Friday, January 8, 2010

Sharing : Seminar~

Alhamdulillah, praise to Allah, finally I can fully attend the two days seminar. The seminar was held at Islamic Information Centre, Sarawak from 6 until 7 January 2010. Here I shared some of the stories that I think quite beneficial for everyone to keep thinking and rethink again and again even some of the stories might sound funny. 

Bersama Tuan Haji Mustapha Kamal

Hadirin sekalian,

Saya nak tanya, antara lelaki dan perempuan, siapa yang lebih penyabar?

Peserta lelaki : Lelaki (bergema auditorium)
Peserta perempuan : Perempuan (kurang bergema dari lelaki)

Saya kata lelaki. Nak tahu kenapa?

Senang sahaja. Cuba kita tengok dalam satu situasi. Sepasang suami isteri ada anak yang masih kecil. Tengah-tengah malam, si kecil menangis. Siapa yang dulu bangun dari tidur sebab tak sabar mendengar rengekan si kecil?

Peserta : Isteri...

Tengok! Isteri yang dulu bangun sebab kurang sabar. Suami sabar... Cool saja teruskan tidur. Biarlah si isteri baling dia dengan bantal pun. Si suami akan penuh rela ambil bantal lalu tutup telinga. Bukankah itu menunjukkan suami lebih penyabar?

(Deep down inside me : Pergghh.. Itu bukan sabar, itu malas~!)


Bersama Dr Saadiah Ali

Telah datang seorang lelaki datang menemui Amirul Mukminin. Murid-murid, tahu siapa Amirul Mukminin? (ini saya tanya OK?)

Lelaki itu mengadu kepada Amirul Mukminin tentang anaknya yang derhaka kepadanya.

Maka Amirul Mukminin berjumpa dengan anaknya.

Amirul Mukminin : Ketahuilah, tanggungjawab seorang bapa kepada seorang anak ada tiga : memilih ibu yang solehah, mengajarkan Al-Quran kepada anaknya serta memanggil anaknya dengan panggilan yang baik.

Anak si lelaki : Ibuku seorang majusi, aku tidak diajarkan Al-Quran oleh bapaku, dan aku dipanggil dengan nama Ja'lun.


Amirul Mukminin : Patutlah anak kamu derhaka, kerana kamu telah derhaka dua puluh tahun lebih awal sebelum anakmu!

(Deep down inside : To have nice and good kids, be nice and good first~!)


Bersama Ustaz Jamaluddin Hashim

Kamu semua nak tahu satu fakta?

Peserta : Nak.... (penuh semangat)

Menurut kajian, lelaki menuturkan 8000 hingga 10,000 patah perkataan sehari. Perempuan pula... 20,000 hingga 22,000 sehari!

Sebab itu, kalau kamu teliti betul-betul, lelaki baru cakap 1 patah perkataan, perempuan sudah cakap 4 patah perkataan. Kalau si suami balik dari kerja, dengar si isteri berleter, dia akan senyap saja. Perempuan terus bercakap, bercakap dan bercakap. Sampai si suami hendak masuk tidur pun dia masih lagi bercakap. Suami sudah berdengkur pun, si isteri masih lagi membebel. Sebab APA?? Sebab si isteri nak cukupkan 22,000 patah perkataan sehari~!

(Deep down inside : Grrrrrrr)


Bersama Ustazah Hajah Rogayah

Kamu semua tahu, Imam Syafie sudah menghafaz Al-Quran ketika berusia 7 tahun. Dia sudah menghafaz Kitab Al Muwatta', kitab Fiqh karangan Imam Maliki pada usia 10 tahun. Tetapi, yang ajaibnya, Imam Syafie ini selalu tidur semasa pengajiannya. Lalu, ada yang bertanya kepada ibunya, bagaimanakah dan apakah makanan yang diberi kepada Imam Syafie.

Dan ibu kepada Imam Syafie menjawab, dia sudah mendidik Imam Syafie 20 tahun yang lalu... Maka, kita lihat di sini, ibu kepada Imam Syafie telah mendidik dirinya terlebih dahulu sebelum dia mampu untuk mendidik Imam Syafie sehingga Imam Syafie membesar menjadi seorang insan...

(Deep down inside : Nak mendapat hasil yang terbaik, baikkan diri sendiri terlebih dahulu~)


Bersama Ustazah Safura

Dunia single dan dunia semasa hidup berkahwin takkan sama. Saya ulang, MEMANG  TAKKAN SAMA. KONFLIK TETAP AKAN WUJUD. Oleh itu, saya cakap betul-betul. Kalau siapa-siapa yang masih lagi mahu bermalas-malasan, yang masih lagi mahu ikut kepala dia sahaja, yang masih lagi mahu bangun lewat-lewat di siang hari, JANGAN kahwin dulu. Kalau kamu kahwin, kamu hanya menganiaya pasangan kamu...

(Deep down inside : She's so right~! )


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Monday, January 4, 2010

Allah~

Memandangkan isu penggunaan Allah masih hangat dibincangkan, maka saya dengan ini ingin berkongsi akan satu artikel yang saya anggap sangat perlu untuk kita semua tahu dan fikirkan bersama. Daripada blog Saudara Faisal Tehrani. Entry beliau yang bertajuk Allah dan Allah Lagi. 





Adakah Allah dalam Bible?

Jawapannya tiada. TIADA.

Yang ada ialah kalimah Eli. Apa itu Eli?

Dalam Matthew 27:

"From the sixth hour until the ninth hour darkness came over all the land. About the ninth hour Jesus cried out in a loud voice, "Eloi, Eloi, lama sabachthani?"

"Eli, Eli, lama sabachthani?" dalam Bible King James -- "My God, my God, why have you forsaken me?" ( Matthew 27:45-46, NIV)

Eli, Eli, lama sabachthani adalah ungkapan dalam bahasa 'Aramaic'.

Dalam Old Testament, 'Eli, Eli lama sabachthani' dicatit sebagai:

"My God, my God, why have you forsaken me? Why are you so far from saving me, so far from the words of my groaning?" ( Psalms 22:1-2, NIV)

Tiada kalimah Allah di sini, dan dirujuk sebagai 'Bapa':

"And he went a little further, and fell on his face, and prayed, saying, O my Father, if it be possible, let this cup pass from me: nevertheless not as I will, but as thou [wilt]. " ( Matthew 26:39)

" For he hath made him [to be] sin for us, who knew no sin; that we might be made the righteousness of God in him." ( 2Corinthians 5:21)

Dalam Luke 23:46 tercatit:

"And when Jesus had cried out with a loud voice, He said , 'Father, into Your hands I commit My spirit.' Having said this He breathed His last."

Bayangkan kalau ayat di atas diterjemahkan (secara umumnya) sebagai:

"Dan kala Jesus merintih dengan suara yang kuat, dia berkata, 'Allah Bapa, pada tangan-Mu aku menyerahkan jiwaku (rohku). Selepas mengatakan sedemikian dia menghembuskan nafas terakhir."

Terdapat dakwaan bahawa masyarakat Kristian di negara Arab, dan Indonesia menggunakan kalimah Allah dalam, Bible mereka. Sekarang, biar saya jelaskan dengan cara paling mudah mengapa ini berlaku (tetapi tetap dalam ingatan saudara bahawa dalam Bible asal tiada kalimah Allah seperti yang telah saya buktikan di atas.)

Dalam novel saya 'Tuhan Manusia', yang memang dibenci dan tidak disukai oleh kumpulan liberalis saya menuliskan bahawa ketua Theosofische Vereeniging Hindia Belanda, D Van Hinloopen Labberton, pada majalah Teosofi bulan Desember 1912 menyatakan:

‘Kemajuan manusia itu dengan atau tidak dengan agama? Saya kira bila beragama tanpa alasan, dan bila beragama tidak dengan pengetahuan agama yang sejati, mustahil bisa maju batinnya. Tidak usah peduli agama apa yang dianutnya. Sebab yang disebut agama itu sifatnya: Cinta pada sesama, ringan memberi pertolongan, dan sopan budinya. Jadi yang disebut agama yang sejati itu bukannya perkara lahir, tetapi perkara dalam hati, batin. Sepintas, ajaran-ajaran itu tampak indah. Padahal, ajaran-ajaran itu sebenarnya racun halus yang secara perlahan merosakkan keimanan seorang Muslim. Seorang Muslim yang menganut paham semacam itu, akan tidak terlalu peduli dengan konsep-konsep teologi agamanya sendiri, demi tujuan 'persaudaraan' kemanusiaan.’

Tuan-tuan, Kristian ada dua mazhab. Iaitu mazhab Katolik dan Protestan. Katolik mempunyai banyak persamaan dengan mazhab syiah dalam Islam. Mazhab Protestan, banyak persamaan dengan mazhab ahlus sunnah wal jamaah.

Evangelis cabang kecil dari Protestanisme, mempunyai satu ciri iaitu memperibumikan misi agama Kristian di negara eksotik. Contohnya, di Afrika, unsur-unsur peribumi diraikan. Maka potret Jesus boleh sahaja berkulit hitam. Pada tahun 1938, konferensi Kristian di Madras, India memutuskan Kristian harus menjalankan 'indigenisasi' (mentempatankan Kristian) di mana bentuk pemikiran, modus operandi, tabiat harus akrab dengan lingkungan tetapi dalam masa yang sama kepatuhan kepada gereja harus berakar kukuh.

Di Korea, maka Bible akan diberikan citarasa Korea. Di Lubnan, maka citarasa keAraban akan turut dititikberatkan. Di Sandakan, maka ciri-ciri tempatan akan disuntik.

Pada tahun 1972, The Theological Educational Fund yang didanai World Council of Churces menerbitkan laporan Ministry in Context iaitu bagaimana melakukan indigenisasi ini, Paderi James o Buswell pada volume VI menghuraikan indigenisasi itu ialah, 'to make gospel intelligible in the idiom of the language and culture of the receiver.'

Faham atau tidak takrif indigenisasi di atas?

Maka tidak hairanlah di Indonesia atau di Sudan, Bible memasukkan kalimah Allah untuk memperibumisasikan Kristian. Untuk menawarkan citarasa 'tempatan'. Kerana secara dominannya di Indonesia dan Sudan, Allah dirujuk sebagai Tuhan.

Dalam masa yang sama, Islam yang ditawarkan wahabi mencegah peribumisasi pada Islam dengan alasan bid'ah, tahyul dan sebagainya. Maka maulud nabi dilarang, membaca yassin pada malam Jumaat ditegah, tawasul dan tabaruk dikatakan syirik dan sanjungan untuk wali Allah dipandang cabul sehingga tarekat pun dipandang sesat. Perlahan-lahan Islam menjadi agama keras, tidak menarik, dan tidak serasi dengan unsur tempatan. Islam dilihat sebagai agama orang Arab. Ruang untuk berkembang tertutup. Perlahan-lahan Islam yang ada menjadi Islam yang sangat legalitas sifatnya. Islam atau tidak orang dinilai dari janggut panjang atau tidak, dari cara mengangkat takbir dan macam-macam lagi. Maka di Indonesia, atau di beberapa tempat lain, Kristian terlihat lebih istimewa berbanding Islam.

