Thursday, February 11, 2010

Perjalanan Bermula~

"Assalamua'laikum wbt sis. Saya penat ;("

Begitulah kiriman SMS yang saya hantar kepada naqibah usrah yang sedang menjalani latihan industri di Johor Bahru baru-baru ini. Dan seperti dijangka, kata-kata beliau tidak pernah mengecewakan, dan semestinya kata-kata itu datang melalui ilham yang dititipkan oleh Allah buatnya. Tanpa perlu menunggu masa yang lama, SMS saya sudah mendapat balasan.

"Hidup seorang daie tak kenal erti penat sebab kerja dan tanggungjawab itu sangat penat berbanding masa yang ada. Dan rehat yang sebenar adalah waktu semasa kita bertemu dengan Pencipta: solat dan maut. Sister dah masuk next stage of dakwah, di mana setiap langkah dan nafas seorang daie hanya untuk menegakkan kalimah Allah. Are you ready for this?"

Dan kiriman SMS itu membuat saya terkesima. Saya tertunduk, terdiam sebentar memikirkan kembali kata-kata itu. Saya akui, melalui semester kelima di UTP kali ini, cabaran yang harus saya tempuh dan lalui cukup sukar. Saya perlukan ketabahan dan kekuatan hati. Bukan hanya cabaran yang dapat dilihat oleh mata kasar, tetapi cabaran untuk menguasai hati agar kemenangan berpihak kepada iman bukan senang untuk dilaksanakan. Adakalanya, saya hampir tertewas. Tak kurang juga, saya merintih, menangis keseorangan tatkala merasakan diri ini begitu lemah ketika iman berada di putaran paling bawah, dan kehidupan saya pada hari tersebut diulit dengan kelekaan dan kealpaan. Sungguh, untuk memastikan keimanan berada di puncak teratas dalam roda kehidupan bukan sesuatu yang mudah, malah terlalu sukar~!


[credit to iluvislam.com]

Perjalanan Bermula

Selain berhadapan dengan tuntutan akademik yang semakin sukar seiring dengan bertambahnya bilangan semester di UTP ini, masih terlalu banyak cabaran lain yang adakalanya membuatkan diri ini hampir lemas, hampir tersungkur di persimpangan jalan. Tetapi, saya percaya memang tiada jalan mudah dalam melalui hari-hari yang semakin mencabar, lagi-lagi dalam kondisi dunia yang semakin terdedah kepada ancaman musuh-musuh Islam. Dan kita, sebagai manusia yang telah diberikan keupayaan oleh Allah swt untuk mengetahui dan dikurniakan sedikit kefahaman tentang agama seharusnya yakin dan percaya bahawa untuk pergi ke syurga Allah itu bukannya mudah, tetapi cukup payah~! Namun, kita harus yakin, bahawa janji Allah itu sungguh benar.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur'an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar."
[9:111]

Saya masih teringat betapa terharunya saya apabila dalam kepenatan dan keletihan mengharungi hari-hari yang saya rasakan semakin sukar, Allah tidak pernah jemu menunjukkan kasih sayang-Nya melalui hamba-hamba-Nya yang lain. Betapa kecewanya saya, tatkala saya tidak berupaya menghabiskan tugasan untuk subjek Transport Phenomena dalam tempoh masa yang diberi, dan pada masa yang sama saya perlu menunaikan tanggungjawab saya yang lain. Dan semasa menunaikan tanggungjawab lain tersebut, saya hampir menangis apabila salah seorang sahabat dengan tanpa disangka-sangka telah menyebabkan saya merasakan betapa janji Allah itu sungguh benar, dan saya hampir menangis mengenangkan betapa selama ini saya terlalu berkira, cukup berkira dengan masa untuk bersama dengan Allah. Dan hanya kerana sedikit masa yang saya luangkan, Allah telah menganugerahi saya dengan nikmat yang sebegitu rupa. Sungguh, betapa pengasihnya Allah kepada hamba-Nya.

Saya agak tertarik dengan petikan dari sebuah buku karangan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Bertemu Janji Allah : Menyingkap Kisah Mahsyar yang Menyayat Hati yang berbunyi,

Bagi mereka yang tidak sanggup menempuh susah untuk beribadah ataupun beramal kebajikan walaupun sedikit, beerti tidak ada sebab untuk mengalir peluh. Oleh sebab mereka tidak melakukan sebarang usaha, pasti mereka hanya duduk rehat dan tidak berpeluh. Apabila tidak berpeluh di dunia atas urusan Allah, maka mereka akan berpeluh di akhirat atas urusan Allah jua. Orang-orang jahil mungkin tidak memikirkan apa keburukannya berpeluh di akhirat. Namun bagi orang-orang mukmin yang kamil, mereka memilih berpeluh di dunia bagi melaksanakan sebarang urusan Allah, kerana masanya tidak lama. Sebaliknya apabila mereka berpeluh di akhirat, kesengsaraannya tidak dibatasi oleh masa. Siapakah yang mampu karam di lautan peluh berjuta-juta tahun di akhirat, sedangkan karam sejenak di dunia pun boleh membawa ajal.

Muhasabah

Perjalanan dalam melalui hari-hari di dunia ini hakikatnya tidak akan sentiasa diselimuti dengan segala yang indah sahaja. Saya akui, adakalanya hati kita mendambakan istirehat yang cukup, hidup yang tidak susah dan sempit, masa yang cukup dan kondusif untuk melaksanakan segala kerja dan keperluan yang sentiasa ada tanpa perlu ada kesukaran untuk mendapatkan ataupun memilikinya.

Namun, dalam meniti hidup ini, kita harus berusaha sendiri untuk memujuk hati agar terus tsabat di atas jalan yang telah dipilih. Mungkin akan penuh dengan onak dan duri, dan sangat mustahil jalan ini dipenuhi dengan hamparan permaidani yang lembut serta sentiasa dihiasi dengan warna-warna yang indah.  Kita harus sentiasa menyematkan dalam hati kita, destinasi terakhir manakah yang dijadikan pilihan : SYURGA atau NERAKA?


[credit to iluvislam.com]

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang, resah silih berganti
Inilah sunnah..orang berjuang..

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat mencurah tenaga
Itulah sunnah..berjuang..ke jalan Allah..

Berjuang memang pahit..
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua jadi pilihan.
Dunia yang fana atau syurga..

[Petikan lirik Sunnah Orang Berjuang nyanyian Hijjaz] 


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

No comments: