Sunday, May 16, 2010

Buatmu Guruku~

Bukan mudah untuk melangkah, tatkala hati perlu bersedia untuk tabah...
Bukan senang menongkah, tatkala arus deras mengalir...
Sesekali mungkin sukar, bila harus menerima realiti perlu berdepan payah...
Namun kerana niat dan nawaitu demi-Nya yang satu, kau terima segalanya dengan pasrah...

Kau ajarkan daku, bahawa realiti dunia itu bukan seindah yang ku jangka...
Kau berikan daku ilmu, agar aku punyai sesuatu untuk menilai antara kaca dan permata...
Kau bekalkan daku dengan doa, agar aku bisa jadi setabah para khalifah dan para syuhada...
Kau iringi setiap langkahku, dengan bisikan azimat kata-kata hikmah yang penuh makna...

Bukan mudah untuk melangkah...
Dan kini aku masih melangkah...
Sesekali kita akan rebah...
Dan hakikatnya itulah sumber kebangkitan yang paling mujarab...
Adakalanya kita perlu mengalah...
Dan realitinya itulah cara yang penuh hikmah...
Semoga anakku akan terus berjuang mencipta sejarah...
Dan aku yakin segalanya akan lancar dengan restu kalian...

Kau guruku,
Aku anak didikmu,
Semoga hati kita kan tetap bersatu,
Biar kau dan aku,
Hanya bertemu dalam doa restu...

16 Mei 2010
8.53 am
Theme song: Deruan angin UTP


Dedikasi khas sempena Hari Guru 2010 buat para guru di SK Istana, SK Matang Jaya, SMKA Tun Ahmad Zaidi, MRSM Kuching, para pensyarah di UTP, serta para murabbi/murabbiah. Selamat Hari Guru~


Source: Google Image

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Monday, May 10, 2010

Sharing: Bahagia Itu Boleh Dicipta~

Saya masih teringat kali pertama mengetahui bahawa beliaulah yang bakal mengajar saya untuk subjek Professional Communication Skills, saya tak mampu menyembunyikan rasa gementar, bimbang dan cuak. Sungguh, kata-kata dari senior yang pernah belajar bersama beliau membuatkan saya takut, takut seandainya subjek ini mampu menyebabkan keputusan saya yang lainnya turut jatuh menjunam. Tambahan pula, hampir dua bulan lamanya, saya perlu "unlearned all the skills that I have learned for almost 7 years" bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, bicara dan firman Allah itu pastinya tidak pernah berdusta, hanya kita manusia saja yang tidak mahu meletakkan sepenuh hati kita untuk mempercayainya.

Namun, benarlah kata pujangga, kita sebenarnya berupaya untuk mencipta bahagia. Ternyata, biarpun sedikit tertekan demi mencapai tahap yang beliau inginkan, kami semua akhirnya mampu untuk menerima dan belajar, bahawa segala yang dipelajari bukanlah untuk markah semata-mata. Tetapi juga untuk pembaikan kualiti diri, yang barangkali mampu untuk menjadi aset berharga buat diri masing-masing pada suatu ketika nanti.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini, biarpun kami pada mulanya agak 'menderita' demi memenuhi segala kriteria pencapaian yang beliau mahukan, namun akhirnya, kami mampu untuk menjadikan proses pembelajaran ini sebagai sesuatu yang membahagiakan, mengundang ceria. Terima kasih Allah, atas segala kurniaan.

Buat Dr Sumathi, thanks for giving me a chance. Buat Safwan Diah, Nasrullah Jaafar, Faiz Fudzaili, Fauzi Khamis, Rufaidah Mokhtar, Irsyaduddin Zakwan, Faris Roslan, Farhan Faiz, Hanifi Che Ibrahim, Zaifadzmeen Zakiah, Aizat Aluwi, Azwan Bakhtiar, Zaheera Noorizam, Liyana Kamaruddin, Faidhah Hassan, Mustaqim Razak, Baharuddin Mat Hussain, Syafiq, Aminuddin Ishak, Kamil Mustafa, Azfar Jaafar, Diyana Suffian, dan Adi Aizat Razali, terima kasih atas segala kenangan. Semoga perjalanan kalian selepas ini, sentiasa di bawah redha Illahi =)


~Dalam kenangan: PCS Group 5~

Buat rakan-rakan, terima kasih atas kenangan. Salam imtihan =)
 Semoga kita sama-sama bertemu di puncak kejayaan~
All the best for final exam January 2010.
Selamat ber"internship" =D


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Sunday, May 9, 2010

Puisi: Kerana Dirimu~

Adakalanya kita perlu diam, sepi tanpa bicara...
Kadang kala kita perlu senyum, biar hati terluka kerana mahu memberi bahagia...
Sesekali kita perlu berbicara manis, biar hati penuh dengan duka dan lara...
Seringkali kita seharusnya berlapang dada, kerana di sekeliling kita itu manusia, yang bisa juga lupa dan leka...
Selalunya kita harus belajar memberi maaf dari sudut hati yang paling dalam, kerana fitrah insan itu kadangkala melakukan sesuatu tanpa sedar...
Jangan pernah walau sesaat cuma, hati kita diulit oleh dengki dan kata-kata nista...

Kini aku semakin dewasa...
Aku mula merasa, aku mula belajar menerima...
Adakalanya hidup ini tak semudah, tak seindah yang dijangka...
Namun, doamu dan kata-kata hikmah bicaramu menjadi peneman setia...

Tatkala aku hampir rebah, kau hulur tanganmu tanpa sebarang keluh-kesah...
Seringkali juga aku hampir tersilap langkah, kau bisikkan daku kata-kata hikmah...
Adakalanya aku berduka, kau sapu segala air mata...
Tatkala aku lemah, kau sejukkan hatiku dengan janji-janji Allah...
Ketika aku hampir mengalah, kau imbas kembali sejarah kentalnya perjuangan Rasulullah...
Semuanya kau lakukan tanpa minta segala balasan...
Semuanya kau lakukan dek kerana cinta...
Cinta tanpa syarat...
Kerana aku amanahmu...
Dan engkau tanggungjawabku...

Semoga kasih antara kita...
Semoga sayang yang tercurah sentiasa...
Akan terus abadi selamanya...
Dan kita berpimpinan tangan ke syurga...

7.11 pm
09 May 2010
Theme song: Cinta Pertama (Far East)

p/s: Selamat Hari Ibu buat mama tersayang, Puan Sabariah Binti Salam...



~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Saturday, May 8, 2010

Cerpen: Tinta Dari Hati ~

Entah kenapa, hati aku jadi tidak tenang tiba-tiba. Biarpun banyak lagi perkara yang perlu aku selesaikan, namun hati ini terus merasa gelisah. Rasa sedih bercampur resah, bimbang andai-andai hingga tiba saat nyawaku direnggut pergi, titipan maaf belum lagi sempat aku huluri.

Benar, hati kita ini umpama roda. Adakalanya iman berada di tahap teratas, dan kita cenderung kepada segala kebaikan. Namun, adakalanya tanpa sedar, iman kita jatuh merudum, hingga ke tahap paling rendah, dan ketika itu, kita sebenarnya perlukan mereka yang dapat menambah baikkan tahap keimanan kita ketika itu. Dusta yang paling besar, andai aku tak pernah berada dalam keadaan sebegitu. Penurunan tahap keimanan, pastinya menjadi perkara yang paling ditakuti oleh mereka yang benar-benar mendambakan cinta-Nya.

Aku masih ingat tatkala buat pertama kalinya, aku bertemu dan mengenali engkau. Syukur aku panjatkan, sekurang-kurangnya ada juga seseorang yang bisa menjaga perjalanan projek yang bakal kita jalankan sepanjang tahun ini. Bukan mudah andai hanya aku, seorang muslimah yang perlu menjaga tatatertib, muamalat dan perjalanan projek ini. Satu penipuan, andai hatiku tak terusik melihat perwatakan dirimu. Namun, kerana takutkan hukum Allah, aku biarkan saja rasa itu pergi, dan Alhamdulillah, rasa itu telah kau hancuri tatkala projek ini kian menghampiri kemuncak penyudahnya.

Hari demi hari berlalu, dan aku semakin mengenali engkau dan ahli kumpulan kita yang lainnya. Perjalanan projek juga berjalan sangat lancar, biar ada ketikanya, kita satu kumpulan masing-masing berselisih faham. Itu memang menjadi lumrah, kerana fitrah insan itu, selalu mahukan pendapatnya diterima, tapi sukar pula mahu mendengar pendapat orang lain. Dan seperti biasa, mereka mengkagumi engkau, bijak mengawal keadaan, tatkala hampir semua mengeluarkan pendapat berlandaskan emosi, kau dasari kata-katamu dengan penuh hikmah dan bijaksana. Sungguh, sesekali hati ini tercemar juga tatkala mengingati ketenanganmu baik dalam setiap tutur kata mahupun dalam setiap tindakanmu. Namun, aku bersyukur, adanya kehadiran sahabat-sahabat seperjuangan, aku masih mampu untuk mengawal perasaan, dan memperbaiki tahap keimanan, kerana aku tetap berpegang pada janji Allah yang benar, sesungguhnya lelaki yang baik itu hanya untuk wanita yang baik, dan begitulah juga sebaliknya.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (surga)."
[24:26]

Masa terus berlalu dan berlalu. Sesekali, aku juga tersasar dari pertimbangan yang waras. Aku masih teringat, tatkala diriku diselubungi tugasan akademik yang terlalu banyak, bertembung dengan daurah pada waktu yang sama, tiba-tiba kau memberitahuku bahawa barang siapa yang meminjamkan masa dan tenaganya untuk urusan Allah, insyaAllah akan dipermudahkan segala urusannya. Aku tersentak. Ketika itu, kita semua sedang berkumpul untuk menyiapkan fasa kedua projek yang perlu disiapkan bersama rakan-rakan lain, dan kau hanya memandangku sebelum berlalu pergi. 

Ternyata, kata-katamu membuka minda dan hati ini agar berusaha mengikhlaskan diri sepenuh hati untuk mneghadiri daurah, biar ketika itu terdapat sedikit kerisauan di hati, bimbang seandainya tugasan yang diberikan oleh pensyarahku tidak sempat aku siapkan. Dan sebagaimana katamu sebelum itu, memang benar, Allah permudahkan segala kefahamanku. Masa yang ku ambil untuk memahami tugasan tersebut ternyata cukup singkat, biarpun sejujurnya, aku agak lemah dalam subjek tersebut.

Menghampiri fasa ketiga projek tersebut, aku mula rasa kurang senang tatkala rakan-rakan sekumpulan mula memperkatakan sesuatu tentang kita. Aku mula berperasaan tidak senang untuk menghadiri segala perbincangan berkaitan projek dan menjadi kurang selesa andai perbincangan diadakan terlalu lama. Lalu, ku ambil keputusan drastik, berbicara sendiri denganmu untuk menyatakan rasa kurang senang itu. Dan aku terkesima mendengar jawapanmu, kau bukan tidak mahu menafikan, tetapi engkau lebih selesa seandainya hanya mendiamkan diri. Dan aku akui, malam itu juga secara tanpa sedar, aku telah sedikit sebanyak mungkin telah merosakkan hatimu tanpa aku sedar, tanpa aku sengaja.

Tak pernah ku sangka, cuti selama sebulan telah mengubah segalanya. Sekembalinya dari bercuti, aku sedikit sebanyak berasa pelik melihat perubahan yang ada pada dirimu. Engkau yang ku kenal setelah cuti terlalu jauh bezanya dari sebelum ini. Malahan, keberanian dirimu mengusikku di hadapan para sahabat membuatkan aku terkesima seketika. Kaget, sangat terkejut. Dan malam itu, aku suarakan rasa kurang senangku melihat perbuatanmu itu.

Berkali-kali aku bertanya dan menyatakan kebimbanganku padamu andai benar aku yang telah merubah dirimu. Dan berkali-kali juga kau menafikan bahawa akulah punca utama. Saat itu, seluruh hatiku menitipkan rasa syukur pada Illahi kerana bukan aku penyebabnya. Sungguh, aku bersyukur tak terhingga ketika itu.

Masa semakin berlalu, dan alhamdulillah, segala penat lelah kita berjaya. Projek selama satu tahun yang kita sama-sama usahakan akhirnya berjaya mendapat pingat emas dan sudah pasti akulah insan yang paling gembira. Namun, kegembiraan aku direnggut seketika tatkala engkau memberitahu, jalan kita sudah berbeza.

Aku sendiri kurang pasti kenapa perlunya aku menumpahkan air mata. Dan selepas itu juga, aku seperti kaget seketika tatkala menerima e-mail yang engkau kirimkan, yang mana kandungannya tak pernah ku jangkakan hingga ke tahap sedemikian rupa. Tak menjangka kerana pengirimnya adalah engkau, insan yang suatu ketika pernah menegurku kerana terlalu utamakan kerja-kerja dunia. Benarlah, hati kita ini hati seorang manusia biasa. Sukar untuk tetap, apatah lagi untuk terus tetap meneruskan langkah di jalan yang sudah dijanjikan dengan onak dan duri yang mungkin bisa mencucuk dan akhirnya membuatkan kita cedera.

Dan pagi tadi, tatkala aku menerima satu berita, sekali lagi air mataku menitis, tak pernah menjangka sejauh itu engkau melangkah. Sejujurnya, aku bersedih bukan kerana adanya unsur-unsur perasaan yang mungkin atau hampir terjalin antara kita, tetapi aku takut, andai akulah sebenarnya pembuka langkah untuk jalan yang telah engkau pilih sekarang. Sukar untuk aku interpretasikan rasa sebenar yang menyelubungi hati aku buat masa sekarang, tetapi percayalah, terlalu sukar dan payah untuk aku menangkis segala sisa-sisa rasa bersalah dalam hati ini. Dan untuk kesekian kalinya, air mataku menitik lagi, dan tinta ini akhirnya basah lagi, entah untuk kali yang ke berapa...

"Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?"
[10:99]


06 Mei 2010
2.07 pm
Theme song: Allah Knows (Zain Bhika)

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Thursday, May 6, 2010

Allah Knows~

This song really suites me now... Allah Knows, by Zain Bhika...

When you feel all alone in this world
And there's nobody to count your tears
Just remember, no matter where you are
Allah knows
Allah knows

Taken from google image

When you carrying a monster load
And you wonder how far you can go
With every step on that road that you take
Allah knows
Allah knows

Credit to IluvIslam.com

No matter what, inside or out
There's one thing of which there's no doubt
Allah knows
Allah knows

And whatever lies in the heavens and the earth
Every star in this whole universe
Allah knows
Allah knows

When you find that special someone
Feel your whole life has barely begun
You can walk on the moon, shout it to everyone
Allah knows
Allah knows

When you gaze with love in your eyes
Catch a glimpse of paradise
And you see your child take the first breath of life
Allah knows
Allah knows

When you lose someone close to your heart
See your whole world fall apart
And you try to go on but it seems so hard
Allah knows
Allah knows

Taken from google image

You see we all have a path to choose
Through the valleys and hills we go
With the ups and the downs, never fret never frown
Allah knows
Allah knows
Every grain of sand,
In every desert land, He knows.
Every shade of palm,
Every closed hand, He knows.
Every sparkling tear,
On every eyelash, He knows.
Every thought I have,
And every word I share, He knows.
Allah knows

Credit to efestival.blogspot.com

p/s: Allah knows everyhting. La Tahzan... Special thanks to Nazliah Asmin for this song (^_^)

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Wednesday, May 5, 2010

Sharing: Kerana Fitrah Manusia Itu~

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Illahi atas segala nikmat kurniaan-Nya yang tidak pernah henti, biarpun diri ini seringkali lalai dan leka dalam mentaati setiap perintah dan suruhan-Nya. Benarlah petikan lirik lagu Mengemis Kasih yang dipopularkan oleh The Zikr suatu ketika dahulu, harga selautan syukurku, hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi...

Tatkala saya menulis entry ini, hati sebenarnya sedikit kesal tatkala melihat paparan misscall dari adik bongsu tersayang. Bertambah kesal tatkala menelefon semula, mama memberitahu beliau sudah tidur kembali selepas kempunan bercakap dengan Kak Ijanya. Saya teringat akan perbualan dengan si cilik beberapa hari lepas,

Athirah: Assalamua'laikum Kak Ija. Kak Ija buat apa?

Saya: Kak Ija tengah baca buku. Cikgu kepada Kak Ija suruh buat kerja sekolah. Athirah macam mana? Best pergi sekolah?

Athirah: Best. Kak Ija, Athirah dah pandai baca nombor banyak-banyak.

Saya: Baca nombor banyak-banyak? Bacalah.

Athirah: 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10, 11, 12, 13, 14, 15, 16, 17, 18, 19, 20, 21, 22, 23, 24, 25, 26, 27, 28, 29, 30, 32, 34, 37...

Saya: Berhenti-berhenti. 31, 32...

Athirah: 31, 32, 34, 37, 39..

Saya: 33, 34, 35...

Athirah: Kak Ija, Athirah penatlah...(nada seperti malas mahu mengulangi lagi apa yang telah dibaca setelah saya memperbetulkan banyak kali)

Saya: Ala.. Baiklah..(saya mengalah memandangkan sebelum ini Athirah hanya mampu membaca 1 hingga 10 dengan lancar). Esok Athirah baca lagi ye?

Athirah: Ye... Kak Ija, nanti belikan Athirah telekung barbie boleh tak? Athirah nak sembahyang macam mama, papa, Kak Ayuni dan Abang Hasif tapi telekung mama bagi sangat besar.

Saya: Baiklah. (biarpun dalam hati agak pelik memikirkan istilah telekung barbie)

Keesokan harinya, si cilik menelefon lagi. Kali ini mahu mengkhabarkan yang dia sudah bisa membaca ABC dengan penuh tanpa sebarang ketidak pastian. Lebih terharu, apabila si cilik ini siap menyanyikan lagu ABC dengan sepenuh hati. Kuat dan nyaring. Sehingga saya terpaksa menjauhkan telefon dari telinga dek suaranya yang penuh nyaring dan semangat itu. Dan seperti biasa,

Athirah: Kak Ija, awak dah belikan saya telekung barbie?

Saya: Athirah, barbie pergi sembahyang ke? Athirah tengok kat mana?

Athirah: Ala... Kak Ija ni... (nada hampir merajuk)

Saya: Erm..esok Kak Ija pergi kedailah cari telekung barbie. Esok belajar rajin-rajin ye sayang. Belajar nombor banyak-banyak lagi.

Athirah: OK... I love you.

Saya: I love you too..


~Set telekung barbie yang akhirnya berjaya ditemui hari ini...~

Apabila teringat perbualan di atas, saya mula belajar, dan saya semakin mengerti, bahawa lumrah manusia itu sangat suka kepada penghargaan. Lebih-lebih lagi apabila mereka dihargai dengan sesuatu yang mereka suka atau dengan sesuatu yang sangat mereka ingini. Mereka akan menjadi semakin bersemangat untuk mencapai tahap terbaik yang mereka lakukan. Perbualan di atas hanyalah secebis kisah, dari pelbagai kisah di muka bumi ini, bahawa betapa manusia itu, suka pada penghargaan, perlu untuk dihargai.

Adakalanya, dalam kita berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, kita acapkali terlupa untuk menghargai sahabat-sahabat seperjuangan kita. Kita adakalanya terlepas pandang bahawa biar hanya dengan secebis kata-kata manis yang lahir dari hati yang ikhlas, mampu menjadi sumber kekuatan buat sahabat kita, yang mungkin ketika itu tanpa kita sedari sedang lemah atau mungkin berada di tahap keimanan yang paling rendah. Kita seringkali menganggap bahawa mereka ini sudah cukup faham, cukup tahu tentang perlunya berjuang menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah ini sehinggakan kita lupa, bahawa mereka itu manusia biasa, yang pastinya punyai satu fitrah yang lumrah bagi seorang manusia yakni suka pada penghargaan.

Kadang-kala, kita melihat mereka yang sudah lama berada di jalan ini sebagai seorang manusia yang hidupnya sudah sebati dengan keperluan syariat, tanpa kita menyedari bahawa secara fitrahnya, mereka juga perlukan serta mengharapkan perkara yang sama sebagaimana insan-insan yang lain. Mereka juga perlukan penghargaan, mereka juga perlukan bisikan kekuatan dari sahabat-sahabat, mereka juga mahu "dimanja" dan mereka juga perlukan pengisian, bukan hanya sentiasa memberi pengisian. Masakan kita mampu untuk sentiasa memberi, andai yang kita miliki tidak sentiasa ditambah atau dalam kata lainnya di"topup" dari masa ke masa?

Sekadar satu perkongsian agar kita sama-sama menyedari bahawa dalam memenuhi tuntutan syariat yang digariskan dan dituntut oleh agama, kita seharusnya tidak lupa  bahawa fitrah insaniah yang ada dalam diri kita ini harus juga dipenuhi ataupun dituruti kemahuannya. Ini kerana dari kekuatan fitrah itu juga, bisa lahirnya satu kekuatan untuk terus melangkah dan berjuang menegakkan kalimah Allah. Semoga kita sama-sama terus istiqamah, dalam usaha menuju Jannah~


~Deretan "muffin kasih" buat para sahabat~ 


~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~

Sunday, May 2, 2010

Sharing: Walimah di Teluk Intan~

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu istri-istri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir."
[30:21]

"Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui."
[24:32]

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi, kerana dengan rahmat-Nya, maka saya, Sis Rufy, Sis Farhin, Sis May dan Sis Shahirah akhirnya diberi kelapangan untuk menghadiri majlis walimah Akh Fadhli Safuan atau Che Wan dan pasangannya, Kak Salma. Semoga rumah tangga yang dibina sentiasa berada di bawah limpah kurnia dan rahmat Illahi buat selama-lamanya. Amin~


Barakallah lakuma wa baraka 'alaikuma wa jama'a baina kuma fi khair
Dari kiri: Che Wan, Kak Salma, Sis Rufy, saya, Sis May, Sis Shahirah.

Usai mengahadiri walimah, kami berlima mempunyai agenda lain yang agak unik, menyusuri indahnya alam semula jadi kurniaan Illahi. Mungkin waktu menikmati keindahan itu agak kurang tepat, kerana di bawah teriknya panas matahari, namun apakan daya, kemanisan tetap kami rasai.


Semoga ukhuwah ini kekal buat selama-lamanya, dan semoga kita kekal bersahabat, bukan sahaja di dunia, tetapi juga hingga ke syurga. Amin ya rabbal alamin~

~berdoa dan terus mengharapkan redha Illahi...~