Sedangkan tuan-tuan, strategi indigenisasi ini mula-mula sekali dipelopori oleh Islam menerusi ayat al-Quran: 'Tidaklah Kami utus seorang rasul kecuali dengan bahasa kaumnya, supaya ia menjelaskan kepada mereka.' (14:4)

'Bahasa' dalam ayat suci di atas mempunyai lapis makna yang terperinci. Salah satunya ialah kontekstualisasi. Islam yang tiba di Jepun misalnya harus mengambil kira peribadi, atau perangai orang Jepun. Wali Songo yang mendakwahkan orang Jawa memahami strategi ini, maka tidak hairanlah Islam berkembang di Nusantara secara umumnya secara aman, dan bukan dengan cara pertumpahan darah.

Tuan-tuan, kembali kepada kalimah Allah. Allah dalam Kamus Dewan (halaman 37) dinyatakan sebagai: Tuhan (Yang Esa). Kalau Allah diterima penggunaannya oleh penganut Kristian, entri terbaharu Kamus Dewan mungkin perlu menimbangkan misalnya definisi baharu berbunyi: Tuhan (Yang Esa) untuk orang Islam, tetapi Allah juga merupakan Bapa kepada Jesus (Isa al Masih).

Naud'zubillah.

Akhir sekali Allah berfirman dalam surah al Kahfi ayat 4 dan 5: "Al-Quran ini diturunkan untuk mengingatkan mereka yang berkata, Allah itu punya anak. Sebenarnya tiada ilmu pada mereka tentang yang demikian itu, tidak juga pada nenek moyang mereka. Betapa buruknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka. Apa yang mereka katakan itu dusta belaka."

“Pada ayat lain Allah berfirman lagi: Mereka berkata, Allah Yang Pemurah itu memiliki anak. Katakanlah sungguh telah kalian kemukakan sebuah penghinaan yang dahsyat! Hampir-hampir langit terbelah kerananya, bumi membelah dan gunung-ganang berhamburan." Ini difirmankan Allah dalam surah Maryam ayat 88-90.

Jelaslah kalimah Allah bukanlah suatu kalimah yang dapat dikongsi atas alasan apa sekalipun.

Untuk memahami strategi halus Kristian untuk menyamaratakan agama, saya ingin menjual novel saya berjudul Tuhan Manusia kepada tuan-tuan. Saya melakukan kajian yang lama untuk menulis novel tersebut dan mendapati terdapat banyak cara dan kaedah Kristian untuk memamah agama kita. Saya tidak bimbang dimarahi kumpulan liberalis, mahupun mereka yang taksub kepada pemimpin PAS tertentu. Esok, setelah kita semua mati, generasi baharu perlu berdepan dengan kesalahan, kenyanyukan, keterlanjuran dan kekeliruan hari ini. Kita telah tiada lagi untuk menjelaskan dan menolong jawab. Dan kesalahan itu akan terus berlaku, seperti mana hari ini Islam yang kita terima telah banyak dipesongkan, sehingga Rasulullah saw sendiri berasa sedih sebelum wafatnya.

Dan jika benar, PAS jujur dalam isu ini, ada baiknya PAS bertegas dengan PKR kerana aktivis gereja yang melancarkan kempen Allah For Christian ialah Jeffrey - adik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan - juga merupakan naib presiden PKR dan pengerusi Borneo Heritage Foundation.

Banyak cara misi Kristian memamah kita, salah satu caranya menyamaratakan 'tuhan'. 


Maaf~

Adakalanya, dalam kita melalui liku-liku hidup ini, kita tak terlepas dari melakukan kesilapan. Kesilapan itu baiknya datang dari tutur kata, perbuatan waima niat yang jauh tersembunyi di dasar hati. Biarpun tidak nampak, tetapi Allah tahu bahawa niat atau nawaitu kita itu terkadang silap. Jika kita analisis secara jujur akan diri kita sendiri sepenuh hati, hati kecil kita tetap takkan mampu untuk menipu bahawa niat kita itu adakalanya silap, tersasar dari laluan yang diredhai Allah.

Lantaran itu juga, kita adakalanya tidak pernah terlepas dari dilukai ataupun dikasari baik mereka yang kita anggap sekadar teman biasa sehinggalah mereka yang boleh kita anggap sebagai insan yang kita terlalu sayang, terlalu cinta. Lazimnya, kita terlalu mengharapkan kesempurnaan semata-mata dari mereka dan lantaran itu, kita jarang bersedia dengan kemungkinan bahawa hati kita mungkin bakal terluka oleh mereka.

Mencari Sempurna

Tidak silap andai kita sentiasa menginginkan yang sempurna dari rakan mahupun sahabat yang telah kita anggap umpama keluarga sendiri. Bahkan, kita tidak mungkin boleh menolak hakikat bahawa kita juga mendambakan kesmpurnaan dari keluarga kita, lagi-lagi ibu bapa dan adik-beradik. Mungkin tidak semua, tetapi saya percaya ianya tetap ada. Dan kerana terlalu mengharapkan sempurna inilah, hati kita jarang bersedia dengan sebarang kemungkinan bahawa adakalanya hati ini pasti akan tercalar, terhiris dan mungkin terluka.

