berjuang meskipun sedang melaksanakan rukun Islam yang ketiga. Seawal 2 Hijrah, umat Islam telah berjaya mencerminkan kekuatan umat Islam melalui Perang Badar pada 17 Ramadhan. Tentera pimpinan Salahuddin Al-Ayubi berjaya mengusir tentera Salibiyyah dari Baitul Maqdis menerusi Perang Salib pada tahun 648 Hijrah. Tentera Islam pimpinan Sultan Saifuddin Al-Qutuz dari Mesir memenagi Perang Ain Jalut pada tahun 658 Hijrah dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen biarpun pelbagai khazanah ilmu dari Baitul Hikmah telah dibuang ke dalam Sungai Furat sehingga airnya bertukar menjadi warna hitam. Tentera Uthmaniah pimpinan Ahmad Mukhtar Basya berjaya mengalahkan tentera Rusia biarpun dengan kekuatan 34 000 tenaga berbanding dengan tenaga pihak lawan sebanyak 740,000 dalam Perang Yakhliz pada tahun 1294 Hijrah.
Mereka di suatu ketika begitu dahagakan air-air syurga sehingga berjaya membawa naik nama Islam dan terus menjadi sebutan pada hari ini biarpun ketika itu sedang melaksanakan ibadah puasa di kala Ramadhan. Di mata mereka sudah tergambar keindahan syurga sehingga mereka buta akan kenikmatan hidup dan habuan dunia. Mereka menjadikan puasa itu sebagai satu kekuatan, bukan punca kelemahan. Dan kita, di mana kita pada hari ini? Mampukah kita mencipta dan mewarnai satu corak sejarah demi mengukir satu sinar gemilang Islam untuk tatapan generasi kemudian?
Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.
[33:35]
~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~
No comments:
Post a Comment