Saya sendiri tidak menafikan saya pernah mengalami pasang surut dunia persahabatan. Secara jujurnya, sakit untuk menerima hakikat apabila kita disakiti oleh seseorang yang kita sayang, yang kita lindungi sepenuh hati semata-mata kerana rasa kasih itu tadi. Apabila terjadinya suatu perselisihan faham, lazimnya masa yang diambil untuk mengubat kelukaan tersebut dan menjernihkan kembali suasana bukan sekejap dan memerlukan banyak muhasabah, banyak perbincangan.

Pihak Ketiga


Namun, sebagai khalifah yang hanya menumpang di muka Bumi Allah ini, adakalanya kita harus sedar bahawa kita bukan Tuhan, bukan Pencipta yang selayaknya menghukum sesama manusia. Selagi boleh dibawa berdamai, dibawa bersabar, tidak salah andai kita saling bermaafan dan melupakan saja segala yang telah terjadi. Memang akan mengambil masa, namun andai kesemua pihak yang bersengketa sama-sama bermuhasabah dan merenung kembali diri sendiri, pasti tiada sebab untuk kita terus bersengketa atau mungkin sahaja terus membenci.

Adakalanya, tatkala berlakunya persengketaan antara dua pihak, perlu ada pihak ketiga yang datang bagi menjernihkan semula suasana dan keadaan. Ini bukannya satu keperluan yang berlandaskan dalil aqli semata-mata, malahan Allah dalam firmannya dalam Surah Al-Hujurat Ayat 10 ada berfirman yang bermaksud:

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara saudara kamu (yang bertelingkah itu), dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Namun, mencari orang ketiga itu perlulah berhati-hati, kerana bukan semua orang boleh dipercaya. Saya bukan mahu bersangka buruk, tetapi realiti dunia hari ini, yang mana kebanyakan manusia lebih cenderung ke arah sesuatu yang jahat berbanding yang baik juga menyebabkan kita sebagai manusia biasa sangat perlu untuk berhati-hati dalam memilih mereka yang boleh dipercaya. Andai tersilap orang ketiga, bukan kedamaian yang akan kita ketemu, sebaliknya pertelingkahan akan menjadi lebih buruk kerana hadirnya golongan yang menjadi batu api serta suka mengadu domba. Dalam konteks ini,adalah lebih baik untuk tidak 'menghadirkan' orang ketiga kerana dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih mudharat.

Bukan Tuhan

Saya akui, memberi kemaafan itu tidak semudah memohon kemaafan. Ini kerana, memberi kemaafan itu perlu dari hati, sedangkan memohon kemaafan itu mudah sahaja dituturkan melalui bicara kata yang mungkin bukan dari hati yang ikhlas. Mungkin ada yang sekadar mengangguk tanda memaafkan mereka yang memohon kemaafan, tapi saya percaya jauh di sudut hati yang dalam, terlalu sukar sebenarnya untuk memberi kemaafan dan melupakan segala yang telah berlaku.

Namun, kita harus sedar. Andai Nabi Muhammad s.a.w yang sudah banyak teruji itu masih lagi mampu untuk memaafkan umatnya baik yang menerima ajarannya mahupun yang terus berpaling dari seruannya, inikan pula kita manusia biasa yang tidak maksum, bukan sempurna. Malahan, Allah yang menciptakan kita sentiasa membuka pintu taubat bagi hambaNya yang mengakui dosa mereka, sebagaimana nasihat Rasulullah s.a.w. kepada isterinya, Aisyah r.a menerusi sabdanya yang bermaksud,

"Jika anda berbuat dosa hendaklah meminta ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya seorang hamba, jika ia mengakui dosanya dan bertaubat, maka Allah menerima taubatnya."

Muhasabah

Saya mengambil petikan lagu dendangan kumpulan Rabbani yang bertajuk Maafkanlah sebagai satu medium untuk saya bermuhasabah ke atas diri saya sendiri. Semoga kita dapat sama-sama merenung ke dalam diri dan berusaha untuk mengamalkan segala kebaikan yang mampu menambahkan timbangan amal semasa di hari penilaian terakhir yang mana destinasi akhir kita yang abadi bakal ditentukan di situ.

Akui segala kesilapan
amalkan kejujuran ia tak merugikan

Air yang jernih itu kan juga keruh
akhirnya jika ia dicampur walau sedikit lumpur
kan begitu jua hati manusia
jika ia berkata walau sekecil zarah
tak bermakna...

Oh insan maafkanlah
kesalahan teman seperjuanganmu
selama telah pergi kasihani dia yang terseksa
oh insan maafkanlah andai tersalah tutur bicara
oh insan renungilah ada ganjaran yang menunggu kita
tika di syurga...........


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Saturday, January 2, 2010

Hijrah~

Hari ini sudah 16 Muharram 1431 Hijrah. Dan hari ini merupakan hari kedua tahun 2010 membuka tirainya. Berdasarkan sedikit sebanyak berita yang saya baca, tidak banyak perubahan yang berlaku melainkan harga gula dan minyak telah meningkat di pasaran global. Saya tidak melihat ini sebagai satu beban, sebaliknya ini mungkin satu cabaran. Cabaran untuk melihat sejauh mana kita mampu untuk merasa cukup atau mencukupkan keperluan, biar harganya meningkat sedangkan kadar pendapatan kita masih lagi sama.

Biar sudah 16 hari berlalu ulangtahun ke 1431 peristiwa hijrah, saya tetap merasakan masih belum terlambat untuk saya berbicara soalnya. Hijrah, menurut bahasa bermaksud berpindah atau meninggalkan. Secara istilah, hijrah merujuk kepada kisah perpindahan Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Islam Mekah ke Madinah demi untuk menegakkan syiar Islam yang suci. Dan hijrah itu pastinya bukan mudah. Pengorbanan, baik dari aspek material mahupun spiritual adalah sangat dituntut, dan sebab itulah insan-insan yang berupaya untuk berhijrah itu lazimnya terdiri daripada kalangan mereka yang mampu untuk bangkit dan berubah demi Allah dan menuju ke arah kebaikan.

Konsep Hari Ini

Walau bagaimanapun, hari ini sudah tiada lagi hijrah dari Mekah ke Madinah. Yang ada, hanyalah hijrah yakni perbuatan seorang insan itu yang berubah dengan meninggalkan segala larangan Allah dan mendekati serta melaksanakan segala suruhannya. Inilah pengertian atau konsep hijrah pada hari ini yang sewajarnya dihayati dan difahami ertinya dengan sepenuh hati oleh setiap insan yang mempunyai keazaman untuk melakukan hijrah. Bukan hanya sekadar kata dan bicara kosong, namun usaha bagi menjadikan hijrah itu satu realiti juga perlulah mantap dan bersungguh-sungguh. Pengertian sebeginilah yang wajar dihayati dan dituntut dalam Islam dan sama sekali wajar dilaksanakan baik melalui perkataan, perbuatan mahupun hati.

Tidak dinafikan, wujud juga kalangan insan yang berhijrah ini bukan kerana Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud,

"Barangsiapa hijrahnya demi dunia yang diingininya atau demi perempuan yang dia ingin mengahwininya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia berhijrah kepadanya itu."

Dari kenyataan di atas, saya dapat menyimpulkan bahawa hijrah itu mempunyai dua keadaan: berhijrah memang semata-mata kerana agama, ataupun berhijrah demi kepentingan dunia ataupun perbuatan lain yang seumpama dengannya tetapi secara zahirnya kelihatan seperti kerana agama. Sebagai contoh, ada di kalangan manusia ini yang menuntut ilmu semata-mata untuk mendapat tempat di kalangan masyarakat, dan ada pula yang mengerjakan ibadah semata-mata mahu dianggap alim oleh masyarakat. Namun, kerana kita manusia yang hanya mampu mengadili atau menilai secara zahir atau lahiriah sahaja, maka sewajarnya kita bersangka baik terhadap insan sekeliling kita dan meninggalkan urusan niat dan qasad itu kepada Allah kerana hanya Dia yang mengetahui segala isi hati hambanya.

Muhasabah

Selari dengan peningkatan umur dan pertambahan bilangan tahun, sama-samalah kita berusaha untuk menjadi yang terbaik dan berusaha untuk melaksanakan segala kebaikan. Hal ini demikian kerana, hanya Allah satu-satunya yang mengetahui rahsia umur kita. Kita takkan tahu dan tak mampu untuk menjangka selama manakah lagi kita mampu bertahan dan terus melangkah di muka bumi ciptaannya ini. Lagipun, saya percaya, andai hidup ini sentiasa kita penuhi dengan segala macam kebaikan, InsyaAllah kebaikan itu juga yang akan terus menyinari hidup kita. Bak kata Ustaz Hasrizal dalam laman webnya di http://saifulislam.com/, apabila kita memberi, akhirnya kan kembali juga kepada diri. Bukanlah niat kita untuk sentiasa memberi itu hanya kerana mahukan balasan, tetapi kita memberi untuk menjadikan kehidupan kita lebih bermakna dan beerti.

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Friday, January 1, 2010

Destinasi~

Tahun baru menjelma lagi. Seperti lazimnya, ramai yang sudah bersedia dengan azam dan harapan yang baru. Tidak kurang juga yang masih lagi dengan azam lama, namun lebih gigih usahanya agar azam dan harapan lama itu tercapai, bukan hanya sekadar impian di alam mimpi.

Dunia dikejutkan dengan pemergian Gus Dur, bekas pemimpin negara jiran, Indonesia. Beliau dikhabarkan meninggal semasa pembedahan membuang darah beku di jantungnya sedang dilaksanakan. Ternyata, takdir Allah itu melebihi usaha manusia. Biar secanggih mana pun kaedah perubatan yang digunakan, biar sebagus manapun doktor yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan pembedahan, namun, andai sudah tertulis di azali bahawa sampai saat itu sahaja nyawa mampu bernafas, sebarang usaha ternyata takkan  mampu mengatasi kuasa Tuhan.

Saya mengambil berita kematian Gus Dur sebagai satu ruang, satu lapangan untuk bermuhasabah. Betapa sesungguhnya, setiap kali bertambah detik masa, setiap kali meningkatnya bilangan tahun dan ketika, ternyata semakin dekatlah juga ajal menghampiri kita. Tidak kira berapa umur kita, tidak kira sejauh mana sudah usaha kita untuk mendalami ilmu-Nya, tidak kira berapa berat sudah timbangan amal kita, andai sahaja Izrail itu sudah menerima arahan dari Maha Pencipta, takkan dilambatkan, takkan dipercepatkan walau hanya sesaat saja, kita akan menemui Dia.


Hakikat Masa Kini

Namun, semakin moden dunia hari ini, semakin canggih kemudahan teknologi yang tercipta, kita hari ini bagaikan sudah lupa bahawa kita sebenarnya punya Pencipta. Kita punya Pencipta yang menjadikan kita, kita punyai Penguasa yang memegang hati kita, kita punyai Pentadbir yang telah menetapkan perjalanan hidup kita. Tahun baru lazimnya amat jarang dimulakan tanpa pesta-pesta di mana anak-anak muda remaja bertemu sesama mereka, bergaul bebas bagaikan dunia ini milik mereka, berhibur dan berpesta bagai tiada maut yang bakal tiba. Konsert dan warna-warni bunga api di udara lazimnya mewarnai malam tahun biru di kebanyakan negara dewasa ini.

Saya sebenarnya ingin tahu apa sebenarnya kaitan dan relevan malam tahun baru ini disambut dengan sedemikian rupa. Sedangkan jika difikirkan secara logik akalnya, semakin bertambah tahun, semakin meningkat usia, semakin dekat kita dengan ajal kita, dan semakin singkatlah masa kita untuk menampung segala kekurangan dalam amalan kita. Sebab itulah wujudnya peribahasa yang mengatakan apabila semakin meningkat usia, maka rumah pun kata pergi, kubur pula yang kata mari. Adalah lebih elok dan bermakna, andai tahun yang bakal kita lakui itu diwarnai dengan sujud dan munajat kepadaNya, memohon agar kehidupan hari ini dan akan datang terus sentiasa di bawah lindungan dan rahmat-Nya.

Sebagai seorang remaja yang mungkin punyai sedikit lagi masa untuk menginjak ke alam dewasa, saya yakin dan percaya, aliran arus perdana globalisasi masa kini bukanlah satu-satunya punca terjadinya fenomena "lupa mati dan lupa akhirat" ini. Kurangnya didikan asas agama, kurangnya kemahuan untuk membaca bahan-bahan ilmiah dan buku-buku tarbawi, kuatnya dorongan untuk menikmati hiburan dunia antara faktor-faktor yang menyumbang ke arah fenomena sebegini. Dan agak mengecewakan, tidak kurang dari kalangan mereka ini memberikan alasan usia yang masih muda menyebabkan diri mereka merasakan mereka belum lagi layak untuk menambahkan ilmu mereka khususnya dalam bidang agama ini.

Muhasabah

Bermula hari ini, segala kenangan lalu telah pun pergi meninggalkan kita. Semoga segala yang telah berlaku, kita jadikan ikhtibar dan pedoman dalam kita melayari hari-hari yang akan mendatang, menjadikan  kita bertambah teguh dan kuat dalam menghadapi cabaran dan halangan yang bakal kunjung tiba..Takkan ada lagi peristiwa yang sama bakal berlaku untuk kedua kalinya melainkan dengan keizinan-Nya. Perbaikilah segala kesilapan yang telah dilakukan, perbaharui dan mantapkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepadanya selari dengan pertambahan bilangan tahun kita menginjakkan kaki di bumi ciptaan-Nya, kuatkan lagi keyakinan kita kepada-Nya, InsyaAllah destinasi cinta yang kita cari pasti kita bakal ketemu, jika bukan di dunia kini, di kehidupan yang kekal abadi kelak.

Sesungguhnya kita hidup untuk mencari mati yang sempurna, maka siapkanlah diri dan hati kita ke arah itu. Saya akui, bukan mudah untuk berubah, bukan senang untuk memulakan langkah, bukan sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan demi mencari cinta hakiki yang abadi dari Dia yang Maha Penyayang. Namun, kita harus yakin, dengan bertunjangkan iman dan akidah yang telah kita genggam kukuh sejak dari hari pertama hembusan nafas kita keluar ke udara, segalanya pasti mudah dengan keyakinan kita yang seratus peratus kepada-Nya. Sama-samalah kita berdoa, agar tahun baru yang baru saja membuka tirainya, akan membawa satu sinar baru buat diri kita, buat hati kita, buat iman kita. Percayalah, destinasi cinta kita,destinasi impian kita, di mana segala kebahagiaan yang kita cari akan kita ketemu juga asalkan kita tak berpaling dari-Nya.




~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Wednesday, December 30, 2009

Cinta~

Bicara soal cinta, pasti ramai yang akan berfikir. Bicara soal cinta, tak kurang juga yang boleh terleka. Bicara soal cinta, biasanya ramai yang sanggup mendengar, sanggup berkongsi cerita. Tetapi, dalam dunia yang serba moden, yang semuanya sudah canggih-canggih belaka, yang sudah mampu untuk menghubungkan sesiapa saja baik secara nampak mahupun maya, tak mustahil ramai juga yang terlalu mudah hanyut dek cinta dunia, cinta manusia.

Saya secara jujurnya tidak pernah menolak akan rasa cinta. Kerana saya tahu, rasa cinta itu fitrah, anugerah Allah untuk semua hambaNya baik yang beriman kepadaNya mahupun yang terang-terangan menentang perintahNya. Lihat sahaja dunia sekarang, terlalu banyak rumah-rumah perlindungan yang dibina untuk wanita yang kononnya teraniaya, menanggung malu dek perbuatan yang bertunjangkan nafsu serakah semata-mata, mengandung dan akhirnya melahirkan anak tak berbapa, semuanya kerana cinta, cinta dunia yang buta!

Saya menulis kali ini bukan untuk menentang mereka yang bercinta. Bukan juga untuk memalukan siapa-siapa yang sedang bercinta. Bukan juga untuk menghalang mereka yang sudah punyai rasa cinta buat siapa-siapa yang mereka rasa layak untuk menerima cinta mereka. Cuma, apabila sudah terbit rasa cinta sesama hamba, dasarilah cinta itu dengan keimanan dan rasa cinta kepada Yang Esa agar cinta itu bukan sekadar cinta biasa, yang tidak membawa ke syurga sebaliknya saling membawa kedua-dua pihak ke lembah neraka.

Realiti hari ini

Cinta yang bukan didasari dengan iman dan taqwa lazimnya akan tercemar dengan maksiat lantaran terlalu menurut hawa nafsu dan kehendak jiwa. Biar hanya sekadar bicara yang tidak bertentang mata seperti SMS, kemudahan instant messaging seperti Yahoo Messenger, Gtalk, Skype dan sebagainya, semua itu tetap bicara yang mencemarkan cinta andai bicara-bicara itu bukan yang aula, bukan yang dibenarkan syarak, dan paling penting masih lagi dalam keadaan dua insan yang bercinta tadi belum lagi diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah.

Melihat realiti hari ini, keluar berdua-duaan antara dua insan yang bukan mahram bukan lagi sesuatu yang asing di pandangan mata. Lebih menyedihkan, kedua orang tua kedua-dua pihak lazimnya seolah-olah merestui tindakan teruna dan dara tersebut malahan menggalakkan mereka keluar berdua dengan alasan untuk berkenalan dengan lebih rapat. Maka adalah tidak mengejutkan jika hari ini kita mendengar dan membaca terlalu banyak statistik bilangan anak yang dilahirkan luar nikah. Semuanya bermula dari perbuatan ini, yakni keluar berdua-duaan kerana apabila dua insan yang bukan mahram berdua-duaan, pasti wujud yang ketiga iaitu syaitan.

Bagi mereka yang keluar berdua-duaan tanpa pengetahuan kedua orang tua pula, lazimnya andai sesuatu yang di luar jangkaan terjadi, pasti mereka secara tidak langsung telah melukakan hati kedua orang tua mereka. Terdapat juga sesetengah kes di mana apabila kemalangan berlaku, adalah sesuatu yang amat memilukan andai anak yang telah dididik dengan hukum agama tentang konsep bermuamalat dalam Islam terkorban di samping insan yang belum sah menjadi mahramnya. Dan lebih menyayat hati, andai insan yang terkorban tersebut seorang yang berfikrah, mempunyai kefahaman Islam yang mendalam tentang hukum sebegini tetapi akhirnya pergi dalam keadaan yang secara luarannya boleh mendatangkan fitnah ke atas diri mereka setelah mereka pergi.

Isu cinta bukannya isu yang akan dipandang sepi. Bukan mudah untuk mengelakkan atau mengeluarkan diri dari perangkap cinta andai sudah terjerat sekali. Namun, untuk keluar dari cinta yang bukan didasari atas jalan yang benar, mujahadah adalah perkara yang sememangnya wajar dilakukan demi mengelakkan murka Allah di samping untuk memastikan cinta yang terjalin sesama manusia adalah di bawah redha Illahi. Mujahadah itu mungkin sukar, tetapi andai hati sudah menetapkan untuk meletakkan Allah sebagai puncak cinta yang tertinggi, insyaAllah Allah takkan pernah menghampakan hambaNya yang bergantung harap sepenuhnya kepadaNya.

Bagi yang sudah berjaya mengeluarkan diri dari perangkap cinta dunia yang tidak hakiki, usah dan jangan pernah memandang ke belakang dan membuka walau sedikit pintu untuk kembali ke arah perkara itu lagi. Tutuplah serapat-rapatnya pintu yang boleh mengundang ke arah cinta dunia yang palsu dan boleh menjerat diri ke neraka yang seksanya secara terang-terangan telah diceritakan oleh Allah di dalam kalamNya. Kerana andai cinta itu tidak meletakkan Allah sebagai dasar dan matlamat utama, percayalah, amat sukar untuk mencari penghujung destinasi cinta yang bahagia, yang membawa ke syurga, sebaliknya akan mendatangkan perbalahan semasa di hari pembalasan nanti sebagaimana firmanNya, 

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)”
(Al Zukhruf:67)

Muhasabah

Buat para pembaca yang sedang bercinta tetapi belum lagi diikatkan dengan lafaz yang sah, buat mereka yang baru sahaja mahu berjinak-jinak dengan rasa yang dikatakan sebagai cinta, buat insan-insan yang sudah lama bercinta tetapi masih belum lagi berjumpa detik dan masa yang sesuai untuk diijabkabulkan, fikirkanlah dan lakukanlah anjakan paradigma dalam hubungan cinta kalian agar cinta kalian akan bertemu dengan satu titik pertemuan yang indah, yang diredhai Tuhan dan akan berakhir dengan rahmat Tuhan yang terindah yakni syurga yang hakiki.Semua orang pastinya berharap untuk terus bersama dan bercinta dengan insan yang mendapat tempat yang paling agung di hati mereka bukan hanya di dunia, tetapi juga berkekalan hingga ke syurga.

Buat mereka yang masih lagi mencari-cari akan cinta mereka, fikirkanlah. Andai kalian sudah benar-benar bersedia dan segala tanggungjawab kepada keluarga telah terlaksana, cepatkanlah dan jangan lengah-lengahkan tetapi buat mereka yang masih lagi punyai cita-cita dan perancangan masa depan yang belum lagi kesampaian, jangan terlalu gopoh dan hanya mahu cepat. Biarlah semuanya berjalan dengan lancar, penuh dengan hikmah, bebas dari segala maksiat yang mungkin boleh menggugat keharmonian rumah tangga di masa depan serta berlaku seiring dengan hukum-hukum syarak yang telah ditetapkan. Percayalah, kebahagiaan yang dicari akan kunjung tiba, asalkan kita sebagai hamba tidak pernah putus harapan ada Yang Esa. Semua yang berlaku, pasti akan berakhir sebagaimana ianya bermula, dan sesungguhnya Allah tidak pernah menetapkan dan menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Monday, December 28, 2009

Perjalanan Yang Bermakna~

Alhamdulillah... Bersyukur saya ke hadrat Illahi, kerana saya akhirnya selamat dalam perjalanan pergi dan balik ke kampung di sebelah pihak bonda. Ternyata, tidak sia-sia perjalanan yang mengambil masa paling kurang tiga jam sehala itu.

Biar hanya sempat berada di sana selama dua malam, namun saya bersyukur kerana banyak perkara yang saya pelajari sepanjang berada di sana. Benarlah kata pepatah, kita bukan hanya dapat belajar melalui proses pembelajaran secara formal, tetapi juga melalui apa yang kita lihat, dengar dan rasa. Subhanallah, betapa Allah telah banyak mempermudahkan kita agar kita dapat melihat, mentafsir dan meneliti dengan mata hati dan iman segala kejadian yang berlaku di sekeliling kita.

Sebentar tadi, saya sempat singgah di beberapa blog yang agak menarik, sarat dengan pengisian yang agak bermanfaat pada pendapat saya. Dan salah satu isu yang agak menarik perhatian saya ialah pengisian masa muda anak-anak remaja masa kini. Dan saya, yang jika dikira melalui faktor usianya juga merupakan golongan remaja ataupun anak-anak muda, cukup terkesan dengan entry tersebut.

Realiti Remaja Sekarang

Saya teringat akan anak-anak muda, yang mungkin seusia dengan saya, atau mungkin muda atau tua dalam lingkungan tiga hingga empat tahun sahaja daripada usia saya di kampung. Kebanyakan dari mereka hanya tahu untuk berhibur, menghabiskan masa dengan aktiviti yang pada saya sungguh sia-sia. Saya percaya, kebanyakan dari mereka adalah golongan yang tercicir atau mungkin tidak mempunyai sebarang peluang untuk melanjutkan pelajaran, atau mungkin juga sudah tidak punyai minat untuk terus meraih ilmu pengetahuan yang berasaskan teori dan hafalan semata-mata. Namun, apa yang menyedihkan saya, mereka langsung tidak punyai kesedaran untuk terus menajamkan kemahiran yang ada pada diri mereka jika memang bukan bidang yang bersandarkan akademik dan teori yang menjadi pilihan.

Saya teringat akan petikan tulisan seorang sahabat di blog beliau,

"Jika mahu melihat keadaan negara dan pemimpin kita di masa hadapan, lihatlah kepada golongan remaja dan anak-anak muda hari ini."

Saya akui, melihat senario anak-anak muda hari ini, saya cukup takut, cukup bimbang memikirkan bagaimana hala tuju negara kita paling kurang 20 tahun akan datang. Saya ambil contoh terdekat, anak-anak muda yang sebutkan tadi. Mereka melepak di tepi jalan sambil merokok, melalak yang tidak tentu hala tatkala azan Maghrib sedang bergema dari masjid yang berdekatan, berasa megah dengan motosikal yang saya percaya bukan dibeli dari hasil titik peluh mereka.  Andai begini generasi kita hari ini, logikkah 20 tahun akan datang, golongan seperti ini mampu untuk menerajui negara kita jika bukan lebih baik tetapi cukuplah sekadar setanding dengan keadaan negara kita pada hari ini?

Saya tidak impikan negara yang hanya maju pada nilaian material, bangunan dan mata wang sahaja, tetapi saya juga impikan negara yang aman damai di samping dapat mengamalkan syariat Islam secara total. Saya percaya, gejala anak-anak muda memandang sepi suara gema azan yang memanggil untuk mereka pergi dan mengabdikan diri kepada Pencipta bukan hanya berlaku di kalangan anak-anak muda di tempat saya, tetapi juga di tempat lain. Bagi saya, andai di tahap usia begini mereka masih lagi lemah dalam memperkuatkan diri untuk melakukan perkara asas tiang agama, usah sahaja kita cari itu salah siapa, tapi yang penting, kita perlu mencari ikhtiar untuk mencari bagaimana cara untuk mengubahnya.

Bukan Semua

Saya tidak menafikan, wujud juga golongan anak-anak muda yang sibuk dan dengan penuh rela mengabdikan diri mereka dengan segala aktiviti yang bermanfaat semata-mata untuk mencari redha Allah, untuk menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah ini. Mereka berhalaqah, berusrah, dan melakukan segala macam program tarbiyah untuk memantapkan diri masing-masing. Biarpun secara jujurnya, jumlah mereka tersangatlah sedikit, namun saya percaya yang penting adalah kualiti bukan kuantiti. Tambahan pula, Allah telah berfirman dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud, 

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."

Maka, biarpun jumlah mereka jika hendak dibandingkan mereka yang sedang hanyut di luar sana sangat sedikit, saya yakin dan percaya, bantuan dari Allah itu sentiasa ada. Semangat yang mengalir dalam diri mereka InsyaAllah takkan mudah padam.  


Muhasabah

Saya akui, saya hanyalah orang baru yang masih lagi berusaha untuk meningkatkan ilmu dalam diri agar dapat terus tsabat di jalan ini. Namun, saya percaya, anak-anak muda yang seangkatan dengan saya, andai betul cara approachnya, tidak mustahil mereka boleh menjadi seorang mujahid dan mujahidah yang turut membantu menegakkan syiar Allah di muka bumi ini. Apa yang penting, golongan seperti ini sebenarnya perlu didekati bukan dijauhi. Mungkin sahaja mereka perlukan perhatian, bimbingan dan tunjuk ajar yang berhemah dari insan-insan yang berkemampuan dan berkebolehan dalam mendidik mereka untuk terus memahami dan mengerti akan tujuan sebenar mereka dihidupkan di atas bumi ini.


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~